10 PERANAN SUAMI selepas ISTERI BERSALIN. beri kerjasama untuk elak isteri stres.
Suami sepatutnya memainkan peranan yang sangat penting selepas isteri bersalin. Waktu itulah dia perlu sentiasa ada dekat isteri. Perlu peka dengan perubahan emosi dan fizikal yang dialami oleh isteri. Paling tidak pun, cari seorang pembantu yang boleh memantau dan membantu isteri dengan teliti sekurang-kurangnya dalam 2 minggu pertama berpantang.
PERANAN ISTERI SELEPAS ISTERI BERSALIN:
- Ambillah Cuti Lama Sikit
Jika suami bekerja pejabat, biasanya cuti diberikan 3- 7 hari. Sebolehnya usaha untuk dapatkan cuti sekurang-kurangnya 2 minggu walaupun cuti tanpa gaji. Kalau tak boleh juga, sediakan pembantu yang boleh diharap. Isteri biasanya berharap dapat berpantang dengan mak sendiri. Sama ada hantar isteri balik kampung atau bawa mak datang ke rumah tengokkan isteri dan anak kita.
2. Bangun Awal Tolong Isteri
Jika sebelum ini suami jenis liat nak bangun pagi, semasa isteri berpantang cubalah bangun lebih awal dan sediakan air mandian untuk isteri. Rebuskan herba-herba atau daun kayu untuk mandian. Sebelum tu, kena sediakan dulu set berpantang, banyak di pasaran sekarang. Tinggal hulur duit saja. Air rebusan herba atau daun kayu ini boleh mengembalikan kesegaran badan isteri dan mengurangkan tekanan.
Selepas itu, sediakan sarapan. Kalau tak pandai masak pun, kedai kan banyak. Tapi, hati-hati pilih makanan, jangan yang tak sesuai dengan ibu berpantang pula.
3. Belajar Uruskan Bayi Dan Uruskan Anak Lain
Suami boleh cuba belajar untuk mandikan bayi walaupun badannya masih lembut. Jika tiada kemahiran atau takut sangat nak mandikan bayi, sekurang-kurangnya tolong sediakan air mandian dan kelengkapan untuk bayi mandi. Selepas isteri dah mandikan, tolong pakaikan lampin dan baju bayi.
Jika ini bukan anak pertama, bantulah untuk menguruskan anak-anak yang lain. Urusan itu termasuklah makan, minum, pakaian hinggalah menidurkan anak. Janganlah lepas tangan, anak isteri dibawah tanggungan kita.
4. Sediakan Keperluan Isteri
Sediakan keperluan yang mungkin remeh, pastikan sentiasa berdekatan dengan isteri. Contohnya air masak, kudap-kudapan, tuala, bakul baju kotor, majalah atau buku kegemaran isteri supaya dia tidak susah bangun hanya untuk mendapatkan segelas air minuman. Kalau dia bosan bolehlah baca majalah.
Rajin-rajin bertanya isteri kot-kot dia memerlukan apa-apa. Kadang-kadang isteri tak suka nak menyusahkan suaminya, dan dia pendam saja.
5. Luangkan Banyak Masa Dengan Isteri
Sentiasa berada berdekatan isteri untuk menghulurkan bantuan. Dalam masa isteri berpantang tak payahlah nak buat kerja-kerja yang menyukarkan suami bertindak balas bila isteri panggil. Contohnya main game pastu pakai earphone. Kesian kawan tu terjerit-jerit nak minta tolong.
Buat masa ni, hentikanlah tabiat suka main gajet ni. Lebihkan banyak masa dengan anak isteri. Hiburkan anak dan hati isteri tu banyak dapat pahala.
6. Bantu Buat Kerja Rumah
Kerja rumah yang senang seperti basuh baju, sidai dan lipat sekali tu mungkin suami boleh buat. Bersihkan rumah sikit-sikit dan pastikan persekitaran isteri dan bayi bersih supaya dia lebih selesa.
Jangan biarkan isteri buat kerja berat-berat. Biarlah dia berpantang sepenuhnya dengan baik tanpa memikirkan perkara-perkara yang tak patut dia fikirkan.
7. Carikan Tukang Urut Yang Bertauliah
Carikan tukang urut untuk isteri, sebaik-baiknya tempah tukang urut lebih awal, manalah tau kalau jadual orang tu sudah penuh. Sebaiknya cari tukang urut yang boleh datang ke rumah. Kalau tidak, terpaksalah suami hantar isteri setiap hari.
8. Selalu Murah Senyuman
Tunjukkan wajah yang manis walaupun keletihan. Kalau suami yang biasa buat kerja rumah atau biasa jaga anak, mungkin tiada masalah. Tapi kalau anda ialah sebaliknya ingatlah selama ini isteri dah bertungkus-lumus buat kerja rumah. Suami cuma ambil alih mungkin dalam masa sebulan sahaja atau 2 minggu selepas emosi isteri stabil.
Janganlah buat muka ketat bila balik kerja. Macam muka tak suka dan tak seronok tengok anak isteri. Suami perlu ingat, isteri dan anak kita pembawa rezeki dalam keluarga. Jangan sekat rezeki masuk dengan sikap kita.
9. Selalu Berbual Dengan Isteri
Selalu bercakap dengan isteri dan tanya tentang perasaannya. Almaklumlah, emosi isteri waktu ini kurang stabil, jadi tugas suamilah untuk menceriakan isteri supaya dia tidak terfikir perkara yang menyedihkan. Kadang-kadang orang perempuan di luar nampak lain, tapi dalam hati banyak yang dia pendamkan. Suami memang perlu peka dengan perubahan isteri.
10. Isteri Perlu Rehat Yang Cukup
Pastikan isteri dapat rehat secukupnya. Ramai ibu-ibu yang mengadu anak tidak mahu tidur waktu malam. Jika bayi berjaga, suami pun sekali-sekala ambil alih tugas jaga bayi dan biarkan ibu rehat pada waktu malam. Atau sekurang-kurangnya ketika bayi tidur, pastikan isteri juga dapat tidur dan berehat.
Isteri tentu akan berterima kasih dan bertambah sayang pada suami yang menjaga dan membantunya ketika dalam pantang. Tempoh inilah isteri sangat perlukan sokongan suami dan ahli-ahli keluarga terdekat.
Jika sebelum ini, isteri menghabiskan 365 hari untuk menjaga makan pakai suami, apa salahnya dalam sebulan ini suami pula jaga isteri untuk membuktikan cinta dan kasih sayang anda kepadanya.
TIADA ISTILAH SIAPA PALING LAMA ‘BEREHAT’ BILA DAH BERKELUARGA, MASING-MASING ADA TANGGUNGJAWAB.
Peranan ibu dan ayah sama besarnya, sama pentingnya dan cabarannya adalah berbeza.Bila dah anak, ibu ayah perlu ada sikap tolong menolong, bekerjasama dan prihatin antara pasangan.
Contohnya, isteri perlu memahami keadaan suami yang penat bekerja siang dan malam untuk mencari nafkah buat keluarga. Jangan bebani suami jika dia tidak mampu. Terima dengan hati yang terbuka jika suami beri apa-apa, walaupun ianya sederhana.
Suami pula, perlu memahami apa yang isteri lalui setiap hari. Jika dia sama-sama bekerja, tolong manage anak dan rumahtangga bersama-sama. Jika isteri seorang suri rumah, pastikan isteri ada masa utk ‘me time’. Ini untuk memulihkan emosi isteri setiap hari.
Jangan lepaskan segala tanggungjawab di rumah pada isteri bulat-bulat. Jangan ingat isteri goyang kaki atau banyak masa untuk berehat. Kita tak tahu apa cabaran yang mereka lalui.