biarkan anak bersendirian
|

JANGAN TAKUT BIARKAN ANAK BERSENDIRIAN & MENANGIS. Konsultan Tangisan Bayi Kongsi Tips!

Jika ada ibu bapa yang mempunya masalah anaknya asyik nak berkepit je, takut bila kita biarkan anak bersendirian dan anak menangis bila ditinggalkan. Baca dan fahamkan mengapa ianya terjadi.

Sebahagian kita takut betul nak biar anak menangis. Mereka ingat BIAR itu TINGGAL (abandon/left) semata-mata.

Mereka lupa, BIAR juga bermaksud BENARKAN (allow/let). Meyakinkan ibubapa untuk biar = benarkan = allow = let anak menangis ini antara tugas paling sukar saya. Rasa nak give up pun ada.

Foto Kredit: theconversation.com

Saya nak tanya, jika anda sedih, marah atau geram dan anda TIDAK di benarkan untuk menangis , mengadu atau mempamerkan perasaan, apa yang anda rasa?

Saya nak tanya lagi, jika anda sedih, marah atau geram dan anda disuruh DIAM dan SIMPAN saja perasaan itu, anda rasa ini sihat kah?

Jadi, bila anda TAK BOLEH dan TAK MAHU tengok anak menangis dan mengamuk, lalu anda fokus untuk ‘shut up’ atau ‘shut down’ tangisan dan amukan anak, SETIAP KALI, anda rasa ini sihat dan bagus kah untuk perkembangan emosi & mental anak anda?

PERSOALAN DAN KERAGUAN IBU BAPA HARI INI

” Anak 2 tahun saya mengamuk bila saya tutup lampu nak suruh dia tidur. Jadi saya terpaksa buka lampu dan bagi dia main ” ➡ ini parenting kah bila ibu kena patuh pada amukan tak munasabah anak 2 tahun?

Anak 6 bulan saya mengamuk bila saya masuk tandas jadi saya terpaksa bawa anak setiap kali masuk tandas ‘tengok’ urusan saya ” ➡ ini parenting kah jika sampai urusan biasa seperti masuk tandas di rumah sendiri pun nak kena angkut anak setiap kali?

“Anak 9 bulan saya pantang kena tinggal walaupun sekejap mesti dia mengamuk. Jadi saya terpaksa duduk saja di tepi dia sepanjang masa sampai saya tak sempat makan , mandi dan buat apa pun kerja. Pernah dukung dia sambil masak. Hampir nak terbalik kuali di capainya. Hari-hari order food delivery atau saya kena tunggu suami balik kerja malam untuk selesaikan kerja rumah ” ➡ ini parenting kah jika anak kecil boleh mendominasi hidup ibuayah sehingga nak hidup macam orang normal pun susah?

“Anak 17 bulan saya bangun 5-6 kali setiap malam mencari ‘nenen’. Selagi tak di sua dia menjerit tak mahu tidur. Suami cuba bagi susu dari botol pun dia tolak. Saya terpaksa juga bagi dia tidur di nenen. Sampai sakit badan akibat tidur senget dan sakit kepala tak cukup tidur. Rasa trauma bila menjelang malam”➡ ini parenting kah bila hidup dalam trauma?

“Anak 10 bulan saya menjerit bila di letak dalam car seatnya jadi saya terpaksa pangku dia ” ➡ ini parenting kah bila takut dengan anak punya pasal sampai soal nyawa pun boleh di kompromi?

Apa semua ini?? Mengarutnya!

Saya sangat – sangat tak faham bila ada ibubapa yang rasa ‘terpaksa’ ikut cakap anak kecil untuk semua perkara.

Foto Kredit: healthline.com

YA BETUL , jika anak itu berusia 0-3 bulan , respon kita kepada tangisannya perlu segera. Kenapa? Kerana tangisan masih dalam bentuk REFLEK di usia ini.

Maksudnya anak di usia ini bukan saja-saja atau suka-suka menangis. Sistem badan bayi kesan keperluan seperti lapar, letih atau ingin sendawa bunyi tangisan di cetuskan.

KERANA itu kita ajar teknik pantas menenteramkan bayi. KERANA itu teknik pantas menenteramkan bayi kecil wujud. Dah hampir sedekad pun saya mendedikasikan diri mengajar ibubapa tentang teknik ‘bagai magik’ buat anak diam ini.

TAPI..

BERMULA usia 4 bulan pula, tangisan sudah bukan lagi reflek. Ia adalah kelakuan terpilih. Bayi pilih untuk nangis atas banyak sebab: untuk keperluan harian seperti lapar dan letih, takutkan sesuatu yang tak di fahami, protes, manipulasi, bereksperimen dengan konsep kuasa (autority), belum faham nilai murni, tak faham konsep masa dan sabar.

Ada 101 sebab. Jadi, kenapa pula mesti semuanya parents nak ‘shut up’ kan dengan ikut kemahuan anak? Lebih teruk, ada ibubapa yang bertanya,

” Puan, untuk baby besar, ada tak teknik pantas untuk hentikan tangisan anak?”

Puan, teknik ‘magik’ diamkan anak yang Cuddle Cure puan selalu tunjuk kat FB tu masih boleh guna tak untuk anak 1 tahun ? Dia kuat nangis lah”APA semua ini? Ingat tangisan ni benda boleh main ‘shorcut’ saja? Ibubapa lupa kah tangisan itu cara komunikasi?

Foto Kredit: time.com

Saya terangkan sedikit bab perkembangan mental anak dan kesannya kepada tingkahlaku tangisan anak supaya ibubapa lebih pandai menilai respon yang patut di beri:

  1. Anak mula explore konsep ‘ What comes next ?’ (apa akan jadi seterusnya) di usia 4 bulan. Misalnya anak mula faham bola yang melantun naik seterusnya akan turun.Tak hairan anak sekarang dah pandai keraskan badan bila sedar mak mula nak letak dia ke bawah.Tak hairan anak dah pandai menjerit minta di angkat kerana menjerit, kena angkat.

Maka saya tanya, konsep what comes next apa yang parents nak ajar pada anak jika setiap masa pun kelam kabut angkat anak?Jerit mak kelam kabut angkat saya.

Jika anak menjerit sebab sakit atau lapar atau cedera tu memang logik lah ibu segera angkat. Tapi kalau anak menjerit hanya kerana tak mahu di letak, sesuaikah mak nak kelam kabut?Ramai anak masih menjerit walau sah-sah mak ada di depan matanya, bercakap dengannya, hanya kerana dia enggan di letak. Ini kan bukti anak sedang explore respon mak?

Bukankah mak boleh ajar: Anak jerit, tenangkan anak dengan suara/bercakap -cakap soothing words seperti , ‘ Wait sayang. Its ok. Mommy here’ angkat anak selepas seketika dengan tenang bagai ‘no big deal’.

Ulang dan ulang setiap kali anak menangis bukan sebab kecemasan maka lama-kelamaan anak akan faham : Jerit mak akan datang. Mak tak pernah tak datang. Mak ada berdekatan sahaja (sebab anak nampak mak atau dengar suara mak). Saya hanya perlu tunggu sekejap.

2. Anak mula explore konsep jarak & ruang pada usia 5-6 bulan. Anak mula sedar yang ibunya boleh pergi jauh dan laju darinya. Sedangkan dia tak mampu buat apa-apa untuk ‘kejar’ mak. Inilah fasa separation anxiety.

Tak hairan anak menjerit bila mak mula angkat punggung sebab anak tak tahu berapa jauh mak nak pergi. Ke dapur? Ke tandas ? Ke negara lain? Ke planet lain? Dapur dan tandas tu jauhnya macam mana? Tak hairan anak menjerit depan pintu tandas kerana anak tak tahu tandas tu apa?

Untuk apa orang pergi tandas? Jika mak pergi tandas adakah mak akan balik atau hilang selama-lamanya?Tak hairan anak menjerit macam kena dera dari luar pintu tandas walaupun mak sudah sambil bercakap-cakap dengannya dari dalam tandas. Ini kerana anak tiada idea BILA mak akan muncul jika telah hilang ke tandas. Petang nanti? Esok?

Maka saya tanya, konsep ruang dan jarak apa yang anda nak ajar pada anak jika masuk tandas pun nak angkut anak? Jika cuma nak jalan 70m ambil air di dapur pun mak patah balik bila dengar anak nangis? Jika mak melekat macam kena gam saja di tepi anak?

Foto Kredit: ruangmom.com

Ada pelbagai cara mak boleh ajar anak tentang konsep ruang & jarak serta separation anxiety ini. Misalnya:

  1. Amalkan beritahu anak setiap kali ibu mahu beredar. Misalnya, ” Ibu mahu ke tandas 5 minit “. Pastikan keadaan anak selamat untuk di tinggalkan dan pergi tanpa teragak-agak WALAU anak mula menjerit. Anak yang SERING mengesan sikap teragak- agak ibu akan mengamuk 2x ganda kerana anak tahu ibu sendiri tak yakin dengan tindakannya.
  2. Teruskan bercakap-cakap dengan bayi sepanjang ibu berada di bilik air/ruang lain. Ya betul anak mungkin akan terus menangis namun tak perlulah ibu gabra. Ibu pun tahu anak cuma cemas dan protes kerana ibu hilang. Anak bukan nangis kerana sakit atau cedera. TIADA satu kajian pun didunia ini yang pernah membuktikan anak cedera emosi atau rosak otaknya hanya kerana ibu hilang setakat beberapa minit-puluh minit. TAK ADA.
  3. Rajin bermain peek-a-boo (cak-cak) dan sorok-sorok. Konsep mainan ‘ada hilang’ ini akan amat membantu anak belajar menjangkakan sesuatu yang hilang boleh muncul jika dia bersabar. Perlahan-lahan, panjangkan masa ibu menyorok/hilang sebelum munculkan diri Misalnya hari ini ibu sorok 2 minit. Esok jadi 4 minit dan selanjutnya.
  4. Jika anak telah boleh merangkak, ajar anak selok belok rumah dengan meminta anak merangkak ke arah ibu. Misalnya ibu berdiri di dapur dan minta anak merangkak kepada ibu. Boleh tingkatkan mainan ini dengan cara ibu menyorok di bilik lain yang mana anak tidak dapat lihat kelibat ibu. Kemudian minta anak cari ibu berdasarkan suara ibu. Pastikan jarak lokasi tak terlalu jauh. Takut anak mudah ‘give up’ akibat penat.
  5. Letakkan anak berdekatan dengan tempat ibu mahu membuat kerja. Misalnya letak anak dalam kerusi makannya menghadap ibu yang sedang memasak di dapur. Ya benar, anak akan tetap merengek minta anda dukungnya. Letakkan makanan atau mainan di depan anak, bercakap-cakap dengan anak sepanjang masa. Sekali-sekala, datang dekat untuk menyapa, cuit hidung atau menciumnya (bukan angkat) sebelum anda kembali sambung kerja. Sasarkan masa sekitar 10-15 minit (cukup untuk anda siapkan bahan masak misalnya) sebelum anda benar-benar angkat anak yang sudah mula menangis.
  6. Ulang dan ulang kesemua game dan latihan di atas setiap kali, setiap hari. Pastikan anda tenang di sepanjang proses latihan terutama bila tiba babak ibu akhirnya datang mendukung/mengangkat anak yang ‘sengaja’ di ‘tinggalkan’ tadi. Mimik muka, bahasa badan, intonasi suara ibu dan tenaga ibu amat-amat beri kesan kepada anak. Anak yang cemas tetapi asyik mendapat respon tenang dari ibu akan akhirnya hilang momentum untuk sentiasa cemas.

Foto Kredit: familyeducation.com

Separation anxiety anak akan hilang teruskah kalau kita latih dengan semua ni?

NO. NO. NO. NO. Separation anxiety KEKAL seumur hidup manusia.

  • Mak yang rindukan anak dan nak cepat-cepat balik kerja untuk jumpa anak itu separation anxiety.
  • Anak remaja yang homesick di asrama itu separation anxiety.
  • Suami dan bapa yang rindukan rumah kerana outstation lama itu separation anxiety.

JIKA separation anxiety tak kan hilang,buat apa susah-susah nak latih anak?

Ibuayah, latih dan ajar anak BUKAN untuk hilangkan sesuatu sifat manusia normal anak.Ibuayah, latih dan ajar anak BUKAN untuk buang emosi manusia normal dalam diri anak.

Latih dan ajar UNTUK IBUBAPA TUNJUK BAGAIMANA CARA UNTUK ANAK BERDEPAN DENGAN SESUATU SITUASI.

Foto Kredit: themamacoach.ca

Latih dan ajar UNTUK IBUBAPA TUNJUK CARA LEBIH BAIK UNTUK ANAK URUS DAN HADAPI EMOSINYA.

  1. Anak mula explore konsep MANIPULASI seawal usia +/- 9 bulan. Manipulasi bukan tanda anak nakal. Manipulasi bukan buruk. Manipulasi adalah kaedah belajar PALING POWER anak manusia untuk benar-benarfaham tentang sesuatu.

Misalnya; Apa akan jadi jika saya picit pisang ini? Adakah akan keluar bunyi jika saya jatuhkan sudu ini? Apa akan jadi jika saya terbalikkan mangkuk bubur ini?Ini semua aksi manipulasi.

Sama juga dengan:Jika saya menjerit, adakah ibu akan segera angkat saya? Jika saya menjerit adakah ibu tak jadi beredar tinggalkan saya? Jika saya menjerit adakan ibu akan masukkan saya kembali ke dalam buaian yang cuba di ceraikannya dari saya?

Maka saya tanya, pelajaran apa yang ibubapa nak sampaikan pada anak jika asyik cair dengan setiap jerit amuk anak?Anak itu explorer. Penjelajah. Memang tugas anak UJI ibubapa dan setiap sesuatu yang ada di sekelilingnya. MALANGNYA, sebahagian ibubapa hanya tafsir menangis = anak sengsara. Mereka lupa menangis juga = manipulasi.

2. Anak mula explore konsep kuasa/autoriti sekitar usia 15-16 bulan. Anak mahu buat sesuatu ikut termanya dan dia akan pastikan tiada sesiapa atau sesuatu yang boleh menghalangnya.

Tak hairan, ramai ibubapa melaporkan anak mula bertindak agresif di usia ini. ‘Melawan cakap semula’ (talk back), mula pandai kata ‘NO’ dan enggan bekerjasama, gigit, pukul, sepak, hantuk kepala.

Mula ‘banyak akal’ juga. Misalnya, jika ibu tak benarkan ambil sesuatu barang ,anak akan cuba minta tolong dari ayah pula. Jika menjerit tak berjaya cairkan ibu, mungkin berguling di lantai atau ketuk kepala itu akan berkesan..? Anak akan cari jalan, cari cara, bagaimanapun.

Maka saya tanya, mesej ‘Siapa yang berkuasa? ‘ yang ingin ibubapa sampaikan jika asyik ‘Yes Bos’ dengan anak? Mesej ‘Siapa ibubapa siapa anak? ‘ yang ingin ibubapa sampaikan jika takut dengan anak?

Ya, benar anak makin banyak akal. Itu tanda dia membesar dengan cemerlang. Namun maaflah saya nak tanya, bila anak dah makin banyak akal, kenapa ibuayah pula jadi pendek akal?

  1. Tegas namun kekal penyayang itu penting.
  2. Fleksibel dalam memberi respon namun kekal dalam had dan peraturan itu penting.
Foto Kredit: verywellfamily.com

Paling penting PUJUK DAN TENANGKAN ANAK ITU BUKAN TERHAD KEPADA ANGKAT ANAK YANG MENANGIS SEMATA-MATA.

Memujuk dengan perkataan, menyanyi di depan anak, memandang tepat ke mata anak, benarkan anak menangis di dada, beri ruang kepada anak mengamuk dan berguling lepas geram di tempat selamat, usap belakang anak yang sedang menangis sambil meniarap , genggam tangan anak yang menangis di car seatnya, alihkan anak dari situasi pencetus marahnya, beri anak peluk teddy bearnya dan berbaring sebelah anak temaninya menangis juga antara cara pujuk dan tenangkan anak.

Kenapa mesti DISEMPITKAN fikiran pujuk = angkat /dukung semata-mata?Bagaimana anak nak belajar ada 101 cara lain untuk bertenang jika ibubapa hanya tau angkat untuk buat anak diam?

Bagaimana anak nak mahir urus emosi dan tindakan jika ibubapa asyik tolong buatkan? Bagaimana?

Sumber:USWATUNHASANAHKONSULTANTANGISANBAYI

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *