Tali Pusat Bayi
| |

7 LANGKAH PENJAGAAN TALI PUSAT BAYI YANG BETUL. Dr Lim Kongsi Tips!

Tali pusat bayi memainkan peranan yang sangat penting sewaktu bayi di dalam kandungan. Tali pusat mula terbentuk pada usia janin lebih kurang 5 minggu. Tali pusat ini bersambung dengan ‘placenta’ atau uri dan menyalurkan darah yang kaya dengan nutrisi dan oksigen yang diperlukan oleh janin untuk terus hidup dan berkembang di dalam rahim si ibu.

Darah yang telah ternyah-oksigen daripada bayi juga ‘dikembalikan’ kepada uri melalui tali pusat. Jadi tali pusat bolehlah dianggap seperti ‘talian hayat’ bagi bayi.

Setelah bayi dilahirkan, tali pusat yang bersambung dengan uri akan disepit menggunakan ‘cord clamp’ bagi mengelakkan darah daripada uri terus disalurkan kepada bayi.

Jika tidak, ada kemungkinan terlalu banyak darah akan tersalur ke dalam sistem peredaran darah bayi yang boleh membawa pelbagai komplikasi. Tali pusat kemudiannya digunting supaya terpisah daripada uri. Bayi tidak merasa sakit sewaktu tali pusat ini digunting kerana tiada sistem saraf atau deria rasa pada tali pusat.

Photo Kredit: honestdocs.id

INFO PENTING TENTANG TALI PUSAT

  • Tali pusat bayi akan tanggal dengan sendirinya secara purata dalam masa 5 hingga 15 hari pertama. Sebelum ia tanggal, penjagaannya amat penting kerana jangkitan pada tali pusat boleh membahayakan nyawa bayi jika tidak dikesan dan dirawat dengan baik.
  • Seringkali ibu bapa sendiri mahupun pegawai kesihatan sentiasa dinasihatkan untuk mencuci tali pusat bayi dengan menggunakan larutan antiseptic sama ada alcohol mahupun chlorhexidine yang dibekalkan secara berkala.
  • Tetapi, kajian terkini dan mengikut WHO serta Manual Penjagaan Perinatal Malaysia 2013, telah menyarankan bagi bayi yang dilahirkan di pusat kesihatan dan tali pusat dipotong dengan kaedah yang bersih (aseptic), cara penjagaan “dry cord care” adalah lebih baik dan selamat.
  • Penggunaan larutan antiseptic telah didapati memanjangkan masa tali pusat tanggal 1.3 hari berbanding dengan penjagaan “dry cord care”. Larutan tersebut akan membunuh kuman baik pada permukaan tali pusat yang membantu dalam proses pengeringannya.

Pakar Penjagaan Kanak-Kanak Dr Lim, berkongsi tips penjagaan tali pusat bayi yang betul.

Photo Kredit: johnsonsbaby.co.id

7 LANGKAH PENTING PENJAGAAN TALI PUSAT YANG ANDA PERLU TAHU

  1. Pastikan Tali Pusat Sentiasa Kering

Tunggul yang kering akan menjadi hitam jika terkena udara tanpa balutan ataupun sebarang ikatan dan seterusnya akan tanggal sendiri.

2. Bersihkan sekurang-kurangnya Sekali Sehari

Pastikan persekitaran dan tangan yang bersih. Gunakan kapas dengan air bersih dan bersihkan sekeliling tali pusat sekurang-kurangnya sekali sehari. Anda tidak perlu menggunakan larutan antiseptik jika ia bersih. Jangan letakkan sebarang bahan lain seperti bedak, serbuk ataupun balutan.

3. Jika KOTOR, Bersihkan Dengan Air Bersih Dan Keringkan Dengan Kapas Atau Gauze Yang Bersih.

Sekiranya kemerahan dan berbau, celupkan kapas dengan alcohol atau chlorhexidine yang disediakan dan bersihkan secara berkala. Pendarahan yang sedikit dari semasa ke semasa adalah normal.

4. Pastikan Tali Pusat Terdedah Dan Diletak Di Luar Lampin Setiap Masa.

Lampin pakai buang mempunyai tempat lipatan di depan yang boleh dilipatkan.

5. Gunakan Baju Yang Longgar Sebelum Tali Pusat Tanggal.

Langkah ini membantu pengaliran udara dan mempercepatkan tali pusat untuk kering.

6. Jangan Rendamkan Tali Pusat Di dalam Air Semasa Mandi.

Ia akan menyebabkan tali pusat basah, lambat kering dan meningkatkan risiko jangkitan. Sekiranya boleh, gunakan tuala/ span untuk lap semasa mandi ataupun mandikan bayi pada keadaan condong di basin. Jika tali pusat basah, keringkan dengan kain yang bersih.

7. Jangan Tarik Tali Pusat Yang Kering Dan Tunggu Ianya Tanggal Sendiri.

Ia akan menyebabkan kecederaan, pendarahan dan meningkatkan risiko jangkitan kuman.

Tali Pusat Bayi Bengkak Dan Bernanah

Jika Bayi Ada Tanda-Tanda Jangkitan (omphalitis) Ini, Sila Rujuk Doktor Atau Pakar Kanak-Kanak

  • Sekeliling tali pusat kemerahan, berbau ataupun bernanah.
  • Pendarahan pada tali pusat yang berterusan.
  • Tali pusat tidak tanggal selepas 3 minggu. (ia mungkin berkaitan dengan penyakit kurang sistem pertahanan badan mahupun jangkitan).
  • Bayi kurang aktif, lemah, demam dan kurang menyusu.

Jangkitan kuman pada tali pusat perlu dirawat segera dan rawatan yang lewat boleh membahayakan nyawa. Jumpalah doktor atau pakar kanak-kanak awal sekiranya anda risau.

Sumber Rujukan: World Health Organisation Newborn Health Recommendations, 207 & Malaysia Perinatal Manual, 3rd Edition, 2013.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *