Vaksin Pneumokokal
|

Bayi Lahir Mulai 1 Januari 2020, Layak Menerima Suntikan Vaksin Pneumokokal Percuma Mula 1 Disember

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai pelaksanaan pemberian vaksin pneumokokal di bawah Program Imunisasi Kebangsaan untuk kanak-kanak yang akan dilaksanakan di semua Klinik Kesihatan KKM di seluruh negara.

KENAPA PENTING VAKSIN PNEUMOKOKAL?

Vaksin pneumokokal konjugat (pneumococcal conjugate vaccine, PCV)  diberikan untuk mencegah penyakit yang disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae yang juga dikenali sebagai pneumokokus.

Antara penyakit yang disebabkan oleh bakteria Streptococcus pneumoniae adalah radang paru-paru (pneumonia), radang sinus (sinusitis), jangkitan telinga tengah (otitis media), radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) serta jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia). Komplikasi penyakit pneumokokal termasuk cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian.

Pemberian vaksin pneumokokal kepada kanak-kanak bertujuan untuk mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit pneumokokal di kalangan kanak-kanak bawah 5 tahun.

Ini seterusnya dapat mengurangkan kos rawatan penyakit pneumokokal dan komplikasinya. Walaupun penyakit pneumokokal boleh dirawat dengan pemberian antibiotik, namun terdapat beberapa strain bakteria pneumococcus yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik.

Pemberian vaksin pneumokokal adalah kaedah paling berkesan untuk menghalang jangkitan bakteria pneumokokus dan secara tidak langsung mengurangkan kerintangan terhadap antibiotik.

Foto Kredit: majalahsains.com

PELAKSANAAN PEMBERIAN VAKSIN PNEUMOKOKAL

Pemberian vaksin pneumokokal konjugat (PCV) di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak di fasiliti kesihatan KKM akan bermula pada 1 Disember 2020.

Vaksin pneumokokal akan diberikan sebanyak tiga (3) dos iaitu dua (2) dos primer pada umur empat (4) bulan dan enam (6) bulan; diikuti dengan satu (1) dos penggalak (booster) pada umur 15 bulan. 

Kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya adalah layak menerima suntikan vaksin pneumokokal di klinik kesihatan KKM. Ibubapa perlu membuat temujanji dengan klinik kesihatan KKM bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kepatuhan kepada normal baharu dalam usaha mencegah penularan penyakit COVID-19.

Susulan penambahan vaksin pneumokokal di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak, jadual imunisasi yang terkini adalah seperti di Lampiran A.

Kredit Photo: kpkesihatan.com

Bagi kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya yang telah berumur 5 bulan atau lebih, jadual imunisasi pneumokokal akan disesuaikan mengikut umur oleh fasiliti kesihatan KKM.  

Vaksin pneumokokal yang akan digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan untuk tempoh dua (2) tahun pertama pelaksanaan adalah vaksin PCV-10 (Synflorix) yang memberi perlindungan terhadap sepuluh (10) serotype bakteria pneumokokus, merangkumi serotype 1, 4, 5, 6B, 7F, 9V, 14, 18C, 19F dan 23F. Vaksin ini juga memberi perlindungan cross-reactivity terhadap serotype 19A.

VAKSIN PNEUMOKOKAL ADALAH SELAMAT DAN BERKESAN

Pemantauan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat global menunjukkan sehingga 30 Jun 2020, terdapat 156 buah negara yang telah menyenaraikan vaksin pneumokokal konjugat (PCV) di dalam Program Imunisasi Kebangsaan mereka.

Seperti vaksin-vaksin lain yang digunakan dalam Program Imunisasi Kebangsaan, vaksin pneumokokal adalah vaksin yang berkesan dan selamat. Bagi memastikan semua vaksin berdaftar yang digunakan di Malaysia kekal selamat, kesan advers susulan imunisasi (adverse events following immunisation, AEFI) vaksin dipantau rapi oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia.

Foto Kredit: bharian.com.my

Vaksin pneumokokal konjugat (PCV) telah digunakan di fasiliti kesihatan swasta di Malaysia sejak 2009 dan tiada sebarang isu keselamatan serius dilaporkan melalui pemantauan yang dijalankan. Namun, ia merupakan vaksin yang baharu digunakan di bawah Program Imunisasi Kebangsaan di klinik kesihatan KKM. Sehubungan itu, KKM akan menjalankan pemantauan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) bagi setiap kanak-kanak selepas pemberian setiap dos suntikan. Bagi tujuan ini, ibubapa perlu melaporkan sebarang kesan advers yang dialami oleh anak mereka kepada anggota kesihatan selepas setiap suntikan dengan mengembalikan borang pelaporan, walaupun kesan yang dialami adalah ringan seperti merah di tempat suntikan. Selain itu, ibubapa juga boleh melaporkan kesan advers secara terus kepada NPRA melalui laman sesawang npra.gov.my dengan mengisi Consumer Side Effect Reporting Form (CONSERF).

NASIHAT KEPADA SEMUA IBUBAPA

Ibubapa yang mempunyai anak yang lahir bermula 1 Januari 2020 dan seterusnya yang telah mengambil satu atau dua dos suntikan vaksin pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta boleh memilih untuk melengkapkan jadual imunisasi pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta atau di klinik kesihatan KKM. Pemberian vaksin pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta adalah tertakluk kepada caj yang dikenakan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut. Ibubapa yang memilih untuk melengkapkan imunisasi pneumokokal anak mereka di klinik kesihatan KKM dinasihatkan untuk membawa bersama rekod imunisasi anak mereka, bagi memudahkan urusan penjadualan imunisasi oleh anggota kesihatan di klinik kesihatan KKM.

Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan mengenai pelaksanaan pemberian vaksin pneumokokal, sila hubungi KKM di talian 03-8883 4003 pada hari Isnin hingga Jumaat (tidak termasuk cuti umum) dari jam 9 pagi hingga 5 petang, atau ajukan persoalan kepada emel imunisasi@moh.gov.my. Ibubapa boleh juga mengunjungi mana-mana klinik kesihatan yang berdekatan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Sekian, terima kasih.

Sumber: Kenyataan Akhbar KP Kesihatan

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *