Suami Sebak & Menangis Tatkala melihat Isteri Bersalin Overdue & Induce.
Hanya yang pernah melalui proses bersalin overdue je yang akan faham keadaan menunggu ini.
Suara suami yang mula membaca surah Al-Kahf mula berbalam-balam. Sesekali dengar suara suami sebak, mengelap air matanya & bacaannya terhenti..Abang.. jangan nangis…” bisik saya perlahan sebelum terlelap kembali.
Suami mana yang tak sayu hati apabila melihat insan yang dia sayang dan cintai bergelut dengan kesakitan demi melahirkan zuriatnya sendiri. Terbit rasa simpati apabila melihat wajah isteri berkerut-kerut cuba untuk bertahan mengharungi proses melahirkan anak.
Pengalaman ini dikongsikan oleh Intan Dzulkefli. Semoga kisah ini menjadi inpirasi dan rujukan kepada ibu ayah di luar sana sebagai langkah persediaan jika berlaku situasi yang sama.
PERSEDIAAN SEBELUM KE LABOUR ROOM
Teringat setahun yang lepas, waktu begini sedang menunggu turunnya tanda untuk melahirkan khalifah kecil yang kedua. Jika masih tiada sebarang ‘show’, esok ialah hari ‘menyerah diri’ atau IOL (induction of labour) di hospital.
Syahdu rasanya kala menyusukan Maira hingga tidur, yang kala itu sedang manja sangat-sangat. Umurnya baru menginjak 18bulan. Walaupun susu memang dah tiada, dia tetap nak melekap dengan ummi hingga lelap mata.
Sakit pinggang, sakit belakang sejak masuk trimester kedua, namun, tak sanggup tengok mata si anak yang sayu terkebil-kebil meminta agar haknya dipenuhi.
Malam itu, mata payah hendak lelap walau ayam sudah samar-samar berkokok. Sudah sebulan duduk di rumah ayah bonda, akhirnya khalifah kecil belum ada tanda untuk keluar sebelum tarikh IOL.
Bangkit ke bilik air & mengambil wuduk. Selesai solat, paksa jugalah diri tidur.
Sebelum Subuh, Ibu & ayah datang menjenguk bilik, kami suami isteri sudah bersiap untuk ke hospital. Kena gerak pergi sebelum Maira bangun.
Waktu salam tangan ibu ayah, meminta maaf & meminta doa mereka agar dipermudahkan urusan bersalin, air mata tumpah berderai-derai. Sebak betul rasa hati.
Di dalam kereta, suami sedaya upaya cuba menenangkan & menceriakan. Tetapi dalam pada itu air mata keluar juga apabila memikirkan tentang Maira, memikirkan tentang nasib diri selepas ini & seterusnya.
Suami bawa sarapan di kedai roti canai yang popular di pekan Kuala Pilah, memang sedap rangup rotinya. Namun, dalam mood gloomy makanan kegemaran pun rasa kesat untuk ditelan.
SERAH DIRI DI HOSPITAL
Kemudian, terus ke hospital menuju ke wad bersalin HTAN, Kuala Pilah. Kemudian masuk ke dalam ambil urin, timbang berat, ambil darah & check CTG. Teringat kenangan sewaktu melahirkan anak pertama, waktu itu check CTG dalam keadaan contraction kuat, betul-betul ingat nak bersalin dah. Rupanya baru 3cm.
Kali ini di katil yang sama untuk check CTG tapi contraction langsung tiada. Allahu sebaknya rasa. Air mata tak usah kata, bagai tak tahu berhenti. Dalam hati berbaur rasa. Semoga semuanya dipermudahkan. Jujur, tak bersedia langsung emosi & fizikal untuk dibedah. Biarlah selamat semuanya secara SVD.
Lama CTG. Riak wajah Doktor nampak risau.
“CTG tak berapa cantiklah.” Dengar suaranya berbual dengan seorang lagi HO. Kemudian dia minta masuk ke bilik lain. Untuk check VE, pasang branula & buat semula CTG lain.
Sekali lagi dengar doktor berbincang dengan MO tentang CTG yang tidak berapa cantik.
“Patut ke kita induce & pecahkan amniotic fluid?” Tetapi MO kata, masuk wad & tunggu dulu untuk hari ini.
Masuk ke wad, katil yang diberi di hujung sekali, sebelah tandas. 3 katil yang lain kosong. Apabila tiada kelibat memerhatikan, air mata keluar bercucuran. Allah, rapuhnya la waktu itu.
Telefon ibu, menangis.
Telefon adik, menangis.
Berbual dengan kawan-kawan dalam group minta doa mereka pun menangis.
Kemudian, teringat seorang teman. Saya tidak rapat dengan dia, tetapi waktu itu Allah lintaskan namanya dalam hati. Terus menyapanya di Messenger. Berbual dengannya. Tentang pengalamannya bersalin anak keduanya dua bulan lepas. Dia sangat positif, beri kata-kata semangat & tips, sangat membantu dalam melegakan perasaan yang rasa berat sungguh waktu itu. Alhamdulillah, jazakillahu khairan, Farah.
Masa dihabiskan mengaji, solat, solat taubat, solat hajat. Kepala rasa sakit. Mungkin sebab masuk angin makan sedikit sangat, tak cukup tidur & asyik menangis. Terlelap sekejap. Kemudian suami datang kejutkan & bawa makanan kegemaran dengan wajah ceria, beri kata semangat. Diurutnya kepala yang sakit, dipicitnya bahu. Akhirnya, dua kali muntah keluarkan semua isi perut.
Alhamdulillah, selepas mandi, solat maghrib & mengaji, rasa lega emosi rasa lebih stabil. Sudah lebih tenang. Sakit migrain pun dah kurang.
InsyaAllah, esok pagi (20 Jan 2017) akan di-induce. Sebelum tidur, tergerak hati untuk membaca tentang posisi untuk mengurangkan sakit contraction, kaedah pernafasan untuk mempercepatkan bukaan rahim. Cuba untuk mempersiapkan mental untuk menghadapi hari esok. “Ya Allah, tak sabarnya nak jumpa baby!”
Terlelap akhirnya setelah menatap wajah penghuni pertama rahim ummi. Tak kuat rasa nak call, takut Maira menangis pula nanti. Tak apalah tahanlah sikit rindu, walau sakitnya hanya Allah Tahu.
Terjaga pukul 4 pagi, pergi ke toilet, masyaAllah, ada lendir coklat. Excited rasa sebab ini kali pertama keluar tanda. Di katil nurse telah menunggu untuk check BP & diarahkan untuk check CTG selepas solat subuh nanti.
Solat subuh & doa. Tumpah lagi air mata. Minta yang terbaik dari Allah kerana Allah Yang Mengetahui segalanya. Tak ada hal mudah melainkan apa yang Allah mudahkan. Tak ada yang mustahil bagi Allah, maka mintalah pada Allah. Berdoa sungguh-sungguh mudah2an segalanya akan dipermudahkan Allah. Yakin, tiada yang mustahil bagi Allah. Surah as-Syarh (al-Insyirah) dibaca banyak kali.
KENA INDUCE & PECAHKAN KETUBAN
Akhirnya dipanggil untuk di-induce pada pukul 7.30 pagi. Syahdu betul rasa langkah kaki ke bilik CTG. Lama CTG sampai terlelap-lelap. Yelah, tak rasa sakit, bolehlah lelapkan mata. Berbeza dengan pengalaman bersalinkan Maira, masuk ke hospital memang sudah sedia sakit sejak berhari-hari.
Keluar masuk HO & nurse silih berganti. Dengar mereka berbual.
“CTG tak cantiklah.. panggil MO la..”
Datang MO membebel marah.
“CTG dah tak cantik korang tunggu apa lagi? Pecahkan tuban, tolak LR la..”
Kemudian, dalam sekelip mata, semua wayar melekap di perut terus dicabut, alih-alih minta izin untuk MO pecahkan ketuban. Memang agak ganas juga caranya, sambil dia membebel marahkan HO & nurse yang uruskan saya kerana lambat bertindak. Setelah beberapa ketika rasa ngilu digodek-godek amniotic hook, akhirnya terasa air panas membasahi ruang katil. Alhamdulillah warna ketuban masih jernih tanda baby masih okay. Kalau sudah warna hijau, ada kemungkinan baby dah termakan najis. BAHAYA.
MO terus suruh tolak masuk labour room (LR) biarpun bukaan baru 3cm (kebiasaannya masuk LR bila 4cm).
Selepas confirmation arahan itu diminta berjalan ke katil menyiapkan diri untuk ke LR. Apabila berjalan ke katil untuk bersiap ke LR, tiba-tiba sahaja mula rasa sakit kontraksi. Minta nurse untuk beri masa seketika untuk bertenang.
Gap. Gap. Gap.
Sampai di katil, perlahan-lahan ibarat kura-kura, salin baju, kain & makan kurma dahulu. Telefon suami untuk memberitahu keadaan diri. Lutut dah mula bergetar menahan sakit contraction. Alhamdulillah nurse yang menunggu di tepi sangat sabar.
Makcik cleaner menegur.. “sakit ya dik… dah nak masuk LR ya..”
Diri cuma mampu mengangguk sambil minta dia doakan biar segalanya dipermudahkan.
“Adik jangan risau.. insyaAllah sekejap je… tengahari nanti bersalin dah..” ujarnya sambil tersenyum. Amiin…
Ya Allah, Engkaulah yang Mempermudahkan urusan hambaMu.
Ketika mahu memakai seluar bersalin MAMAPRIDE, nurse tegur.. “puan nak pakai seluar ni ya.. eh kat sini tak boleh puan.. tapi kita bawa je nanti kat LR saya tanya ya boleh pakai ke tak..” saya cuma angguk sambil berdoa dalam hati mudah2an dapat pakai seluar itu.
KONTRAKSI MULAI KUAT
Lutut da mula terketar menahan sakit kontraksi yang semakin kuat. Ketika separuh jalan ke LR, air ketuban makin banyak keluar mencurah2 di tempat duduk wheelchair. Sampai di LR, basah lantai dengan air ketuban.
Setelah bertanya dengan SN, alhamdulillah boleh pakai seluar bersalin itu walau ada seorang Dr lelaki non-muslim (dia merawat patient katil sebelah) asyik bertanya kenapa tak pakai kain pink. Bersyukur sungguh kerana semua SN yang buat CTG, pasang drip semuanya baik-baik. Slowly naik ke katil. Waktu itu, tengok jam sudah menunjukkan 9.45 pagi.
Kontraksi semakin kuat.. suami dipanggil untuk menemankan. Request untuk dengar suami baca al-Quran. Dia tanya nak surah apa? Saya cakap, surah Yassin pun boleh. Sesekali apabila sakit terlalu kuat saya memegang kuat tangannya. Tahu dia mesti rasa sakit, tapi diri sendiri pun tak sedar buat semua tu.
Staff Nurse (SN) datang suntik pitocin, suntik pethidine (penahan sakit & bagi effect sangat mengantuk). Suara suami yang mula membaca surah Al-Kahf mula berbalam-balam. Sesekali dengar suara suami sebak, mengelap air matanya & bacaannya terhenti.
“Abang.. jangan nangis…” bisik saya perlahan sebelum terlelap kembali.
Mata mengerling jam.. sudah pukul 11.40pagi. Kontraksi semakin kuat. Sangat kuat. Bila terlalu sakit mata dilelapkan sambil bayang bukaan buka luas-luas, cepat-cepat.. seperti kelopak bunga yang mengembang mengeluarkan bayi dengan lancar.
DOA SUAMI MELINDUNG ISTERI KETIKA MELAHIRKAN ANAK
Suami ajar cara bernafas dengan betul. Syukur sungguh kali ini suami dibenarkan ada di sisi, emosi rasa sangat tenang bila lihat dia. Rasa sakit sangat seperti nak meneran tapi tahan sebab tak mahu meneran terlalu awal. Suami tetap setia ajar bernafas, mengelapkan peluh, mengajar selawat & istighfar. Sesekali terlelap juga mata effect ubat penahan sakit.
Tak sedar bila.. cuma dengar suara SN menyuruh suami duduk di luar sebab nak buat CTG lagi. Pukul 1 plannya nak check jalan. SN palingkan badan untuk memasang alatan CTG… saat itulah rasa dah tak mampu nak menahan gesa untuk meneran. SN terkejut melihat reaksi saya.. “eh puan rasa dah nak meneran ke?” dia terus menyelak seluar. Terus dia menjerit; “panggil suami Nurul Intan. Panggil suami!”
Saya terus push. Rasa seperti automatik untuk push biarpun tiada siapa bagi arahan pushing. Seketika kemudian suami sudah kembali di sisi saya. “Okay puan, teruskan ya.”
Sekali lagi push, saya dapat rasa seperti ada sesuatu keluar dengan cepat. “Alhamdulillah, mudahnya.., time 12.26pm.” Sedar-sedar baby sudah diletakkan di atas dada. Alhamdulillah.
Sayup dengar SN berkata sesama rakannya. “Ya Allah, cord 2x around neck. Syukur tak ada apa. Syukur sempat tarik. Patutlah CTG baby tak cantik….”
Mengerling ke arah jam. 12.31 tengahari sudah. Alhamdulillah… suami senyum saja di sebelah sambil cakap alhamdulillah berulang kali. Selesai proses mengeluarkan uri, darah beku & menyusukan baby.. sempat dengar patient Dr lelaki non-muslim di sebelah pula melahirkan anak.
Alhamdulillah… Ketika ditolak kembali ke wad, berjumpa dengan makcik cleaner… dia tersenyum memandang… “kan betul makcik cakap… alhamdulillah kejap je adik dah bersalin..”
Saya hanya mampu senyum.. “alhamdulillah, Allah mudahkan segalanya… baby nak keluar hari Jumaat makcik..”
BERSALIN OVERDUE MEMANG BANYAK RISIKO. IBU PERLU POSITIF, SABAR DAN TAWAKAL KEPADA ALLAH.
Sebelum bersalin minta maaf dengan orang disekeliling kita. Doa mereka banyak memudahkan segala urusan kita. Jaga adab, jaga percakapan dan berfikir yang baik-baik.
Sumber: Intan Dzulkefli