HUKUM DAN CARA MANDI HADAS SELEPAS BERSALIN. Jangan Keliru Antara Mandi Wiladah & nifas.
Sebenarnya kan, rupanya ramai yang keliru dengan kedua-dua mandi hadas ini selepas bersalin. Antara persoalan yang biasa ditanya adalah, apa perbezaan antara mandi Wiladah dan Nifas?
Perlu ke mandi-mandi kedua-duanya sekali? bila waktu yang sesuai nak kena mandi? dan apa hukum jika tak buat mandi hadas ini?
ISTILAH BAGI KEDUA-DUA MANDI HADAS SELEPAS BERSALIN:
- Wiladah. Mandi wajib selepas ibu itu selamat melahirkan anak.
- Nifas. Mandi wajib selepas kering darah nifas lepas tempoh berpantang selepas melahirkan anak.
Setiap wanita yang baru keguguran atau lepas bersalin akan berada dalam keadaan wiladah (selepas melahirkan anak) dan dua keadaan akan berlaku selepas itu.
Sama ada si ibu itu tidak keluar darah atau keluar darah di antara 40 ke 60 hari. Setiap wanita WAJIB untuk mandi selepas salah satu keadaan ini.
Jika ibu baru lepas melahirkan anak dan datang darah nifas, perlukah dia mandi dua kali, satu untuk wiladah dan satu lagi untuk nifas.
Jawapannya adalah: TIDAK PERLU!
Memadai mandi dengan sekali sahaja. Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili dalam al-Mu’tamad (1/137) :
“Jikalau terhimpun ke atas seorang wanita kewajipan mandi hadas haid dan janabah (seperti jimak dan keluar mani), memadailah baginya dengan niat (mandi mengangkat hadas) salah satu daripada keduanya.
Begitu juga seorang yang berjunub kemudian mati, dan orang yang berjunub kemudian haid, maka memadai bagi dua keadaan itu terangkat hadas dengan satu kali mandi.
Begitu juga jika seseorang itu berjunub, kemudian berhaid, kemudia dia mati, cukup bagi wanita itu satu kali mandi untuk kesemua keadaan (hadas besar) itu.”
Bilakah Waktu Untuk Mandi Wajib Akibat Wiladah Dan Nifas
Jawapannya ialah selepas bersalin dan apabila berhenti keluarnya darah nifas dalam keadaan naqa’.
Keadaan naqa’ bermaksud betul-betul suci iaitu jika dimasukkan kapas ke dalam faraj lalu dikeluarkan tidak ada kesan-kesan darah, kekeruhan atau kekuningan.
Jika darah sudah berhenti tetapi jika dimasukkan kapas masih dilihat kesan darah, warna keruh atau kekuningan, maka itu adalah keadaan fatrah yang menunjukkan masih dalam keadaan bernifas.
Mandi Wajib Selepas Bersalin Boleh Dilakukan Dengan Salah Satu Daripada Dua Cara Ini, Bergantung Kepada Keadaan Si Ibu:
- Jika ibu yang baru bersalin tidak keluar darah nifas, maka dia hanya perlu mandi wajib wiladah.
- Jika ibu baru lepas bersalin dan datang darah nifas, dia perlu tunggu darah itu kering dan barulah mandi wiladah DAN nifas dalam SATU mandian (tidak perlu mandi dua kali).
Menurut perkongsian Mufti Wilayah Persekutuan, ada 2 cara berniat untuk mereka yang mengalami wiladah serta nifas.
- Menggabungkan dua niat dalam satu mandian. Contohnya: “Sahaja aku mengangkat hadas wiladah dan nifas.” Kemudian dia mandi.
- Mandi dengan satu niat sahaja. Contohnya: “Sahaja aku mengangkat hadas besar.” Kemudian dia mandi.
Cara Mandi Hadas Selepas Bersalin:
- Niat mandi hadas.
- Membaca bismillah.
- Membasuh tangan.
- Membasuh kemaluan.
- Menyiram kepala 3 kali dimulai dengan bahagian kanan.
- Menyiram air ke seluruh badan dan air kena pada setiap bahagian badan.
- Membasuh kaki.
- Mengambil wuduk.
Ada juga wanita yang mengalami keguguran setelah mengalami pendarahan. Lantas dia kurang pasti sama ada ianya darah istihadah ataupun nifas?
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berikut adalah penjelasan bagi situasi tersebut.
- Kebiasaan bagi wanita bersalin akan keluar darah nifas yang mewajibkan wanita itu mandi wajib.
- Jika wanita itu bersalin tanpa darah apa pun, pandangan dalam mazhab Syafie, wanita itu tetap dikira berhadas besar dan wajib mandi.
- Jika kandungan yang dilahirkan itu berbentuk alaqah (gumpalan darah), atau mudghah (gumpalan daging) seperti dalam kes keguguran, tetap dikira wiladah dan wajib mandi.
- Begitu juga kelahiran Cesarean, yakni kandungan keluar bukan daripada faraj wanita tetapi melalui pembedahan di kawasan abdomen, tetap mewajibkan mandi.
Selepas selesai mandi wajib, maka para ibu yang baru lepas bersalin pun sudah boleh melakukan amal ibadah seperti solat dan berpuasa seperti biasa. Moga bermanfaat!
Sumber rujukan: Siraplimau & Mufti Wilayah Persekutuan.