ANAK PEMBAWA REZEKI. ELAK BUAT 5 PERKARA INI PADA ANAK, PUNCA REZEKI SUSAH NAK MASUK.
Anak adalah ANUGERAH yang paling indah dalam kehidupan ibu bapa dan anak pembawa rezeki dalam keluarga. Dalam kita tak sedar, banyak rupanya kita menumpang rezeki dia.
Setiap urusan kita dipermudahkan, pekerjaan kita tak pernah gagal dan seringkali mendapat pujian, dinaikkan pangkat serta banyak Allah lorongkan perkara-perkara baik yang kita tak sangka.
Perlu diingat juga, anak hanya pinjaman. Bila-bila masa dia boleh pergi meninggalkan kita. Dia amanah yang perlu kita jaga. Pernah tak terlintas dihati kita, mengeluh, merungut dan rasa terhimpit dengan kehadiran anak?
Sejujurnya mestilah pernah kan? sebagai seorang manusia kita memang takkan dapat lari dengan perasaan mengeluh, rasa penat, tak cukup rehat bila ada anak kecil. Walaupun kita tak menzahirkan perasaan itu melalui percakapan, tetapi kadang-kadang dalam hati pernah terdetik.
MENJAGA ANAK MEMERLUKAN PENGORBANAN
Untuk menjadi seorang ibu tidak mudah. 9bulan10hari mengandungkan anak bukanlah satu perjalanan yg singkat. Pelbagai cabaran dan ujian yg telah ibu mengandung lalui.
Bila lahirnya anak, lain pula ragam dia. Kita perlu 100% fokus dan jaga dia betul-betul dari A-Z. Ada hari kita terpaksa berjaga malam, bersengkang mata menyusukan anak, mengasuh dan sebagainya.
Kekadang bila kita rasa penat, timbul perasaan marah. Mula rasa anak ni satu bebanan. Mula merungut dan bergaduh suami isteri sebab pasangan tak membantu dan sukar beri kerjasama. Anak tadi hanya mampu melihat, tersenyum dan tidur, sebab mereka tidak mengerti apa-apa. Mereka hanyalah anak kecil yang ingin menumpang kasih, perlukan belaian dan perhatian dari ibu ayahnya.
PUNCA REZEKI SUKAR NAK DEKAT DAN TAK SINGGAH MASUK
- Terlalu Berkira Dan Kedekut Dengan Anak
Tak susah pun nak bahagiakan seorang anak. Sesekali tu belikan mainan untuk anak rasa seronok bila dapat hadiah. Tak perlu mahal-mahal, bawa anak pergi kedai eco pun dia dah rasa seronok. Anak sentiasa mendoakan rezeki untuk kita jika kita rajin bersedekah dekat anak.
2. Suka Marah Dan Tinggikan Suara
Marah macamana sekali pun janganlah sampai mengeluarkan kata-kata kesat dan cacian pada anak. Setiap kata yang keluar dari mulut ibu bapa adalah satu doa. Jika kata-kata makian yang keluar setiap hari, bayangkan berapa banyak doa keburukan anak yang kita minta. Cuba letakkan perasaan anak itu dalam diri kita. Jangan bercakap ikut sedap mulut je.
3. Selalu Bergaduh Dengan Pasangan
Jadilah contoh yang baik kepada anak-anak. Janganlah berkelahi depan anak, lebih-lebih lagi bergaduh ketika anak sedang makan. Rezeki yang terhidang depan mata kita pun boleh merajuk bila tidak mensyukurinya. Kasihanlah dekat anak, jangan seksa emosi mereka.
4. Selalu Tinggal Solat
Jangan sesekali tinggalkan perkara yang wajib ini. Ajak anak solat bersama, agar anak tadi mendoakan kesejahteraan hidup kita dan ianya juga punca rezeki yang berpanjangan. Solat ini tiang agama, jika kita tinggalkan rugilah kita.
5. Jarang Bersedekah
Nak murah rezeki selalu? rajin-rajinlah bersedekah. Terutama kepada anak isteri kita.
Amalan bersedekah sangat berkait rapat dengan iman seorang Muslim. Setiap sedekah yang diterima di sisi Allah SWT, Dia akan balas dan ‘membayarnya’ di dunia lagi.
Itu janji Allah dalam al-Quran iaitu sesiapa yang bersedekah di jalan Allah, Dia akan ganti semula dengan ganjaran paling sedikit 10 kali ganda pahala manakala paling banyak adalah 700 kali ganda.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)
SAYANGI DAN HARGAI ANAK SEBAIKNYA
Kaji balik dan ingat semula sebelum anak dilahirkan. Kitalah orang yang paling teruja menunggu kelahiran anak. Hari-hari tanpa jemu bercakap dgn anak dalam kandungan.
Tapi kenapa bila dah ada didepan mata,kita sering marah dia sebab dia mengacau kita dan suka sepahkan barang. Sedangkan anak kecil ini hanya mahukan perhatian.
Dekat luar sana, amai pasangan suami isteri, yang berhabis beribu ringgit berusaha, ikhtiar utk dapatkan anak. Sedangkan ibu bapa yang ada anak, diabai, dibiarkan dan lebih malang lagi didera dengan kejam.
Tak dinafikan bila dah ada anak ibu ayah akan lebih sibuk dari biasa. Kita baru nak duduk, anak dah menangis nak berdukung dan bermanja. Kita baru nak makan, anak datang tumpahkan air. Bila kita tengah rehat, anak datang bermain bergolek atas kita. Ingat ini adalah salah satu perjalanan yang indah jika kita menerima seadanya.
ANAK MENGAJAR KITA MENSYUKURI NIKMAT YANG DIBERI
Setiap bulan, pernah menyimpan hasrat untuk menabung, menyimpan duit simpanan, Allah uji, anak demam atau sakit, jangan sesekali berkira atau merungut bila ditimpah musibah, percayalah Allah akan ganti dengan rezeki yg kita tak jangka. Kita hanya perlu sabar dan sayang anak kita baik-baik.
Tak bersyukur ke kita, bila kita dikurniakan anak yang cukup sifat, sihat, cantik rupa paras & tidak mempunyai apa-apa penyakit. Ada orang yg diuji, anak lahir tak cukup sifat, autism, cleft, mengalami komplikasi sakit jantung, bergantung hidup dengan mesin dan lebih menyedihkan bertahun menunggu zuriat, tapi lahirnya hanya 10 hari.
ADA MASA TERLUANG RENUNG WAJAH ANAK PEMBAWA REZEKI INI SETIAP MALAM
Renung dan tataplah wajah anak ketika dia tidur, waktu ini waktu yg terbaik kita melihat sayunya wajah anak. Terpapar wajah simpati di air muka anak. Bila mengenangkan kembali apa yg selama ini kita mengeluh dan tidak mensyukuri nikmat ini, automatik perasaan kita jadi sedih, dan airmata akan jatuh membasahi pipi.
Bayangkan, hari ini adalah kali terakhir anda melihat anak, mendakap dan menciumnya yang masih bernyawa. Kita tak tahu entah esok lusa apa yang bakal terjadi. Gunakanlah kesempatan ini untuk membahagiakan mereka.
3 DOA YANG BAIK BUAT ANAK
Ustaz Ebit Lew berkongsi 3 doa yang baik untuk kita amalkan setiap hari untuk pasangan dan anak-anak kita:
- Surah Al-Furqan ayat 74
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksud ayat ini: “Ya Allah anugerahkan kami pasangan yang menyejukkan mata dan beri keturuan zuriat yang dapat memimpin pada kebaikan.”
Amalkan doa ini selalu. Jadikan amalan. Ini adalah rahsia bahagia dalam kehidupan. Ia adalah doa paling mujarab untuk kebahagiaan dalam keluarga. Ia umpama kemuncak kebahagiaan.
Allah yang beri rasa sayang dan cinta pada pasangan. Bila tengok rasa tenang dan bahagia walaupun tak banyak duit atau kurang cantik.
2. Surah Ibrahim ayat 40
Rab-bij ‘al-ni muqimas salati, wamin dhur-riy-yati, rabbana wata qabbal du-a’ i
Maksud ayat ini: “Ya Allah jadikan aku orang yang mendirikan solat dan zuriat keturunan aku orang yang menjaga solat.”
Tujuan hidup kita adalah untuk mendapat reda Allah. Oleh itu kita kena dekatkan diri pada Allah. Doa pada Allah supaya kita dan zuriat keturunan jadi orang yang menjaga solat. Orang yang menjaga solat adalah orang yang dekat pada Allah. Kita akan rasa lebih tenang dan bahagia.
3. Surah al-Ahqaf ayat 15
Seseorang bertanya kepada Talhah r.a apa nak buat bila anak dia degil. Talhah r.a cakap baca surah al-Ahqaf ayat 15:
Maksud ayat ini: “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.”
Saidina Ali r.a berkata ini doa yang diamalkan oleh Saidini Abu Bakar As-Siddiq ketika umur 40 tahun dan Allah bagi semua ahli keluarganya memeluk Islam.
Siapa nama anak anda? Panggil dia sekarang, duduk depan dia, pegang pipi dia dengan kedua-dua telapak tangan anda.. cium dia dan cakap
‘ I LOVE YOU ANAK MAMA PAPA’.