Motor Halus Anak
|

7 Aktiviti Merangsang Motor Halus Anak! Anak Akan Lupa Gajet.

Ramai ibu ayah hari ini menjadikan gajet sebagai ‘pengganti’ diri mereka dikala sibuk. Bila tengok anak tak tahu diam, asyik ganggu kita bila buat kerja rumah, merengek dan menangis nak berdukung, jalan penyelesaiannya bagi saja anak telefon. Selesai masalah!

Sebenarnya dalam kita sedar atau tidak, inilah permulaan kenapa anak menjadi ‘ketagih’ pada gajet, tidak berminat untuk bersosial, kurang aktiviti motor halus, anak ‘delay speech’ dan sebagainya.

Anak kecil tidak seharusnya didedahkan kepada gajet secara berlebihan kerana ianya mengundang lebih banyak keburukan berbanding kebaikan?

Sebaliknya, anak perlu belajar banyak perkara melalui aktiviti-aktiviti yang bersesuaian bagi meningkatkan pelbagai kemahiran dalam diri mereka. Salah satu kemahiran yang seharusnya dikuasai oleh anak adalah ‘fine motor skills’.

APA ITU ‘FINE MOTOR SKILLS’?

‘Fine motor skills’ dikenali juga sebagai kemahiran motor halus yang mana ianya melibatkan anggota badan yang kecil seperti pergelangan tangan dan jari jemari dalam melakukan sesuatu perkara.

Menurut Dr. Putri Afzan Maria Zulkifli, Pengasas Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Kinderkaizen, kemahiran motor halus ini melibatkan daya fokus serta koordinasi mata dan tangan yang baik bagi membolehkan anak menguasai kemahiran menulis kelak.

Kemahiran motor halus adalah sangat penting bagi membolehkan anak mewarna tanpa membuatkan kertas bergerak, menggunting dan juga menampal.

Dalam kehidupan seharian, kemahiran motor halus ini diperlukan oleh anak untuk membutang baju, mengikat tali kasut, mengikat riben, memegang sudu / garfu untuk makan, serta membuka dan menutup zip pakaian.

10 AKTIVITI MERANGSANG MOTOR HALUS ANAK AGAR DIA JADI LEBIH BIJAK!

Aktiviti ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran motor halus anak, tetapi secara tidak langsung dapat membuatkan anak lupa pada gajet.

Secara tak langsung, apabila anak sudah mula bersekolah nanti, mereka tidak akan berasa tertekan dan tidak ketinggalan kerana telah menguasai pelbagai kemahiran asas berkaitan.

  1. BUAT RANTAI GUNA STRAW
Foto kredit: funfamilycrafts.com

Sediakan  benang yang telah dipotong mengikut saiz rantai yang diingini dan pintal sedikit salah satu bahagian hujung benang tersebut. Potong straw kecil-kecil dan masukkannya ke dalam benang untuk dijadikan rantai. Apabila sudah selesai, ikat bersama kedua-dua hujung rantai tersebut dan ianya siap untuk dipakai. Boleh juga dibuat gelang atau tali pinggang tau!

Melalui aktiviti ini, anak bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran motor halus, tetapi juga dapat belajar menggunting, melatih daya konsentrasi serta meningkatkan koordinasi mata dan tangan mereka.

2. MAIN PENYEPIT BAJU

Ikat tali pada kaki meja untuk dijadikan ampaian dan sediakan penyepit baju untuk bermain. Sekiranya berkesempatan, kita boleh membuat replika pakaian dengan menggunakan kotak terpakai atau kain felt. Jika tidak, gunakan pakaian anak yang bersaiz kecil untuk bermain sidai baju ini.

Melalui aktiviti ini, anak akan belajar menyidai pakaian dan menyepit pakaian yang disidai untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Kawalan jari yang baik dan kekuatan jari tangan sangat diperlukan untuk memicit penyepit baju tersebut. Kawalan jari tangan yang baik serta jari jemari yang kuat untuk menyepit pakaian menggunakan penyepit pakaian ini menunjukkan peningkatan kemahiran motor halus anak.

3. ‘WATER PLAY’ GUNA PERKAKAS DAPUR

Aktiviti ini hanya memerlukan perkakas dapur sedia ada seperti cawan plastik, mangkuk plastik, besen kecil, senduk, dan sebagainya untuk dijadikan permainan anak.

Sediakan air di dalam satu bekas dan benarkan anak bermain air dengan menggunakan perkakas dapur tersebut. Boleh juga ditambah dengan sabun bagi menghasilkan buih dan anak turut boleh bermain air bersama buih yang terhasil itu.

‘Water play’ sebegini dapat meningkatkan kemahiran motor halus anak dengan kawalan pergelangan tangan dan jari tangan mereka ketika menceduk dan menuang air. Kalau anak asyik bermain dengan gajet, sudah tentu mereka tidak dapat pengalaman sebegini.

4. MEWARNA GUNA PUTIK KAPAS

Foto kredit: pinterest.com

Sediakan kertas lukisan kosong atau sebarang lukisan bergambar atau apa-apa objek seperti batu untuk diwarnakan oleh anak dengan menggunakan warna air dan putik kapas.

Aktiviti ini memerlukan kawalan jari tangan yang baik untuk anak mewarna menggunakan putik kapas yang saiznya lebih kecil berbanding berus yang biasa digunakan. Ketika mewarna, ianya melibatkan koordinasi mata dan tangan anak serta melatih anak untuk fokus dan sudah pasti dapat meningkatkan kemahiran motor halus mereka.

5. MAIN TANAH LIAT/ ‘PLAY DOUGH’

Foto kredit: happytoddlerplaytime.com

Tidak kira sama ada tanah liat atau ‘play dough’ ini dibeli atau DIY di rumah, ianya mempunyai banyak manfaat untuk anak.

Anak akan belajar menekan, menggunting, menguli, serta menggelek ‘play dough’ ini untuk membuat pelbagai bentuk yang diingini. Ia memerlukan kekuatan otot di bahagian pergelangan tangan dan jari jemari mereka untuk melakukan perkara-perkara tersebut.

Anak pasti seronok bermain ‘play dough’ ini berjam-jam lamanya tanpa menyedari bahawa tujuan sebenar bermain ‘play dough’ tersebut adalah untuk meningkatkan kemahiran motor halus mereka!

6. MASUKKAN MAINAN KE DALAM KOTAK TISU TERPAKAI

Seperti mana yang kita tahu, kotak tisu hanya mempunyai lubang yang kecil di bahagian atasnya. Pilih mainan anak pelbagai saiz yang muat untuk dimasukkan ke dalam kotak tisu terpakai.

Anak akan meneroka pergerakan pergelangan tangan dan jari tangan mereka ketika cuba memasukkan mainan tersebut ke dalam kotak tisu terpakai ini. Sebagai tambahan, minta anak keluarkan semula mainan yang telah dimasukkan sebentar tadi.

Aktiviti ini bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran motor halus anak, malah dapat melatih daya konsentrasi serta meningkatkan koordinasi mata dan tangan mereka.

7. ‘BUTTON SNAKE’

Lukis dan gunting bentuk yang diingini pada kain felt. Tebuk lubang di bahagian tengah kain felt yang telah digunting itu. Seterusnya, potong riben mengikut panjang ‘button snake’ yang dikehendaki dan jahit butang baju pada kedua-dua hujung riben tersebut.

Ajar anak untuk memasukkan butang baju ke dalam lubang pada kain felt tesebut satu persatu. Apabila kesemua kain felt tersebut telah berjaya dimasukkan ke dalam riben, ianya akan kelihatan seperti ular.

Mungkin, pada awalnya agak sukar untuk anak mengawal jari tangan mereka bagi memasukkan butang baju ke dalam lubang yang ditebuk pada kain felt itu. Tetapi lama-kelamaan, mereka pasti dapat melakukannya dengan mudah! Anak perlu fokus dan mempunyai koordinasi mata dan tangan yang baik dalam usaha meningkatkan kemahiran motor halus mereka melalui aktiviti ini.

Foto kredit: todaysparent.com

KEMAHIRAN MOTOR HALUS ANAK MEMBANTU PERKEMBANGAN ANAK

Banyak aktiviti bermanfaat yang kita boleh buat bersama anak. Alih perhatian anak dan hentikan ketagihan mereka bermain gajet.

Jadi ibu ayah yang kreatif dan cipta aktiviti baru untuk anak sekerap yang mampu dalam usaha memantapkan kemahiran motor halus mereka.

Anak perlukan banyak perhatian untuk belajar sesuatu perkara. Bantu mereka dan luangkan banyak masa bersama.

Sumber rujukan: Siraplimau

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *