10 Cara Hentikan Tangisan Bayi Yang Berkesan, Yang Penting Sabar.
Adakalanya tangisan bayi membuatkan sesetengah ibu bapa menjadi stres dan panik. Apatah lagi ianya berlaku pada tengah-tengah malam. Dah buat macam-macam cara pun masih lagi tak mahu diam dan terus menangis.
JANGAN PANIK!
Sebagai ibu bapa, kita wajib ambil tahu apakah sebab-sebab yang mendorong bayi kerap menangis? Seterusnya, ambil langkah yang sewajarnya agar tangisan itu dapat dihentikan.
10 CARA HENTIKAN TANGISAN BAYI DAN MENENANGKAN ANAK
- Buat Urutan
Urut bayi secara perlahan-lahan dan penuh kasih sayang pada bahagian kaki dan badannya tatkala si kecil mula menangis. Cara itu mungkin boleh meredakan tangisannya.
2. Hirup Udara Segar
Asyik terperuk je duduk di rumah, apa kata sekali sekala bawa berjalan. Sesekali bawa bayi keluar untuk menikmati udara segar. Contohnya, bawa pusing di sekitar kediaman dan taman permainan berdekatan rumah anda.
3. Mandikan Dengan Air Suam @ Hangat
Ketika bayi menangis, cuba legakan tangisannya dengan menjirus air hangat atau suam pada badannya. Mungkin dengan cara mandian sebegitu boleh menghentikan tangisannya.
4. Cuba Wujudkan Suasana Bising
Suasana yang sunyi mungkin membuatkan bayi menangis. Jadi, cuba wujudkan suasana bising dalam rumah melalui bunyi pengering rambut, vakum, pengisar dan sebagainya.
5. Peluk, Bedung & Tepuk Bayi
Bila bayi menangis, peluk dan dakap dengan penuh kasih sayang sambil menepuk-nepuk pahanya. Jika masih menangis, cuba bedung kerana si comel mungkin merasa lebih selesa.
6. Letak Jari Dalam Mulut
Jika bayi tidak berhenti menangis, cuba letak jari anda ke mulutnya. Sebelum itu, pastikan jari anda bersih. Pun begitu, jangan lakukan cara itu sebagai amalan harian. Ini adalah salah satu alternatif sahaja.
7. Bawa Menaiki Kenderaan
Ada segelintir bayi akan berhenti menangis tatkala dibawa menaiki kenderaan. Bayi akan rasa gembira hingga tertidur seolah-oleh berada dalam buaian. Ramai yang praktikkan cara ini dan berkesan!
8. Dengarkan Ayat Suci Al-Quran @ Pasang Alat Muzik
Sesetengah bayi akan diam dan berhenti menangis bila mendengar bacaan Al-Quran. Kadang-kadang kita tak tahu ada gangguan ‘halus’ yang kita tak nampak yang membuatkan anak kita jadi tak selesa. Buka surah Al-Baqarah, Ayat Kursi & Ayat Ruqyah.
Anda juga boleh cuba mainkan muzik lembut yang mendamaikan ketika bayi menangis. Mungkin alunan muzik akan memberi ketenangan kepadanya sekali gus berhenti menangis.
9. Tepuk & Usap Badan Anak Selalu
Segelintir bayi sebenarnya perlukan perhatian disebabkan itu si kecil menangis. Mereka akan rasa lebih selamat dan tenang bila ibu ayah ada disisinya. Cuba tepuk bahagian badannya sambil berselawat atau menyanyi lagu kanak-kanak anda sewaktu kecil.
10. Dodoikan Anak
Dodoi bayi atau gerakkan buaiannya sebagai tanda anda berada di sisinya ketika itu. Bayi selalunya menangis bila dia bersendirian. Dia nak ada orang teman.
KERAP MENANGIS, TAK NAK LETAK DAN SUKA BERKEPIT, INI ADALAH CIRI-CIRI ANAK ‘HIGH NEED BABY’
Tahukah anda, setiap bayi dilahirkan dengan personaliti mereka sendiri. Walaupun bayi menangis itu normal, ada sebahagian daripada bayi tergolong dalam ‘high need baby’, di mana mereka ini lebih cerewet berbanding bayi-bayi biasa.
Kita mungkin akan rasa keliru dengan cara kita menjaga mereka. ‘High need baby’ ini akan buat kita tertanya-tanya:
Betulkah apa yang kita buat? Kenapa anak masih menangis lagi? Apa lagi yang tak kena? Kenapa aku tak boleh tenangkan anak sendiri? Kenapa anak orang lain tak macam ni?
Bayi menangis adalah normal kerana ia adalah cara mereka berkomunikasi. Biasanya bayi akan menangis atau merengek apabila lampin mereka basah, lapar, panas atau mahu didukung.
Tapi apa yang membezakan ‘high need baby’ ini adalah mereka seolah-olah menangis sepanjang hari dan tersangatlah susah untuk ditenangkan.
Bukan itu saja, tangisan mereka juga sangat kuat sampai orang sekeliling mungkin boleh salah anggap yang kita ni dera anak. Kalau tak kena cara, tangisan dan teriakan mereka boleh menjangkau hingga 1-2 jam tanpa sebab yang dapat dikenalpasti.
Sebagai ibu ayah, kita perlu jadi lebih sabar dan tenang dalam mengendalikan anak. Bayi kecil masih mentah dan tidak tahu apa-apa. Janganlah dimarah atau dipukul anak yang tidak berdosa.
Didik diri agar lebih positif dan tabah melaluinya.