Menyusukan Anak
|

Susu Asyik Drop, Ibu Runsing. Ini 10 Tips Untuk Ibu Menyusukan Anak

Menyusukan anak tidak mudah. Banyak dugaan dan cabaran. Suami perlu memainkan peranan penting untuk membantu isteri.

Bagi ibu yang memberikan anak susu formula, bolehlah minta tolong suami buatkan susu untuk anak tapi kalau ibu yang menyusukan anak dengan susu ibu bagaimana pula?

“Eh, siapa kata suami tak boleh tolong ibu yang menyusukan anak dengan susu ibu. Ada caranya.” Mungkin ibu-ibu boleh praktikkan cara ini.

10 Cara Suami Boleh Bantu Isteri Yang Menyusukan Anak

1. Jadi tempat sandar isteri

Memang tugas menyusukan bayi adalah tugas isteri tetapi bukan bermakna suami hanya tidur lena tak sedarkan diri pada waktu malam. Lebih baik suami bangun bersama isteri untuk menemankan dia ketika menyusukan bayi. Barulah sweet!

Ini bukan sahaja perlu dipraktikkan ketika isteri dalam pantang sahaja tetapi sepanjang isteri menyusukan bayi. Mungkin suami boleh jadi tempat isteri bersandar dan berehat semasa menyusukan bayi. Selesa sikit isteri nak menyusukan bayi.

Foto kredit: humanresourcesonline

2. Tolong buat air untuk isteri

Ibu menyusu sentiasa berasa dahaga. Apa kata suami tolong sediakan minuman untuk isteri. Isteri akan berasa gembira dan dihargai sangat walaupun suami sekadar menyediakan air suam untuknya.

3. Basuhkan peralatan pam isteri

Kerja yang paling mengambil banyak masa ibu menyusu adalah membasuh dan membersihkan segala peralatan pam payudara. Untuk hal ini, suami boleh meringankan beban isteri dengan membantu membersihkan segala peralatan tersebut. Jadi, isteri adalah masa untuk memasak hidangan keluarga.

4. Uruskan tugas rumah tangga

Jangan bebankan lagi isteri dengan tugas-tugas rumah tangga. Sebaliknya suami boleh bantu menguruskan kerja-kerja membasuh pakaian, mengemas rumah, menyapu lantai, membasuh pinggan dan mungkin juga memasak. Isteri boleh tumpukan perhatian untuk menyusukan si kecil.

Suami perlu pastikan emosi isteri stabil supaya isteri lebih bahagia dan ceria.

5. Ambil alih urusan menguruskan anak lain

Bagi yang ada anak lebih daripada seorang, suami tolonglah uruskan keperluan anak-anak yang lain. Jangan biarkan anak yang lain tetap mahukan ibu yang menguruskan keperluan mereka. Ia hanya akan membuatkan ibu rasa tertekan dan terbeban. Seterusnya mengganggu kelancaran susu untuk keluar.

Di sini suami boleh memainkan peranan menguruskan anak. Secara tak langsung, ‘bonding’ akan wujud antara anak dan ayah. Perkara ini juga penting bagi memastikan hubungan anak dan ayah juga rapat.

6. Tolong kejutkan isteri bangun menyusukan bayi

Jika anak menangis di tengah malam, suami jangan buat-buat tak dengar dan tidur ‘mati’. Suami sepatutnya bangun dulu untuk periksa sama ada lampin si kecil sudah basah atau hendak susu. Jika lampin perlu ditukar, tak perlu kejutkan isteri sebaliknya anda boleh buat sendiri. Kemudian barulah kejutkan isteri untuk menyusukan bayi.

Foto kredit: cosmopolitan.com

7. Tolong uruskan bayi selepas menyusu

Suami juga boleh tolong isteri menguruskan anak selepas disusukan iaitu sendawakan dia (bayi baru lahir), mendukung, mandikan atau tidurkan bayi. Biasanya ibu akan rasa sedikit penat selepas sesi penyusuan. Jadi dia perlu berehat seketika.

8. Jaga mood isteri

Suami perlu tahu, isteri yang gembira dan bahagia dapat menghasilkan susu yang banyak dan berkualiti untuk anak. Jadi, jangan sakitkan hati isteri atau cari pasal untuk membuatkan mood isteri terganggu. Sentiasa berusaha untuk ceriakan isteri anda.

9. Rajin cari info tentang penyusuan

Bukan isteri sahaja yang perlu mencari info dan ilmu tentang penyusuan sebaliknya suami juga perlu tahu tentang ilmu penyusuan. Sekurang-kurangnya adalah pengetahuan bagaimana proses penyusuan tersebut berlangsung dan barulah boleh bagi sokongan kepada isteri.

10. Sentiasa menyokong isteri yang menyusukan bayi

Tanpa sokongan padu daripada suami, sukar untuk isteri meneruskan usaha menyusukan anak sehingga berusia dua tahun. Selain sokongan moral dan memberi semangat, suami juga mesti memberi sokongan kewangan kepada isteri.

Walaupun suami tidak perlu keluar duit untuk membeli susu formula anak tetapi jangan kedekut untuk mengeluarkan duit bagi membeli barangan keperluan penyusuan susu ibu serta makanan berkhasiat untuk isteri bagi memastikan susu berkualiti dihasilkan untuk anak anda.

Untuk pengetahuan para suami, anak yang menyusu susu ibu secara eksklusif jarang jatuh sakit. Kos untuk membawa mereka ke hospital atau klinik dapat dijimatkan. Jadi, apa kata gunakan duit tersebut untuk membawa anak dan isteri pergi bercuti.

Selain daripada itu sokongan juga boleh diberikan dengan membantu isteri menyusukan anak di depan orang ramai. Ibu perlu menyusukan anak pada bila-bila masa si kecil hendak menyusu. Jadi, ibu perlu belajar menyusu di tempat awam. Bagi yang baru pertama kali bergelar ibu, inilah pentingnya bantuan dan sokongan daripada suami. Suami boleh tolong pakaikan isteri ‘nursing cover’ atau menjadi ‘pelindung’ kepada isteri semasa menyusukan bayi.

Sumber rujukan: Pa&Ma

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *