Mabuk Teruk
|

Mabuk Teruk Ketika Hamil Bukan Dibuat-buat, 7 Perkara Ini Anda Perlu Tahu!

Aduhhh.. loyanya tekak ni.. hari ni je dah berapa kali dah aku muntah ni.. rasa lemah satu badan. Makan je muntah, minum je muntah. Tak pernah lagi kena mabuk teruk macamni waktu mengandung anak pertama dulu.. hishhh”

Tersangatlah lemah kalau kena mabuk teruk waktu hamil ni. Bau ni tak boleh, makan semua jadi tak sedap, hilang selera makan dan badan terasa lemah.

Hampir kebanyakan wanita yang berpengalaman mengandung pasti pernah rasa ‘morning sickness’, terutamanya pada awal fasa kehamilan.

Ramai yang anggap benda ni perkara biasa dan bukanlah sesuatu yang patut dirisaukan. Malah, ada yang sampai ‘takut’ nak pergi klinik sebab tak mahu dianggap lemah atau mengada-ngada.

Janganlah begitu, ini 7 perkara yang bakal ibu dan ayah perlu tahu tentang hyperemesis gravidarum.

1. APAKAH HYPEREMESIS GRAVIDARUM

Foto kredit: www.today.com

Sebenarnya rasa mual dan muntah yang teruk sampai tak boleh bangun dan berterusan lama merupakan sebuah kondisi yang perlu diberi perhatian. Ia dikenali sebagai hyperemesis gravidarum.

Hyperemesis gravidarum selalunya berlaku antara minggu ke 4 hingga minggu ke 6 minggu kehamilan dan boleh menjadi semakin teruk pada minggu ke 9 hingga 13. Ada juga yang berlarutan sepanjang waktu kehamilan.

2. PUNCA TERJADI

Punca sebenar penyakit ini masih tidak diketahui tetapi ramai para doktor berpendapat bahawa penyakit ini disebabkan peningkatan hormon human chorionic gonadotropin (HCG) dan estrogen yang mendadak.

Ibu yang pernah melaluinya pasti memahami situasi ini. Ada sesetengah orang ingat saja buat-buat mabuk, mengada-ngada dan manja sangat.

Dah kena baru tahu!

3. ADA PERBEZAAN DENGAN ‘MORNING SICKNESS’

Jadi macam mana nak tahu sekiranya rasa mual dan loya yang anda alami sekarang adalah jenis ‘morning sickness’ biasa atau tahap ekstrem seperti hyperemesis gravidarum?

Berikut adalah perbezaannya:

MORNING SICKNESSHYPEREMESIS GRAVIDARUM
Muntah dan mualMuntah yang teruk, berterusan serta mual
Mual yang berkurang pada usia kehamilan 12 minggu ke atasRasa mual yang tidak berkurang
Muntah yang tak menyebabkan badan kekurangan airMuntah teruk sehingga badan kehilangan air dengan banyak
Muntah yang masih dapat kekalkan makanan dalam perutMuntah terlalu kerap sehingga menyebabkan perut kosong

4. SIMPTOM LAIN YANG PERLU DIPERHATIKAN

Foto kredit: thepragmaticparent.com

Selain simptom yang dinyatakan di perbezaan di atas, pesakit juga akan hilang selera makan hingga boleh menyebabkan berat badan berkurang berbanding daripada sebelum hamil.

Badan pula menjadi teramat lesu sehingga pesakit tidak dapat menjalankan aktiviti harian seperti biasa.

Ketidakupayaan pesakit ketika itu disertai dengan penyakit yang dialami boleh juga memberi kesan kepada kesihatan mental sehingga mengakibatkan kemurungan.

Kekurangan air di dalam badan juga akan membuatkan pesakit semakin kurang kekerapan membuang air kecil.

5. KOMPLIKASI

Antara komplikasi yang perlu dihadapi ialah kekurangan berat badan akibat kurang makan.

Buah pinggang juga tidak dapat berfungsi dengan baik akibat kurang nutrisi dan badan yang semakin kekurangan kandungan air.

Mineral dan zat penting di dalam badan yang tidak dapat dibekalkan seperti potassium dan sodium pula akan mengakibatkan kepala rasa pening, badan lesu dan tekanan darah menjadi rendah.

Gaya hidup yang semakin pasif akibat kekurangan tenaga dapat menjadikan otot semakin lemah.

6. KAEDAH RAWATAN UNTUK MABUK TERUK

Foto kredit: wikihow.com

Kebanyakan kes ini akan dirujuk kepada hospital untuk rawatan lanjut. Ia juga bergantung tahap keterukan yang dialami.

Pesakit boleh mengamalkan rutin makan kepada makanan kering seperti biskut, dan makan sedikit tetapi kerap.

Akibat badan yang sering menolak makanan, terdapat kes di mana pesakit terpaksa disuntik IV untuk membekalkan semula komposisi air, vitamin dan mineral yang hilang dalam badan.

Ada juga pesakit tahap teruk yang diberi suntikan IV dengan kandungan nutrisi kompleks sepanjang kehamilan.

7. WANITA YANG BERISIKO

Menurut sumber, walaupun hyperemesis gravidarum boleh terjadi kepada sesiapa saja, namun anda mungkin lebih berisiko untuk jika  mempunyai faktor berikut

  • mempunyai berat badan berlebihan
  • hamil kembar dua atau lebih
  • pertama kali hamil
  • mengalami trophoblastic iaitu ketumbuhan di dalam uterus.

Kalau nak tahu, Permaisuri Diraja Britain, Kate Middleton sendiri mengalami masalah ini dalam ketiga-tiga kali kehamilannya!

JANGAN TANGGUNG MABUK TERUK SEORANG DIRI, DAPATKAN RAWATAN

Foto kredit: areyouawellbeing.texashealth.org

Bukan mudah sebenarnya nak mengharungi tempoh 9 bulan kehamilan ni. Dorongan dan sokongan dari orang sekeliling terutamanya suami amat penting untuk memastikan keselamatan dan kesihatan ibu terjamin.

Buat suami, teruslah beri semangat dan bantu isteri anda.

Kalau diikutkan, penyakit ini jarang dilaporkan kerana kebanyakan para ibu berkeputusan untuk menghadapinya sendiri tanpa rawatan rapi.

Yang penting, pastikan kesihatan fizikal dan mental ibu sentiasa terjaga. Ibu perlu dapatkan rehat secukupnya dan jangan paksa diri dalam menjalani aktiviti harian.

Jangan berlengah untuk dapatkan rujukan doktor sekiranya alahan menjadi semakin teruk dan sukar dikendalikan ya!

Sumber rujukan: Siraplimau

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *