Mengurut Bayi
|

7 cara mengurut bayi baru lahir. Bayi kurang meragam & selesa tidur malam.

Anak saya ni mudah terkejut dan menangis bila terjaga waktu malam, kawan saya syorkan saya untuk urut bayi. Tapi saya macam tak berani nak buat, sebab anak saya kecik sangat. Nak pegang pun saya rasa takut, ada tips tak?

Selepas melahirkan anak kebiasaannya ibu muda masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan situasi baru ini. Mereka mudah panik apabila si kecil kerap menangis malam walaupun sudah diberikan susu. Ini membuatkan ada ibu berasa tertekan berhadapan situasi ini.

Mengurut bayi ni banyak manfaatnya. Selain menguatkan ‘bonding’ antara bayi dengan ibu, ianya juga memberi pelbagai kebaikan dari segi kesihatan dengan membantu melancarkan peredaran darah si manja.

Menurut Harian Metro, menerusi urutan dengan cara yang betul dapat mengurangkan masalah kembung. Bayi mudah tidur lena dan bangun apabila lapar dan ketika lampin basah saja. Apabila bayi tidur lena ia dapat memberikan kualiti tidur yang baik kepada si ibu lantas menciptakan suasana positif ketika berpantang.

Ini dapat dibuktikan apabila anda mengurut bayi, secara spontan ibu akan melayan bayi ‘berbual’ dan menunjukkan bahasa badan kepada bayi mereka. Belaian jari-jemari si ibu akan memberikan keceriaan sekali gus membantu ibu yang mengalami kemurungan selepas bersalin untuk kembali ceria.

Kredit Photo: babycenter.in

Sentuhan adalah satu cara yang berkesan untuk menyampaikan kasih sayang ibu kepada si manja.

Urutan boleh merapatkan hubungan antara ibu dan bayi. Ini kerana semasa mengurut hubungan mata, sentuhan kulit, interaksi suara dan interaksi sensitif sedang berlaku.

Bayi akan berasa lebih tenang dan jiwa ibu akan lebih tenteram.

Tetapi! mengurut bayi baru lahir ada teknik-tekniknya. Urutan orang dewasa dan urutan bayi berbeza. Ada banyak kes bayi yang dilaporkan mengalami celebral palsy, pendarahan otak, hingga bayi lumpuh, tidak bermaya, dan ada yang meninggal dunia akibat cara urutan bayi yang salah secara berlebih-lebihan.

Kredit Photo: healthypages.com

PERSEDIAAN SEBELUM MENGURUT BAYI

  • Seeloknya urut bayi selepas mandi dan pastikan selepas anak dah ‘poopoo.
  • Dapatkan posisi yang selesa untuk anda mengurut. Pastikan suhu bilik tidak terlalu sejuk.
  • Pastikan bayi anda tidak ada masalah kesihatan yang kronik atau alahan pada kulit.
  • Sediakan minyat urut yang tidak panas atau losyen yang elok untuk mengurut.
  • Lapikkan bawah badan anak dengan kain alas, untuk mengelakkan bayi terkencing tanpa sengaja. OPSS!

CARA MENGURUT BAYI YANG BETUL

Kredit Photo: magzter.com
  1. Mulakan Urutan Dari Kaki.

Urutan bayi berlangsung selama 10-30 minit, bergantung kepada keselesaan bayi anda. Seelok-eloknya bayi diurut selepas mandi, kerana ketika ini bayi berasa selesa, tidak terlalu letih, dan tidak meragam. Jika bayi anda dah berusia 6 bulan ke atas, seeloknya urut sebelum anak makan untuk mengelakkan muntah.

Mula-mula gunakan beberapa titik minyak telon, losyen atau minyak aromaterapi yang sesuai untuk bayi. Titikkan pada tangan anda dahulu supaya tangan anda tidak terlalu sejuk. Kemudian, mula mengurut tapak kaki bayi dengan lembut dan perlahan. Urutkan daripada tumit ke atas, menghadap ibu jari.

Teruskan dengan urutan lembut ke bahagian kaki hingga pinggang. Mulakan pada bahagian buku lali, paha, sehingga ke pinggang. Elakkan mengurut bahagian kemaluan bayi. Pegangkan kaki bayi dengan cermat dan urut lembut ke arah perutnya untuk mengeluarkan angin.

Kredit Photo: zeel.com

2. Mengurut Bayi Dari Belakang Atas Badan.

Cara mengurut bayi di bahagian badan atas adalah dengan memulakannya pada bahu. Urut lembut ke arah dadanya.

Kemudian, urutkan lengan bayi daripada bahu ke pergelangan tangan. Cuba elakkan minyak urut daripada terkena tangan bayi. Jika ini berlaku, lapkan tangan bayi sebelum bayi memasukkannya ke dalam mulut.

Bahagian perut bayi adalah sangat sensitif, lebih-lebih lagi sekiranya tali pusat masih belum tertanggal. Oleh itu, pastikan perut bayi anda berada dalam keadaan lembut sebelum mengurut. Jangan urut perutnya jika bayi baru lepas menyusu. Jauhkan tangan anda daripada tali pusat sekiranya ia masih belum tertanggal.

Kredit Photo: healthline.com

3. Urutan Dari Muka Dan Belakang Badan.

Gunakan jari-jemari untuk menyentuh bahagian muka bayi dengan lembut. Mulakan pada bahagian tengah dahi ke bawah, hingga ke bahagian pipi. Jangan dipicit atau ditekan, cukup sekadar menyentuhnya dengan sapuan lembut. Harus berhati-hati kerana bahagian kepala bayi sangat lembut dan terlebih tekanan boleh memudaratkannya secara serius.

Jika bayi anda nampak selesa dengan urutan, pusingkan bahagian badannya dan teruskan mengurut bahagian belakangnya pula. Urutkan daripada bahagian atas badan hingga ke ibu jari kaki.

Seperkara yang perlu anda ingat, pastikan anda mengurut bayi semasa anda berada dalam keadaan gembira dan tidak meragam atau tidak sihat. Jika bayi kelihatan tidak selesa, tidak perlulah meneruskan sesi urutan yang terlalu lama. Jangan paksa anak kalau dia menolak. Cari masa yang sesuai dan praktikkan cara mengurut bayi ini hanya setelah bayi anda bertenang.

SESI URUTAN BUKAN TERHAD PADA IBU SAHAJA, AYAH PUN BOLEH JOIN SAMA!

Kalau ayah nak menguatkan lagi hubungan dengan anak, mulakan dari anak masih baik. Kerap berbual sambil memberi sentuhan yang lembut pada anak, ia akan menguatkan lagi kasih sayang anda.

Rugilah kita duduk main telefon lama-lama tapi lepaskan peluang yang ada depan mata ini dibiarkan begitu saja. Ada masa terluang, cipta banyak memori indah bersama anak. Masa tak menunggu kita, anak hanya membesar sekali saja. Gunakan peluang ini sebaiknya!

Sumber Rujukan: Siraplimau & Harian Metro.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *