Jahitan Bersalin
|

7 Cara Menjaga Jahitan Bersalin Normal. Dr Kongsi Tips!

Ya Allah.. sakitnya dekat tempat jahitan bersalin normal. Nak jalan pun rasa sakit. Takutnya kalau jahitan tu tetas! ada tips tak nak jaga luka ni?

Episiotomi ialah torehan pembedahan pada perineum anda, iaitu kawasan berotot antara faraj dan saluran belakang. Torehan ini dibuat bagi membantu memudahkan bayi keluar semasa bersalin. Normal untuk anda berasa sakit akibat episiotomi pada minggu-minggu terawal selepas bersalin.

Ibu-ibu perlu tahu cara menjaga luka bersalin dengan betul. Jangan ambil mudah tentang penjagaan jahitan episiotomi.

Berkongsi tip yang boleh digunakan ibu sepanjang tempoh awal selepas kelahiran normal, Pegawai Perubatan Klinik Ibu dan Anak MBBS, Dr Farhanah Ibrahim berkata, dia banyak menerima rujukan kes luka bersalin yang terbuka dan terpaksa dijahit semula.

Menurutnya, terdapat satu kes seorang ibu yang baru bersalin tujuh hari dirujuk ke klinik dan apabila pemeriksaan dilakukan mendapati semua benang jahitan tertetas sebelum lukanya bercantum.

“Wanita itu sendiri mengakui mencuci luka itu menggunakan cecair antiseptik. Berkemungkinan cara itu tidak serasi dengannya atau cecair antiseptik itu tidak dilarutkan terlebih dulu hingga menyebabkan benang jahitan terhakis.

“Secara umumnya luka jahitan bersalin akan sembuh dalam tempoh dua hingga empat minggu. Benang yang digunakan itu akan larut sendiri tanpa perlu dibuang selepas luka sembuh,” katanya.

Namun Dr Farhanah berkata, setiap ibu yang melalui proses bersalin normal dan dijahit vagina itu perlu menjaga aspek kebersihan kawasan itu selain tidak terlalu bergerak aktif.

“Walaupun tidak melalui proses pembedahan, anda tetap dijahit yang memerlukan penjagaan khusus.

Luka akan mengambil masa untuk sembuh dan jangan sesekali mengabaikan penjagaan diri terutama dalam minggu awal selepas melahirkan anak,” katanya.

Foto kredit: babygaga.com

CARA PENJAGAAN JAHITAN BERSALIN

Dr Farhanah turut berkongsi beberapa panduan untuk menjaga jahitan di vagina selepas bersalin:

1. Jaga kebersihan luka

Bersihkan luka selepas setiap kali ke tandas. Alirkan air di tempat luka bagi mengelak jangkitan. Lalukan air bersih dan lap luka.

2. Dedahkan luka sekali sekala

Jika berpeluang, ambil masa dalam sehari untuk membiarkan luka terdedah supaya luka dapat melalui pengudaraan yang baik.

3. Rapatkan punggung

Rapatkan punggung ketika mengubah posisi untuk elak luka meregang.

4. Rendaman air garam

Ambil segenggam air garam dan larutkan dalam satu bekas air panas. Campurkan dengan air biasa supaya menjadi suhu suam dan tuangkan ke dalam besen. Duduk di dalam besen itu dalam tempoh 10 hingga 15 minit.

5. Elakkan sembelit

Minum air secukupnya dua hingga tiga liter sehari dan makan makanan yang kaya dengan fiber.

6.  Lakukan sedikit tekanan ketika membuang air besar

Tekan kawasan perineum dengan tuala wanita bersih ketika membuang air besar. Kerap meneran ketika membuang najis boleh menyebabkan luka meregang dan terbuka semula.

7. Senaman kemutan

Lakukan senaman kemutan untuk menguatkan semua otot pelvik yang mengembang sepanjang kehamilan.

ALTERNATIF LAIN MENJAGA JAHITAN BERSALIN

  1. Bagi melegakan kesakitan, anda boleh cuba letakkan pek ais ataupun kiub ais yang dibalut dengan tuala pada torehan luka bersalin anda. Ais dapat membantu bahagian sekeliling luka torehan rasa kebas dan mengurangkan bengkak pada bahagian tersebut. Walau bagaimanapun, elakkan daripada meletakkan ais secara terus pada kulit anda kerana ia boleh menyebabkan kecederaan pada jahitan. Juga, jangan lakukan cara ini lebih daripada 10-20 minit bagi sekali penggunaan.
  2. Gunakan kusyen berbentuk donat ataupun tekan punggung anda semasa duduk bagi membantu mengurangkan tekanan dan kesakitan pada bahagian yang berjahit.
  3. Semasa minggu-minggu awal selepas bersalin, anda perlu memakai pad atau pelapik materniti bagi menampung darah yang keluar. Jadi, penjagaan luka ketika ini amat penting. Tukar pelapik materniti anda dengan kerap. Anda juga perlu memastikan tangan anda dibasuh sebelum dan selepas menukar pelapik materniti, dan mandi sekurang-kurangnya sekali sehari. Ini dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan pada luka anda.
  4. Pastikan luka torehan dan kawasan sekeliling luka bersih untuk mengelakkan jangkitan. Selepas ke tandas, siram air suam pada bahagian faraj anda untuk membilasnya. Anda boleh menyiram air suam pada bahagian luar faraj anda semasa anda sedang membuang air kecil. Cara ini dapat membantu meredakan ketidakselesaan.
  5. Anda juga boleh mencangkung semasa membuang air, berbanding duduk di atas jamban, bagi mengurangkan rasa pedih semasa mengeluarkan air kencing. Jika anda hendak membuang air besar pula, anda boleh meletakkan pelapik bersih pada bahagian torehan dan kemudian menekannya semasa anda mengeluarkan najis. Cara ini dapat membantu meredakan tekanan pada bahagian torehan.

Selamat menjalani proses berpantang dengan gembiranya!

Sumber: Harian Metro & Hellodoktor

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *