GDM
|

KENCING MANIS @ GDM KETIKA HAMIL? 4 Risiko Ini Ibu Perlu Tahu!

Stresnya hari ni bila dapat result lepas minum air gula masa 28 weeks aritu, gula tinggi 7.80mmol/L! kena gdm. Hari ni kena pantau BSP ( bacaan paras gula) setiap 2 jam di klinik kesihatan. Pagi selepas 12 jam, lepas tu 2 jam selepas makan pagi, 2 jam selepas makan tengahari, 2 jam selepas makan malam. 4 kali berturut-turut kene cucuk. Saya tak sangka akan dapat kencing manis ketika hamil. Ada tips tak untuk atasi GDM ni?

APA ITU GDM?

GDM ialah Gestational Diabetes Mellitus atau dalam bahasa melayunya Diabetes gestasi. GDM ialah diabetes yang pertama kali berlaku ketika seseorang wanita itu hamil. Ia bukan terjadi disebabkan wanita itu sudah menghidapi diabetes sebelum wanita hamil.

GDM berlaku akibat dari peningkatan paras gula dalam darah yang dikesan melalui ujian MGTT yang dilakukan semasa pemeriksaan berkala kehamilan. Kebiasaannya semasa trimester kedua kehamilan.

Semasa hamil, diabetes akan berlaku kerana paras glukosa ibu melebihi paras normal. Keadaan jangka pendek ini berlaku semasa hamil sahaja dan paras glukosa tersebut akan kembali normal selepas bersalin.

Lebih kurang dalam 5% wanita hamil mengalami gejala diabetes ketika hamil dan 70 peratus daripada mereka akan pulih daripada gejala tersebut.

Foto Kredit: pinterest.ca

BERAPA BACAAN PARAS GULA UNTUK GDM?

Wanita hamil yang mencatatkan paras gula 7.80mmol/L hingga 11.00mmol/L selepas melakukan ujian MGTT dikategorikan sebagai berisiko menghidapi GDM. Manakala bagi wanita hamil yang mencapai bacaan 11.10mmol/L dan keatas pula dikategorikan sebagai pengidap GDM atau diabetes gestasi.

KETAHUI BACAAN KANDUNGAN YANG NORMAL BAGI IBU HAMIL

  • Berpuasa – kandungan dalam unit <96mg/dL( 5.35)
  • Selepas satu jam minum air gula – kandungan dalam unit <140mg/dL( 7.75)
  • Selepas dua jam minum air gula – kandungan dalam unit <120- 127mg/dL(6.65-7.05)
Foto Kredit: irishnews.com

SIAPA GOLONGAN YANG BERISIKO?

  • Wanita hamil 25 tahun keatas
  • Ada sejarah ahli keluarga yang menghidapi diabetes
  • Berat badan sebelum hamil melebihi 80 kg
  • Wanita yang hamil kembar
  • Ibu yang pernah melahirkan anak melebihi 3.5kg

BAGAIMANA GDM BOLEH TERJADI?

Diabetes terjadi disebabkan oleh insulin yang tidak mencukupi, ataupun insulin tidak berfungsi dengan baik bagi menukarkan gula/glukosa kepada tenaga.

Bagi penghidap GDM, insulin mereka tidak dapat berfungsi secara normal disebabkan hormon yang dihasilkan oleh plasenta iaitu lactogen plasental human, estrogen, progesteron, kortisol dan prolaktin. Kebiasaannya diabetes gestasi akan hilang selepas kelahiran bayi.

Foto Kredit: empowher.com

American Congress Of Obstetricians and Gynecologists ( ACOG) mencadangkan rawatan suntikan insulin bagi wanita yang telah diberikan tempoh 2 minggu untuk mengawal gula dalam darah dengan menggunakan pendekatan penjagaan makanan..

Jika mommy masih gagal lagi melepasi tahap bacaan gula yang normal, barulah rawatan suntikan insulin akan diberikan.

CARA MENGATASI GDM KETIKA HAMIL

  • Kurangkan makan dan minum makanan yang manis
  • Diet yang seimbang dengan memperbanyakkan sayuran hijau dan minum air kosong yang cukup.
  • Kurangkan pengambilan buah-buahan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi seperti durian, mangga, pisang dan tembikai.
  • Tukar beras berkanji ke beras perang.
  • Elakkan makanan yang bergoreng, berlemak dan makanan segera.
  • Lakukan senaman ringkas di rumah.

KESAN GDM KEPADA IBU & BAYI DALAM KANDUNGAN

  • Boleh menyebabkan bayi bersaiz bersaiz besar atau miliki lemak berlebihan.
  • Menyukarkan proses untuk bersalin secara normal & mommy mungkin terpaksa melahirkan anak secara czer.
  • Kadangkala selepas kelahiran, bayi mungkin mengalami masalah kesukaran bernafas jika ibu berisiko memiliki diabetes GDM. Setelah bantuan pernafasan dan paru-paru menjadi semakin kuat, masalah ini akan beransur pulih.
  • Anak yang memiliki sejarah daripada ibu GDM mungkin turut bakal memiliki masalah diabetes di dalam kehidupannya.

Dr Norintan Zainal Abidin Shah, Pakar Perbidanan & Sakit Puan Columbia Asia Seremban berkongsi beberapa tips untuk ibu kawal pemakanan ketika hamil.

  1. Jangan simpan makanan yang tidak boleh dimakan di dalam rumah. Misalnya, jika anda tidak dibenarkan minum minuman bergula, jangan beli atau simpan apa-apa minuman berkarbonat misalnya di rumah. Semua ahli keluarga yang lain termasuklah suami hendaklah bekerjasama dalam hal ini.
  2. Ganti beras/mi/mihun/pasta/roti biasa dengan bahan-bahan karbohidrat berserat tinggi (complex carbohydrates). Beras putih boleh digantikan dengan beras perang. Roti putih boleh digantikan dengan roti “grain bread” atau “wholemeal”. Mihun dari beras merah ada dijual di pasaran. Pasta yang diperbuat dari wholemeal flour juga mudah didapati daripada pasaran.
  3. Makan dalam kuantiti kecil tapi kerap. Waktu makan utama iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam dikekalkan tapi ambil snek antara waktu makan utama. Antara masa sarapan dan makan tengah hari ambil snek pagi. Di antara makan tengah hari dan makan malam pula ambil snek petang.
  4. Bagi sarapan, makan tengah hari dan malam; amalkan diet yang disarankan oleh pakar pemakanan anda.
  5. Kegagalan diet yang disarankan oleh pakar pemakanan akan berlaku jika diet dan jenis makanan tidak menepati selera seseorang pesakit itu. Justeru Dr Norintan mencadangkan supaya makan makanan yang anda suka. Misalnya, jika sarapan yang dicadangkan ialah sandwic telur tetapi anda tidak suka makan ini bolehlah tukar kepada sekeping capati atau secawan mihun goreng. Tapi pastikan kuantiti yang bersesuaian.

Moga bermanfaat!

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *