Ajarkan Anak Tidur Asing Apabila Usianya Meningkat 3 Tahun, Kaunselor Kanak-Kanak & Keluarga Kongsi Tips
Tahun ni anak sulung dah masuk 3 tahun, anak kedua tak lama lagi nak lahir dah, macamana nak ajar anak tidur asing ni? nak ke dia? tak menangis ke tidur seorang? ada tips tak?
TOPIK anak tidak boleh tidur sebilik dengan ibu bapa apabila usia sudah menjangkau lebih tiga tahun kecoh diperkatakan minggu ini.
Ada yang bersetuju namun ada pula tidak sampai hati membiarkan si manja tidur di bilik berasingan atas sebab usia masih terlalu kecil.
Namun, dalam tidak sedar terdapat pelbagai kebaikan apabila anak dipisahkan tidur ketika kecil, malah tidak keterlaluan jika bayi tidur di ruangnya sendiri. Selain mempengaruhi kendiri dan jati diri, mereka dikatakan menjadi lebih bijak dan matang kerana diasuh untuk berdikari sejak kecil.
Ia turut diakui kaunselor kanak-kanak dan keluarga, Azhari Ismail yang menggalakkan ibu bapa mengajar anak untuk tidur di bilik berasingan ketika masih bayi.
“Ini bagi memastikan apabila menjelang usia dua atau tiga tahun, mereka sudah boleh berpisah tempat tidur dengan ibu bapa tanpa ada masalah.
“Pada usia itu juga anak biasanya sudah berpisah susu, jadi amat sesuai melakukannya demi kebaikan semua pihak baik si anak atau ibu bapa,” katanya.
Bagi membolehkan si anak dapat tidur sendiri secara berterusan, lakukan latihan mengikut jangka panjang dan bukannya memaksa.
Oleh itu, Azhari berkata, jangan biasakan mereka ‘selesa’ tidur bersama ibu bapa terutama apabila usia anak meningkat melebihi tiga tahun.
“Ibu bapa sendiri yang berasakan hubungan akan bertambah erat jika anak tidur bersama kerana ramai yang menganggap waktu tidur dapat meningkatkan kasih sayang dan hubungan yang baik dengan anak.
“Sebenarnya menurut pakar psikologi, hubungan terjalin erat pada waktu jaga iaitu ketika bermain atau berinteraksi dan bukan pada waktu tidur. Ibu bapa boleh tidur sebilik dengan anak pada usia bawah dua tahun, tetapi perlu di katil berasingan agar senang untuk dipisahkan nanti,” katanya.
Namun, menurut Azhari, pastikan bilik untuk anak lelaki dan anak perempuan juga berasingan. Jika boleh dan berkemampuan, setiap anak mempunyai katil atau tempat tidur sendiri, bukannya berkongsi.
“Ini akan menimbulkan perasaan itu adalah tempat peribadi mereka yang akhirnya membuat anak berasa selesa dan selamat.
“Terdapat pelbagai pendapat dari sudut psikologi mengenai anak yang tidur bersama ibu bapa jika dibandingkan dengan anak yang dipisahkan awal. Anak yang dipisahkan tempat tidur akan lebih berdikari dan berani kerana tidak bergantung kepada ibu bapa pada waktu tidur,” katanya.
Katanya, anak juga akan lebih cerdik kerana dia bertanggungjawab ke atas diri dan ruang peribadinya seperti mengemas dan membersihkan katil serta menyediakan diri sebelum tidur.
“Ini kerana baik anak lelaki mahupun perempuan, akan timbul rasa bertanggungjawab kerana mereka mempunyai ruangan tersendiri yang perlu dipastikan selesa dan sentiasa kemas.
“Semua ini sangat mempengaruhi proses pembesaran anak, sama ada dia membesar sebagai seorang yang bertanggungjawab atau sebaliknya,” katanyanya.
RISIKO NEGATIF JIKA TIDAK AJAR ANAK TIDUR ASING
Azhari turut menjelaskan, terdapat risiko utama yang terpaksa dihadapi ibu bapa yang tidur sebilik dengan anak iaitu apabila anak secara tidak sengaja terlihat hubungan kelamin ibu bapa.
“Dalam hal ini ibu bapa perlu berhati-hati, apa yang terbaik ialah mengelakkannya sama sekali. Jangan mengambil risiko dan menganggap anak sudah tidur kerana mereka boleh terjaga atau sememangnya belum tidur.
“Jika anak ternampak, itu sudah terlambat dan akan timbul kesan yang tersendiri kemudian hari terutama apabila usia si anak semakin meningkat. Terdapat banyak kes anak berumur tujuh hingga 10 tahun yang cuba mengulangi perlakuan ibu bapa tadi.
“Bagi anak di bawah usia dua tahun, mungkin tiada kesan jangka panjang kerana mereka akan cepat melupakannya namun jika mereka sudah besar (dua tahun ke atas), kesan negatifnya tetap ada kerana mereka tidak faham apa yang dilihat,” katanya.
Menurutnya, ia secara tidak langsung boleh mengganggu emosi si anak dan jika banyak kali berlaku, akan timbul rasa ingin tahu malah mereka turut rasa ingin mencuba aksi yang dilihatnya.
“Memori ini juga akan kekal sehingga masuk ke alam remaja dan pada masa itu mereka akan faham perlakuan ibu bapa yang dilihatnya dulu dan mungkin mahu mencubanya juga.
“Namun, sekiranya kelakuan ini sudah dilihat anak, ibu bapa perlu mengambil tindakan tegas dan segera memisahkan bilik anak bagi memastikan ia tidak berulang. Ini adalah risiko negatif paling dibimbangi berlaku apabila anda masih tetap mahu tidur sebilik dengan anak anda,” katanya.
Katanya, jika perlu terutama sekiranya anak sudah berusia lima tahun dan ke atas, terangkan itu adalah perlakuan orang dewasa yang sudah berkahwin, bukannya kanak-kanak. Berikan penerangan yang mudah, sesuai dengan tahap kefahamannya.
“Ajar mereka perkara asas tatasusila seperti menjaga kehormatan diri dan mengetuk pintu sebelum masuk ke bilik orang lain. Ibu bapa juga perlu mematuhi peraturan ini dengan mengetuk bilik anak sebagai tanda meminta izin sebelum masuk. Apa yang penting ialah langkah pencegahan dengan memisahkan bilik tidur anak.
“Boleh timbulkan minat anak dengan menghias bilik tidur mengikut warna atau tema yang disukai bagi memastikan mereka bersemangat untuk tidur di bilik sendiri. Jika anak perlu berkongsi dengan adik-beradiknya yang sama jantina, lakukan garisan pemisah dan hias mengikut cita rasa anak sendiri,” katanya.
Namun, sekiranya anak masih kecil iaitu berusia dua hingga tiga tahun, jangan memaksa namun lakukan galakkan secara perlahan, mungkin pada minggu awal ibu atau bapa boleh menemani anak tidur di biliknya dengan membaca buku cerita sehingga anak tertidur.
“Jika berkemampuan boleh juga pasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan anak dalam keadaan selamat selain mengelak sekiranya anak anda terjatuh katil.
“Bagaimanapun, semua ini perlukan masa. Lebih baik biasakan dari awal bagi memastikan proses ini tidak terlalu rumit untuk dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, berkongsi pengalaman dalam mendidik anaknya tidur di bilik berasingan, Azifa Mohd Yahya berkata, dia mula melatih anaknya, Hariz Amzar tidur di bilik sendiri ketika Ramadan baru-baru ini.
“Tahun ini anak saya berusia lima tahun, walaupun agak lambat, saya dan suami bersyukur kerana akhirnya dia berjaya tidur di bilik sendiri.
“Memang ambil masa pada awalnya, kami hias bilik tidurnya dengan karakter kegemarannya, ‘Batman’ bagi menggembirakannya. Memang dia teruja setiap kali masuk ke biliknya dan akhirnya berjaya tidur sendiri,” katanya.
Menurut Azifa, suaminya menemani anaknya kira-kira dua jam bagi memastikan anaknya sudah tidur.
“Kami juga memberitahunya supaya masuk ke bilik kami sekiranya ingin ke tandas dan tidak kunci pintu bilik bagi memudahkannya.
“Bukan anak saja perlu membiasakan diri, kita sebagai ibu bapa juga perlukan masa kerana sudah terbiasa tidur bertiga sejak dia lahir. Namun kini syukur, anak sudah belajar berdikari,” katanya.
IKUT KEHENDAK SI KECIL
Azhari menyenaraikan antara langkah yang boleh dilakukan ibu bapa untuk menjadikan anak gembira tidur di bilik sendiri: Bawa anak membeli cadar, langsir dan perhiasan bilik mengikut cita rasa mereka. Beri peluang anak untuk memilih.
Cari masa dan hias bilik itu bersama-sama, boleh cat atau hias bilik mengikut cita rasa anak. Letakkan perabot yang kena dengan jiwa kanak-kanak.
Luangkan sedikit masa sekurang-kurangnya 15 minit setiap malam untuk menemani anak sebelum waktu tidur. Baca buku cerita sebelum anak-anak tidur.
Berikan pelukan dan ciuman sambil mengucapkan kasih sayang dan selamat malam. Ajarkan doa tidur dan baca bersama-sama. Tutup pintu dan lampu, jika perlu pasangkan satu lampu tidur selepas itu tinggalkan mereka untuk tidur sendiri.
Jangan memaksa secara berlebih-lebihan atau menakut-nakutkan mereka, cuma berikan lebih galakan secara positif. Ibu bapa akan mendapati proses memisahkan tempat tidur menjadi sesuatu yang senang, tanpa tekanan atau drama.
Sumber: Harian Metro