Anak Sulung
|

Silap Asuh Anak Pertama Punca Berlaku Sindrom Anak Sulung, 5 Kesilapan Ini Elak Buat!

Pastinya kelahiran anak sulung dalam keluarga memberi kegembiraan buat pasangan suami isteri. Itulah detik paling bermakna dalam hidup bila bergelar ibu bapa.

Sudah pasti kita sebagai ibu ayah merasa teruja untuk beli macam-macam untuk anak sulung dan menatang mereka bagaikan minyak yang penuh. Kita manjakan dan jaga mereka sampaikan mereka berkepit je dengan kita. Namun kita tak sedar, dari sikap kita yang terlalu ‘over protect’ ni sebenarnya menganggu perkembangan anak.

Mungkin kesilapan kita itu nampak remeh, tetapi ianya memberi kesan kepada tingkah laku anak sulung apabila mereka meningkat dewasa.

Ikuti perkongsian ibu ini mengenai kesilapan yang kita tak perasan dalam mendidik dan mengasuh anak sulung.

‘Sindrom Anak Sulung’

Ini gambar waktu bulan kelima saya jadi mak. Nampak tak apa kesilapan saya dalam tu?

Ya, anak dah 5 bulan. Tapi saya masih pakaikan dia mitten. Mitten kecik pulak tu.

Begitulah.

Waktu kali pertama jadi mak, banyak kesilapan saya dah buat.

Antara kesilapan lain adalah :

– Biarkan diri stres waktu mengandung. Akibatnya anak lahir jadi bayi yang ‘stres’. Kuat meragam.

– Tak belajar ilmu parenting. Akibatnya, banyak kesilapan parenting saya buat. Paling gila, masa saya buat tu, saya yakin saya buat benda betul.

– Manjakan anak dengan pelbagai peralatan bayi. Berjam-jam duduk atas rocker dan walker. Tak banyak tummy time. Akibatnya, banyak perkembangan motornya terjejas.

– Memaksa dan mengajar anak secara keras untuk dia pandai membaca dari kecil. Akibatnya, dia hilang minat belajar dan membaca. Walaupun dari kecil dah boleh membaca.

– Menjadi ibu yang impulsif dalam menghukum. Akibatnya, sampai sekarang saya struggle nak membentuk dirinya yang impulsif bila beremosi.

Hati-hati ibu ayah.Jadilah ibu bapa berilmu sementara anak masih kecil lagi.

3 SINDROM ANAK SULUNG

Kesilapan kita mendidik anak sulung boleh menjadi punca utama mereka memiliki ‘Sindrom Anak Sulung’ yang ketara :

Antara contoh sindrom anak sulung yang saya maksudkan adalah :

1. Memiliki FIXED MINDSET

Harapan yang terlalu tinggi diletakkan pada anak sulung, menyebabkan ibu bapa sukar menerima kesilapan yang dilakukan anak-anak.

Anak-anak dipaksa memenuhi kehendak kita, walaupun ia tidak kena dengan fasa dan fitrah anak ketika itu.

Hasilnya, anak menjadi terlampau perfectionist. Sukar menerima kekurangan dan kesalahan.

Dan bila terbuat salah, mereka cenderung untuk memiliki mindset,”Alaa.. Aku dah salah. Takde harapan dah ni nak betulkan balik. Sekali gagal, totally gagal!”

Foto kredit: nashvilleparent.com

2. BOSSY

Bagus untuk kita didik anak sulung jadi seorang yang bertanggungjawab. Tapi, pastikan ia tidak keterlaluan. Sehingga timbul sifat bossy pada anak.

Kadang-kadang, sifat bossy tersebut sampai buat adik-beradik yang lain rasa tertekan.

Disuruh dengan kasar,tak pertimbangkan apa orang lain sedang buatdan susah bertolak ansur.

Bayangkan bila sifat bossy ni anak bawa bila bersosial. Pening orang lain nak melayan oi.

Takut-takut, dia menjadi individu yang tidak disenangi di kalangan kawan-kawan.

3. OVERLY SENSITIVE

Anak sulung juga cenderung menjadi seorang yang mudah beremosi. Sebab masa dia kecil dulu, kita tak ada ilmu nak kendalikan emosi mereka dengan baik.

Foto kredit: healthline.com

Struktur emosi mereka tak stabil. Mudah runtuh, remuk dan rapuh.

Besar pengaruh karektor anak sulung ni tau. Sedikit-sebanyak mempengaruhi karektor adik-adik yang lain. Walaupun kita tahu yang setiap anak dilahirkan dengan karektor yang pelbagai.

Tak percaya, cuba tengok.

Ada banyak ketika, adik-adik akan ikut apa yang kakak atau abang dia buat.

Yang paling tak seronok, hat-hat buruk tu paling mudah mereka ikut.

Pun begitu, berterima kasih dan hargailah anak sulung kita. Mereka adalah guru yang paling banyak berkorban mendidik kita.

Melalui merekalah kita merasai pengalaman manis kali pertama memegang anak hasil benih sendiri.

Melalui merekalah, jiwa kita terdidik untuk memahami jiwa anak-anak kecil.

Melalui merekalah kita mendidik diri mengawal bara emosi.

Melalui merekalah kita melalui pengalaman menakjubkan, membesarkan manusia dari proses alam rahim sampai dia dah besar sekarang.

Hargai mereka. Sayangi mereka.

Tidak pernah terlewat untuk kita betulkan kesilapan. Selagi mana kita usaha bentuk mereka dengan ilmu yang betul.

Sumber: Wawa Shauqi

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *