Tantrum Anak
|

Anak Suka Mengamuk & Sukar Dikawal Bila Menangis? Ini 7 Cara Hadapi Tantrum Anak

Sejujurnya untuk mengatasi anak yang suka mengamuk bukan perkara mudah. Bila tak dapat apa yang dia nak, mulalah ‘drama’ anak akan keluar. Dah pujuk banyak kali pun tetap menangis malah siap ada yang pukul ibu ayahnya. Sampaikan kita jadi bingung untuk mengendalikan tantrum anak.

Tindakan serta cara kita mengendalikan anak sangat penting dalam pembentukannya. Temper tantrum atau sindrom mengamuk sering berlaku di kalangan kanak-kanak kerana ini juga salah satu cara mereka berkomunikasi.

Anak-anak berusia 2-4 tahun masih rendah tatabahasa dan bilangan perkataan yang diketahuinya. Cara mudah dan cepat untuk dia memberitahu sesuatu adalah dengan menangis dan mengamuk.

Bukan mudah mengendalikan anak yang mudah mengamuk jika kita tidak tahu cara yang paling baik untuk menanganinya.

Ramai juga di kalangan ibubapa yang mengambil jalan mudah dengan memukul, menjerit dan memarahi anak dengan harapan anak akan berhenti mengamuk. Namun cara begitu lebih banyak memberikan impak negatif kepada anak-anak.

Ada sesetengah ibu ayah sampai hilang sabar bila ‘handle’ situasi anak tantrum ni. Terdetik dalam hati ‘kenapa anak aku suka mengamuk? kenapa tak boleh sabar macam kanak-kanak yang lain? apa cara terbaik untuk buat anak dengar cakap dan tidak mengamuk?

Foto Kredit: parents.com

7 CARA MENGAWAL TANTRUM ANAK

  1. ANDA PERLU BERTENANG

Jika anak mula mengamuk, ibu ayah atau orang yang berada berdekatan dengannya perlu bertenang. Jangan mudah melenting dan marah. Kalau kita marah, lagi kuat dia menangis. Lagi teruk dia mengamuk. Anak akan sukar untuk dikawal bila situasi ini menjadi tegang.

Cuba buat muka relax sahaja. Pergi dekat anak, pujuk dan peluk dia. Tentu anak yang mengamuk tadi akan sejuk sendiri dan berfikir, “ ehh.. ibu tak marah akulah, ibu sayang aku’ namanya reverse psychology.

2. ALIHKAN FOKUS ANAK

Andaikan kita pergi ke pasaraya untuk berbelanja, tiba-tiba si anak pula sudah tunjuk tanda-tanda yang dia mahukan sesuatu. Dah mula tarik tangan ibu ke tempat yang mereka nak pergi. Dah mula menangis siap terbaring-baring atas lantai. Kadang-kadang, benda yang dia minta itu dah ada dekat rumah. Nak juga benda yang sama tapi versi warna lain. Haish!

Seeloknya bila belanja barang dapur anak-anak tinggal saja dalam kereta bersama suami. Beli barang yang penting dahulu. Tak nak bagi anak meragam, belikan dulu makanan yang dia suka dan boleh melekakan dia sementara anda pilih barang.

Foto Kredit: mommybites.com

3. PUJUK ANAK SEHABIS BAIK

Usaha dahulu memujuk dengan cara yang baik. Pegang atau dukung dengan lembut dan mesra. Itu petanda anda sedia untuk bekerjasama dan mendengar segala masalah yang sedang anak hadapi.

Korek rahsia, kenapa dia marah. Anak suka bila ada orang beri perhatian. Jika dia mengadu, itu tandanya mahukan perhatian. Ibu ayah yang terlalu sibuk boleh menyebabkan anak jadi ‘tantrum’. Mereka kurang kasih sayang!

4. UMPAN ANAK-(SISTEM GANJARAN)

Jika anak mula mengamuk, berikan dia pilihan, samada dia mahu bersikap baik dan tidak dimarahi anda. Katakan kepadanya jika dia bersikap baik, anda akan menjanjikan sesuatu seperti nak ajak keluar pergi taman atau nak buat biskut kegemaran dia bersama-sama.

Kalau dia betul-betul inginkan benda yang sudah lama diidamkan, tentu sekali dia akan ikut apa yang kita cakap. Anda perlu ingat ya, bila dah berjanji tu jangan lupa kotakan! anak-anak ingat tau apa yang kita pernah cakap dengan dia.

Foto Kredit: todaysparent.com

5. BIARKAN SAJA!

Kes ini selalu terjadi bila anak nampak lollipop. Dia berkeras mahukan gula-gula. Jika pujukan tidak menjadi dan anak kita terus menghentakkan kaki atau berguling di atas lantai, biarkan dia.

Namun pastikan keadaan sekelilingnya selamat dari barang-barang yang membahayakan. Bila anak penat, dia akan berhenti. Ibu-bapa perlu pantau juga semasa anak berguling atau hempas badan ke lantai. Jika tak terkawal, dukung anak dan tenangkan dia.

6. TEGAS & JANGAN KALAH DENGAN ANAK

Sesekali kita kena bertegas dengan anak. Jika dia mengamuk, katakan kita tak nak kawan dengan dia. Anak paling takut kalau kita tak nak layan dia. Di rumah kitalah bff dia! biar dia belajar bagaimana perasaan marah dan kecewa. Terangkan dengan jelas mengapa anda buat tindakan sebegitu.

7. NASIHAT YANG BAIK-BAIK

Anak yang mengamuk tidak akan mengamuk sepanjang hari. Dia pasti penat juga akhirnya. Pada waktu begini, kita belailah dia dan katakan kepadanya bahawa apa yang dia lakukan sebentar tadi adalah salah dan dia akan lebih disayangi jika dia bersikap baik dan mendengar kata.

Usap kepalanya, cium dahinya dan peluk mereka seeratnya. Anak akan kembali tenang dan berhenti menangis.

Foto Kredit: raisingchildren.net.au

JANGAN BIAR ANAK MENGUSAI KITA, KITA PERLU MENGAWAL TINDAKAN MEREKA

Bolehkah anak kecil memahami apa yang dikatakan oleh ibu bapanya?

Sudah tentu! Walaupun mereka kecil, mereka tahu ketika mana ibu bapanya marah, sayang, gembira, benci mahupun kecewa.

Terapkan banyak nilai-nilai murni dan teladan yang baik pada anak-anak. Kadang-kadang kita tak sedar anak sedang meniru emosi kita. Mungkin kita pernah mengamuk di hadapan mereka tanpa kita tahu anak memerhatikan kita.

Ibu ayah adalah idola bagi anak kecil. Sama-samalah kita ubah sikap dan tunjukkan contoh yang baik buat anak-anak.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *