Kontraksi Bermula
|

10 Perkara Yang Ibu Ayah Perlu Tahu Bila Kontraksi Bermula

Ibu yang sedang menunggu untuk melahirkan anak pasti takut bercampur teruja kan? lebih-lebih lagi kepada ibu yang baru pertama kali melahirkan anak. Penting untuk ibu ayah tahu bila kontraksi bermula.

Ibu yang dikenali sebagai Kak Aya berkongsi cerita melalui pengalamannya melahirkan anak. Ibu-ibu boleh ikut tips ini ya.

Apabila tiba saat kelahiran iaitu bermula dengan kontraksi, ibu akan mengalami beberapa tanda yang memberi petunjuk bahawa masanya hampir tiba. Selepas bermulanya kontraksi, ibu akan melalui fasa kelahiran yang mungkin ada disenaraikan di bawah.

Foto kredit: baby-chick.com

Perkara Yang Bakal Ibu Perlu Tahu & Lakukan Apabila Kontraksi Bermula

1. Memeriksa semula keperluan ketika mendaftar di Hospital

Sebelum bergerak ke hospital, ibu harus memeriksa dan membawa bersama dokumen penting untuk kemasukan ke hospital bersalin. Dokumen tersebut adalah Buku Rekod Semasa Hamil, Kad Pengenalan Suami dan Kad Pengenalan anda, serta wang untuk deposit hospital dan sebagainya.

Barang keperluan selepas bersalin nanti juga jangan lupa tau.

2. Kenalpasti Kontraksi Palsu atau Kontraksi Sebenar

Kontraksi Palsu mempunyai jarak kontraksi yang tidak teratur dan tidak tetap. Contohnya kontraksi pertama 10 minit, kemudian diikuti 3 minit dan 7 minit.

Kontraksi sebenar pula apabila jarak masa kontraksi yang tetap dan semakin kerap. Contohnya 10 minit, 7 minit, 5 minit, 3 minit dan sebagainya.

Kesakitan ketika kontraksi berpunca daripada pengecutan rahim. Kesakitan ini akan berterusan dan bertambah sakit apabila bukaan pangkal rahim semakin aktif. Kesakitan juga akan ibu rasai apabila bayi mulai turun dan sampai dalam vagina dan bersedia untuk keluar.

Foto kredit: medicalnewstoday.com

Bakal ibu dinasihatkan untuk segera ke hospital jika mengalami tanda-tanda awal seperti keluarnya darah bercampur lendir ataupun pecah air ketuban.

Pengalaman Aya bersalinkan 4 orang anak, 3 kali keluar tanda “bloody show” iaitu darah bercampur lendir. Satu kali pula disebabkan “leaking”. Leaking terjadi apabila keluar lelehan air dari faraj, tetapi kuantiti air yang keluar tu tidak lah sebanyak apabila pecah air ketuban. Jika berlaku leaking, ibu harus pergi ke hospital untuk pemeriksaan bagi mengelakkan risiko bayi lemas dan jika perlu, ibu akan diberikan antibiotik.

Apabila ibu mengalami tanda-tanda ni, tak payah tunggu lama, pergi saja ke hospital. Jika bukaan masih sikit atau servikc masih tebal, ibu akan diarahkan untuk pulang. Bagi Aya, biarlah banyak kali ke hospital untuk pemeriksaan, asalkan bayi selamat. Tidak berani tanggung risiko 😀

3. Pergerakan bayi

Walaupun masa bersalin hampir tiba, namun ibu jangan sesekali lalai untuk mengira pergerakan atau tendangan bayi. Jika ibu mengesyaki bayi kurang bergerak, segeralah ke hospital kerana bimbang bayi lemas di dalam kandungan. Pastikan bayi bergerak 10 kali dalam tempoh 12 jam. Ibu harus memahami cara pengiraan pergerakan bayi agar dapat mengira pergerakan dengan tepat.

4. Overdue atau terlebih dari tarikh jangkaan bersalin

Overdue adalah situasi dimana tarikh bersalin lewat daripada tarikh jangkaan bersalin. Sekiranya bayi lewat 7 hari daripada tarikh jangkaan, ibu akan diberikan ubat cetusan atau “induce” kerana bayi perlu dikeluarkan segera untuk dapat mengelakkan sebarang komplikasi.

Aya sendiri pernah overdue 5 hari sewaktu hamil anak yang ketiga, namun berjaya melahirkan baby tanpa diberikan ubat pencetus. Tetapi sewaktu baby selamat dilahirkan, wajahnya kering seakan-akan terbakar terutama di kawasan “T” muka. Rakan Aya maklumkan situasi ini adalah normal kerana beliau sendiri mengalaminya. Ada tak mommies berpengalaman macam ni? Tapi alhamdulillah, sekarang kulit anak dah normal dan jarang pula naik ruam atau apa-apa penyakit kulit 😀

Antara penyebab overdue berlaku antaranya apabila saiz kepala bayi besar berbanding saiz pelvik, baby tersekat, tiada kontraksi atau boleh juga disebabkan mempunyai genetik kehamilan yang panjang.

5. Ubat membuang najis

Sebaik ibu tiba di bilik bersalin, ibu biasanya akan diberikan ubat ini. Jika ibu mengalami cirit-birit atau telah membuang air besar sebelum itu, ibu perlu memaklumkannya kepada jururawat. Ubat ini diberikan atas tujuan untuk mengelakkan najis terkeluar bersama ketika proses meneran kelak.

Foto kredit: babycenter.com

6. Induce atau Ubat Cetusan

Induce selalu diberikan untuk ibu yang mempunyai kandungan “overdue” iaitu tarikh bersalin lewat daripada jangkaan sebenar. Means dah melebihi tarik EDD lah. Selalunya doktor akan memberikan ubat ini jika terdapat risiko kematian bayi yang tidak dijangkakan di dalam kandungan. Suntikan ubat induce ini mampu mempercepatkan proses bersalin, sekaligus menyelamatkan nyawa bayi.

7. Entonoks (gas dan udara)

Entonoks adalah campuran gas nitrus oksida dan oksigen untuk menahan rasa sakit tetapi tidak sepenuhnya seperti epidural. Prosedur ini memerlukan ibu memakai topeng untuk menghidu gas terutamanya ketika sakit kontraksi datang. Kesan hidu gas ni, ibu akan merasa ngantuk.

Aya berpengalaman menggunakan Entonoks sewaktu melahirkan anak ketiga. Bagi Aya tiada beza pun, hihihi.. sakit tu memang sakit juga, malahan time push tu badan menjadi lemas kesan menggunakan entonoks.

Antara keempat-empat anak Aya, kelahiran ketiga ni memang mencabar. Push-push tak juga keluar, sakit kontraksi pula sangat kuat sehinggakan request epidural pun dilayan (selalunya hospital kerajaan tak layan sangat melainkan jika perlu). Tetapi apabila pakar bius datang dan brief tentang risiko (sempat lagi), Aya terpaksa tolak sebab takut dengan risikonya iaitu antaranya risiko menjadi lumpuh (nauzubillah). Waktu tu, pakar vakum pun dah bersiap sedia. Namun Aya memang tekad untuk melahirkan secara normal (kelahiran kedua emergency caesar sebab baby dah berak).

Akhirnya bila midwife lain datang tengok, rupa-rupanya kepala baby senget, lepas dia putarkan sikit kepala baby memang sekali push baby meluncur keluar. Ya Allah penatnya.. hihih.. tapi best juga pengalaman ni. Boleh kongsi dengan ibu kan? 😀

8. Epidural

Epidural adalah sejenis ubat bius yang melegakan rasa sakit dengan menjadikan bahagian bawah badan berasa kebas seketika. Ia berkesan untuk mengurangkan kesakitan ketika kontraksi dan juga kesakitan terutamanya pada bahagian pinggang belakang. Yang ni Aya tak pernah ambil, so tak dapat kongsi pengalaman.

9. Kelahiran bantuan: Pembedahan Ceasarean, Forsep dan Vakum

Selain bersalin normal, terdapat juga kelahiran bantuan yang boleh membantu memudahkan kelahiran bayi anda. Antaranya adalah pembedahan ceasarean, forsep dan vakum.

Pembedahan ceasarean dilakukan dengan melahirkan bayi dari dinding abdomen. Forsep pula ialah alat yang digunakan untuk menarik kepala bayi keluar jika ibu sudah keletihan untuk terus meneran. Vakum pula adalah proses menyedut kepala bayi menggunakan cawan logam yang bersambung pada vakum.

Foto kredit: healthline.com

Aya turut mempunyai pengalaman bersalin melalui pembedahan Ceasarean sewaktu melahirkan anak kedua. Bukaan dah 6cm, tetapi tetiba denyutan jantung baby mulai perlahan, apabila doktor membuat pemeriksaan bukaan vagina, cecair sudah bertukar menjadi kekuningan. Ini menandakan bayi sudah berak di dalam perut. Apa lagi, serta merta lah Aya disorong ke bilik pembedahan. Merasa juga laaa kena belah perut. Hihi…

10. Episiotomi

Episiotomi merupakan guntingan kecil antara faraj dan anus yang akan dilakukan jika terdapat komplikasi seperti saiz kepala bayi besar. Bahagian tersebut akan dibius sebelum digunting. Kesan luka bahagian itu akan memberikan rasa tidak selesa dalam tempoh beberapa minggu selepas bersalin sehinggalah jahitan sembuh. Luka ini juga boleh menyebabkan kesakitan terutamanya apabila mengalami sembelit.

Oleh itu, ibu perlu mengambil makanan yang boleh mempercepatkan luka bersalin sembuh dan makanan tinggi serat agar tidak sembelit, serta mengambil air yang secukupnya. Ibu perlu pastikan luka kering dan tidak bengkak. Jika ibu merasa sakit di bahagian luka, segeralah berjumpa dengan doktor.

Aya kongsikan bagaimana ibu ini, berjaya mengatasi masalah sembelit ketika berpantang.

Fuhhh selesai. Banyak sangat perkara yang bakal dilalui oleh bakal ibu ketika proses kelahiran.

Nasihat Aya, ibu perlu positifkan minda, jangan panik, rileks, jangan lupa makan sebelum ke hospital dan bawalah makanan yang boleh memberikan tenaga untuk meneran nanti.

Bagi ibu muslim, jangan lupa amalkan Doa Nabi Yunus, “La ilaha illa anta subhanaka inni kuntum minaz zolimin” yang bermaksud “Bahawa tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau. Sesungguhnya aku adalah termasuk dalam orang-orang yang zalim.” InsyaAllah proses kelahiran bayi dipermudahkan.

Kredit: Aya Chalo

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *