Nak Pakaikan Sarung Tangan Bayi Sampai Bila? 5 Sebab Bayi Tak Boleh Pakai Sarung Tangan Terlalu Lama
Anak saya dah masuk 3 bulan, rasa rimas pula tengok anak pakai ‘mittens’ dan ‘booties’ ni. Boleh ke ditanggalkan sarung tangan bayi ni? ada kesan tak pada anak?
Tak dinafikan memang bayi akan nampak comel dan selamat apabila mereka memakai sarung tangan. Tujuan sebenarnya bagi mengelakkan bayi mencakar muka dan menghisap jarinya.
Tetapi, tahukah ibu ayah sebenarnya ada kesan yang tidak elok jika memakainya dalam tempoh yang lama?
5 SEBAB JANGAN PAKAIKAN SARUNG TANGAN BAYI SECARA BERLEBIHAN:
Berapa lama tempoh pakai sarung tangan ini sebenarnya tidak ditetapkan oleh doktor mahupun pakar kanak-kanak.
Namun, seelok-eloknya, bayi tidak lagi mengenakan sarung tangan bayi atau ‘mittens’ setelah mencapai usia 2 bulan.
Ada banyak sebab kenapa mereka tidak menggalakkan pakai sarung tangan bayi ini, antara sebabnya:
1. BAYI MENGGUNAKAN TANGAN UNTUK ‘MERASA’ PERSEKITARANNYA
Di awal kelahirannya, mata bayi tidak begitu jelas dan sensitif. Mereka tidak dapat melihat seperti pandangan mata orang dewasa.
Malah, bayi sendiri tidak tahu bahawa mereka mempunyai 2 belah tangan yang boleh digunakan.
Dengan deria sentuhan melalui jari, bayi akan dapat merasakan persekitarannya dengan lebih baik serta belajar mengetahui fungsinya dengan lebih awal. Dengan cara ini akan merangsang otak si manja dengan lebih baik.
2. MEMBANTUTKAN KEMAHIRAN MEMEGANG
Perasan tak anak suka melihat tanga dan kakinya sendiri?
Dengan melihat dan merasa tangannya, bayi akan dapat menggunakan tangan dan jarinya dengan lebih kerap.
Menurut kajian, bayi seawal 2 bulan sudah boleh menggenggam barang yang kecil dan ringan jika dirangsang dengan baik.
Malah, bayi sebenarnya amat berminat dengan tangan sehingga mereka menjadi ‘kagum’ dan ‘asyik’ bermain dengannya.
Tetapi, jika bayi dipakaikan sarung tangan dengan kerap, mereka tidak nampak apa yang boleh dilakukan oleh tangannya. Tentu dia tidak akan tertarik dengan kebolehan ini.
3. MELATIH KEMAHIRAN MAKAN BAYI
Tiada masalah sebenarnya jika bayi anda suka memasukkan tangan ke dalam mulut.
Ini adalah aktiviti normal yang dapat membantu meningkatkan eksplorasi terhadap ‘gag reflex’ yang merangsang kebolehannya untuk makan apabila mencecah umur 6 bulan.
Walaupun kelihatan seperti mahu muntah, ‘gag reflex’ akan semakin ke belakang apabila meningkat usia.
Sebenarnya tindakan ini akan menyediakan bayi untuk menghadapi proses makan ‘solid food’ kelak. Cuma perlu dipastikan tangan bayi berada dalam keadaan bersih ya.
4. KEBERSIHAN TANGAN AKAN MUDAH DIJAGA
Tentu anda perasan bayi baru lahir selalu menggenggam tangannya, kemudian ditutup lagi dengan sarung tangan bayi.
Ia akan menyebabkan haba terkumpul dan seterusnya berpeluh.
Lebih awal anda membuka sarung tangan bayi, lebih awal bayi akan membuka ‘genggaman tersebut’.
Kadangkala ada kulit-kulit yang terkupas, ruam, dan ada daki akibat berpeluh.
Anda juga mungkin akan perasan, dicelah jari-jari anak akan terdapat lebihan benang atau daki.
Dengan menanggalkan sarung tangan lebih awal dapat membantu menjaga kebersihan yang lebih baik.
5. BAYI BOLEH BELAJAR MELINDUNGI DIRI
Ya, mungkin ada yang akan mencederakan mukanya sendiri jika tidak pakai sarung tangan bayi.
Namun, perbuatan ini juga dapat mengajar bayi untuk merangsang tindakan lain seperti refleks kerdipan mata untuk melindungi dirinya.
“Apapun alasan pemakaian sarung tangan tentulah hak ibu bapanya. Kalau bimbang bayi mencakar muka, sebaiknya kuku dipotong dengan lebih kerap, bukan dengan memakaikannya sarung tangan. Meraba, memegang, dan melatih gerakan jari perlu dilakukan bayi sejak kecil lagi kerana ia adalah proses perkembangan yang penting,” jelas Dr Geller melalui laman web BabyCenter.
Biasanya masalah ini tidak serius dan bayi tidak akan mencakar lagi jika tahu bahawa perbuatan ini akan menyakitkannya.
TAK SALAH PUN NAK PAKAIKAN ANAK SARUNG TANGAN BAYI
Jika bayi anda selalu mencakar, pastikan anda mencari jenis yang berlubang-lubang atau nipis, sesuai dengan suhu di Malaysia.
Bila kita bermain bersama si manja, tidak perlulah pakai sarung tangan bayi supaya mereka dapat merasa jari-jemari mereka.
Pastikan kuku anak sentiasa pendek bagi mengelakkan anak mencakar mukanya.
Semoga bermanfaat!
Sumber rujukan: Siraplimau