Menyambut Kelahiran Bayi
|

8 ADAB MENYAMBUT KELAHIRAN BAYI DALAM ISLAM.

Kehadiran anak adalah anugerah terhebat dalam kehidupan setiap pasangan suami isteri. Dalam sibuk kita bergembira dikurniakan seorang cahayamata, jangan kita lupakan adab menyambut kelahiran yang sunat untuk kita amalkan.

Adab ini bertujuan untuk melahirkan generasi yang soleh solehah dan berakhlak mulia berteraskan agama islam. Anak adalah amanah untuk kita jaga sebaiknya. Didiklah mereka dengan aturan yang betul.

8 SUNNAH MENYAMBUT KELAHIRAN BAYI DALAM ISLAM

  1. Menghebahkan Berita Gembira

Adalah disunatkan untuk menghebahkan kelahiran anak. Suami hebahkanlah berita gembira ini kepada keluarga dan rakan terdekat. Dalam Al-Quran, ketika Allah mengkhabarkan cerita mengenai kelahiran Yahya kepada Zakariya, Allah menggunakan perkataan menggembirakan atau memberitakan berita gembira [rujuk Ali Imran:39 dan Maryam:7]

Abu Lahab adalah antara orang yang amat gembira, bahkan memerdekakan hambanya Thuwaibah yang telah memberitakan khabar kelahiran nabi Muhammad SAW.

Diriwayatkan dari Imam Bukhari bahawa Abu Lahab setiap hari Isnin diringankan seksanya dengan sebab memerdekakan budak Thuwaibah sebagai ungkapan kegembiraannya atas kelahiran Rasulullah SAW.

Diriwayatkan dari Imam Bukhari bahawa Abu Lahab setiap hari Isnin diringankan seksanya dengan sebab memerdekakan budak Thuwaibah sebagai ungkapan kegembiraannya atas kelahiran Rasulullah SAW.

Di dalam kitab Tuhfatul Maudud karangan Ibn al-Qayyim, dilaporkan yang Hasan al-Basri mencadangkan ucapan doa tahniah kepada ibu bapa yang baru mendapat anak. Sebahagian menyatakan doa ini adalah riwayat Imam al-Hasan r.a. Doanya seperti berikut:

بورك لك بالموهوب و شكرت الواهب و رزقت بره و بلغ اشده

Buurika laka bilmauhub, wa syakarta al-Wahib, wa ruziqta birrahu, wa balagha ashuddahu.

“Moga engkau diberkati dengan anugerah (kelahiran bayi) ini, dan bersyukur kepada yang Maha Pemberi (Allah), dan moga engkau diberikan ketaatannya, dan dia (bayi) akan membesar (dewasa).”

Ibu dan bapa diajar untuk menjawab:

بارك الله لك و بارك عليك و رزقك الله مثله

Baarakalahu laka, wa baaraka ‘alaika, wa rozaqakallahu mithlahu

“Moga Allah memberkati kamu, dan berkat-Nya ke atas kamu, dan moga Alah mengurniakan rezeki seperti ini (mendapat anak juga).”

Selepas Lahirnya Bayi, Suami Boleh Sujud Syukur.

2. Sujud Syukur

Selepas lahirnya anak, suami lakukanlah sujud syukur. Ini bagi melahirkan tanda kesyukuran kepada Allah apabila dikurniakan sesuatu nikmat terindah memiliki anak dan segala urusan isteri dipermudahkan.

Dari Abu Bakar RA, bahawa Nabi Muhammad SAW biasanya apabila menerima berita yang mengembirakan Baginda terus sujud kepada Allah. (Riwayat Abu Dawud)

Kredit Photo: athirahassin.com

3. Azan Dan Iqamat Anak

Sejurus selepas kelahiran anak, si bapa atau walinya disunatkan untuk memperdengarkan bacaan azan di telinga kanan dan iqamat di telinga kiri anak.

Antara manfaat azan adalah menanamkan benih keimanan dalam hati bayi sejak kecil lagi. Bayi yang baru lahir bersih dari dosa, laungan azan boleh menghindar bisikan syaitan dan gangguan makhluk ‘halus’ yang ingin mengganggu ketenteram bayi.

4. Mentahnik Anak

Tahnik digalakkan selepas anak itu dilahirkan. Caranya ialah dengan mengguna buah tamar, lalu dilumatkan tamar dengan jari dan diletakkan hujung jari tadi ke atas lelangit mulut bayi.

Jika tidak ada kurma untuk mentahnik, maka boleh digantikan dengan yang makanan lain yang manis seperti madu.

Hikmahnya ialah untuk menguatkan gusi, urat mulut bayi serta menggalakkannya untuk minum susu ibu.

Dari Abu Musa Al-Asy’ari, ia berkata:

“Aku pernah mendapat seorang anak lelaki, maka aku pun membawanya kepada Rasulullah SAW maka dinamakannya Ibrahim, kemudian ditahnik dengan tamar, lalu didoakan keberkatan kepadanya. Kemudian diserahkannya kepadaku.” (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Di sini kami sertakan cara-cara bertahnik dari Ustaz Azhar Idrus:

Kredit Video: HS Films

5. Memberi Nama Pada Hari Ke Tujuh.

Berilah nama anak dengan maksud yang baik. Biarlah pendek dan ringkas tetapi penuh makna. Janganlah terikut-ikut trend semasa. Berilah nama yang sedap disebut dan sesuai dengan anak.

Sebahagian ulamak menyatakan bahawa sebaik-baik nama ialah nama yang dipuji seperti Ahmad, Muhammad, Mahmud dan Hamadah, serta nama yang disembah seperti Abdullah, Abdul Basit, Abdul Razak dan lain-lain.

Diharamkan memberi nama anak dengan nama hamba selain Allah, seperti Abdul Nabiy. Haram juga memberikan nama Allah tanpa didahulukan Abdul sebelumnya. Begitu juga memberikan nama yang buruk maknanya.

6. Mencukur Rambut Bayi

Biasanya masyarakat melayu akan mengadakan majlis ‘cukur jambul’ atau mencukur rambut sekali dengan majlis kenduri aqiqah. Anda perlu ingat ya, sunnahnya adalah mencukur keseluruhan rambut dan bukanlah menggunting sedikit rambutnya. Jangan kita terikat dengan adat seperti menggunakan buah kelapa, beras dan bunga rampai semasa mencukup anak, ini cara masyarakat agama lain.

Mencukur rambut ini sebagai tanda permulaan kehidupan anak kecil hamba di sisi Allah. Dari sudut kesihatan, ia dapat membersihkan saki baki kotoran pada kepala bayi semasa di dalam rahim. Rambut yang dicukur kemudiannya akan ditimbangkan dan dinilaikan dengan harga emas.

7. Melakukan Aqiqah

Aqiqah adalah ibadah menyembelih haiwan sebagai tanda syukur kepada Allah atas bayi yang baru lahir. Hukumnya adalah sunat muakkad. Bagi yang mampu, bolehlah melakukan ibadah ini buat bayi mereka dengan menyembelihkan 2 ekor kambing bagi anak lelaki dan 1 ekor kambing bagi anak perempuan.

Rasulullah bersabda: “Barangsiapa diantara kalian yang ingin menyembelih (kambing) kerana kelahiran bayi maka hendaklah ia lakukan untuk laki-laki dua kambing yang sama dan untuk perempuan satu kambing.” (Sanadnya Hasan, Hadis Riwayat Abu Dawud)

Jika ibu bapa tidak berkemampuan melakukan aqiqah tersebut dalam masa terdekat, ia boleh dilakukan sebelum aqil baligh si anak.

8. Bersunat

Hukum khitan atau bersunat juga adalah khilaf sama ada wajib atau sunat. Di dalam mazhab Shafie, Hanbali dan Maliki, hukumnya adalah wajib bagi anak lelaki.

Ada beberapa hadis Nabi S.A.W dan pandangan ulama tentang usia yang sesuai untuk khatankan anak lelaki. Ada sebahagian besar ulama juga berpendapat, khatan wajar dilakukan semasa anak lelaki meningkat umur baligh dan ada juga yang menganjurkan seawal kelahiran.

Bagi bayi perempuan pula, kebanyakan doktor berpendapat umur seawal mungkin adalah yang lebih sesuai. Selalunya, pasangan akan membawa bayi mereka untuk disunatkan selepas selesai tempoh berpantang.

Lakukan Adab Menyambut Kelahiran Bayi Dengan Betul.

DOALAH YANG BAIK-BAIK BUAT ANAK

Anak adalah saham kita untuk masa hadapan. Ini kerana ketika kita meninggal dunia nanti, doa anak yang soleh ialah antara amalan yang akan berterusan sampai kepada diri kita.

Setiap hari doalah yang baik-baik untuk anak. Jangan melontarkan kata-kata makian kepada anak. Doa ibu bapa sangat mustajab buat anaknya. Buat banyak perkara baik dan tunjukkan teladan yang baik buat anak-anak. Anak adalah cerminan ibu bapa, kita yang mencorak masa depan mereka.

Sumber Rujukan: Ustaz Rahman Iskandar, Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *