Warna Najis Bayi
|

Bentuk Dan Warna Najis Bayi Petunjuk Kesihatan Anak, Papa Mama Wajib Ambil Tahu

Eh kenapa warna najis anak aku ni berubah warna hitam pulak? sedangkan bayi aku hanya menyusu badan je, belum makan apa-apa lagi. Anak aku sakit ke ni?

Pernahkah kita sebagai ibu bapa terfikir bahawa terdapat seribu satu makna yang tersirat di sebalik warna najis bayi?

Ibu ayah yang baru pertama kali menimang cahaya mata pastinya akan teruja dan dalam masa yang sama keliru serta takut bagaimana hendak mengendalikan seorang bayi.

Sebab itulah pentingnya kita sebagai ibu bapa perlu ada ilmu. Ini kerana kita perlu tahu serba-serbi mengenai keperluan atau kemahuan si comel.

Segala macam perkara mengenai bayi kita perlu ambil tahu bagi memastikan mereka sentiasa kekal sihat, bebas penyakit dan ceria di samping anda.

Antara perkara yang kita perlu beri perhatian lebih, adalah dari sudut kesihatan, pemakanan, penghidratan, pemakaian, waktu tidur, waktu bermain, perkembangan anak dan juga warna najis bayi.

KENAPA PENTING UNTUK KITA TAHU WARNA NAJIS BAYI?

Ini merupakan salah satu daripada indikator yang paling penting dalam menentukan tahap kesihatan si manja anda. Mungkin bagi ibu bapa yang masih baharu, mereka akan sedikit keliru mengenai perkara ini lebih-lebih lagi jika mereka kurang ilmu dan tak rajin membaca.

Mungkin ada yang beranggapan ” alaaa warna najis bayi sama je dari segi bentuk, tekstur semua, tak payah ambil tahu pun tak apa, normallah kot”. Perlu diingat warna najis bayi sentiasa berubah dan kita perlu lebih ‘alert’ .

CIRI-CIRI UMUM NAJIS BAYI

Bayi yang baharu lahir akan membuang najis dengan kerap dan banyak. Pada minggu pertama, si comel anda mungkin akan membuang najis yang berwarna agak gelap sedikit.

Selepas bayi telah mula menyusu pula, ia akan memberi kesan terhadap ciri-ciri najis bayi. Bayi yang disusukan dengan susu badan secara ekslusif kebiasaannya akan membuang najis lebih kurang 5 ke 6 kali sehari.

Selain itu, bayi yang menyusu susu ibu cenderung membuang najis yang lebih cair jika hendak dibandingkan dengan bayi yang menyusu susu formula.

Najis bayi yang berusia 6 bulan ke bawah adalah lebih cair ekoran pemakanan mereka yang hanya mengambil sumber susu sahaja.

Konsistensi najis bayi yang disusukan dengan susu ibu adalah lebih berbentuk kepada ketul-ketulan kecil sementara najis bayi yang disusukan dengan susu formula pula adalah lebih pekat seperti campuran sos mustard atau sos keju.

9 JENIS WARNA NAJIS BAYI DAN PUNCANYA

Foto Kredit: babycenter.com
  1. Najis Berwarna Hitam

Siapa yang tak panik kalau tengok najis bayi berwarna hitam kan? sebelum kita bimbang tanpa sebab, kita kaji sikit apa puncanya.

Warna hitam pada najis bayi ini adalah disebabkan oleh meconium. Ini terjadi kerana ketika di dalam rahim ibu, bayi menelan segala bentuk cecair sewaktu dalam kandungan seperti mukus, cecair amnion atau sel-sel kulit. Perkara ini sering terjadi kepada bayi baru lahir saja.

Selain itu, terdapat juga beberapa punca lain yang akan menyebabkan najis bayi berwarna hitam. Antaranya adalah kerana bayi anda menyalurkan darah di dalam najisnya. Janga takut, kerana ia adalah darah yang mungkin ditelan dari puting anda yang merekah ketika penyusuan susu badan.

Oleh itu, anda perlu pastikan bayi anda melekap dengan betul ketika menyusu untuk mengelakkan susu badan bercampur dengan darah anda.

Antara punca lain najis bayi kehitaman adalah disebabkan oleh zat besi. Mungkin anda ada memberikan suplemen zat besi tambahan. Jika najis anak berwarna hitam dan bukan disebabkan oleh perkara-perkara yang telah dinyatakan ini, segera berjumpa dengan pakar kanak-kanak.

2. Najis Berwarna Kuning

Biasanya bila anak ‘poopoo’ najis berwarna kuning, biasanya bayi yang minum susu ibu sepenuhnya. Najis bayi anda kelihatan seperti mustard atau keju yang dicampur sekali bersama.

Ada ibu ayah yang keliru, ingatkan si anak kena cirit birit. Anda tidak perlu risau jika si manja tidak menunjukkan gejala ciri-birit yang lain seperti demam atau sakit perut.

Najis jenis ini juga adalah sangat cair dan busuk. Ini kerana apa makanan atau minuman yang si ibu ambil sebelum menyusukan bayi mempengaruhi warna dan bau najis anak.

3. Najis Berwarna Coklat Cair

Najis ini pula lebih biasa ditemui dalam kalangan bayi yang menyusu susu formula. Ia mempunyai bentuk dan tekstur yang tidak terlalu keras atau lembut seakan-akan mentega kacang. Berbanding najis bayi yang menyusu susu ibu, najis bayi yang menyusu susu formula adalah jauh lebih busuk.

4. Najis Berwarna Merah

Ya, warna najis ini adalah sangat menakutkan kerana merah selalunya akan dikaitkan dengan darah. Sudah tentu, ada ibu bapa yang ingat najis bayi berwarna merah mungkin disebabkan oleh darah.

Pun begitu, anda tidak perlu panik kerana punca najis itu bercampur dengan darah adalah apabila bayi terambil darah ibu melalui penyusuan susu badan yang disebabkan oleh puting ibu luka atau isu-isu yang lain.

Jika ia berlaku, segera berjumpa dengan doktor bersama bayi anda.

Najis berwarna merah juga ada kaitan seperti alahan, jangkitan bakteria, pengambilan ubat ataupun dubur bayi luka akibat sembelit. Jika keadaan berlarutan, cepat rujuk doktor untuk buat pemeriksaan.

5. Najis Berwarna Putih

Kalau najis berwarna merah pun kita dah rasa takut, apatah lagi kalau najis yang keluar berwarna putih kan?

Najis akan mendapat warnanya daripada organ hempedu. Jadi, punca utama kepada najis yang berwarna keputihan seperti kapur adalah kerosakan atau ketiadaan hempedu.

Selain itu, najis putih juga mungkin disebabkan oleh masalah pada organ hati. Oleh itu, segera bawa si comel anda untuk berjumpa dengan doktor pakar kanak-kanak jika mereka mengeluarkan tahi tidak berwarna ini.

6. Najis Bayi Berbuih

Sekiranya bayi anda membuang najis yang berbuih seperti susu kocak dan berwarna seakan-akan kehijauan pula, apakah maksudnya?

Ia mungkin kerana si comel anda mendapat terlalu banyak susu kolostrum dan kurang menerima susu matang atau susu akhir.

Kolostrum terkenal sifatnya yang rendah kalori sementara susu yang keluar pada awal penyusuan susu matang adalah tinggi kalori.

Jadi, sekiranya najis anak anda berbuih dan berwarna kehijauan, ia mungkin bermakna dia tidak menyusu dengan tempoh yang lama sehingga susu matang mula terhasil dalam payudara si ibu.

Cara terbaik, si ibu perlu mula menyusukan bayi dengan belah payudara yang paling akhir anda susukan anak sebelum ini.

7. Najis Berair

Jika najis berair, sudah pasti akan dikaitkan dengan cirit-birit. Namun begitu cirit-birit yang berlaku pada bayi adalah berbeza dengan cirit-birit individu dewasa kerana ia akan terdiri daripada lebih banyak cecair berbanding pepejal. Selain itu, ia juga akan mempunyai warna hijau, coklat atau kuning cair dan sering bocor keluar daripada lampin si comel anda.

Cirit-birit dalam kalangan bayi biasanya adalah berpunca daripada alahan atau jangkitan bakteria. Ia sebenarnya perlu dipandang dengan lebih serius kerana boleh membawa kepada masalah dehidrasi jika tidak dirawat dengan kadar segera.

8. Najis Bayi Berwarna Warni

Sekiranya anda mendapati bahawa najis bayi anda dipenuhi dengan tompokan berwarna-warni, anda tidak perlu risau sama sekali. Ini kerana ia mungkin berlaku akibat beberapa jenis makanan yang tidak dapat dicernakan atau dipecahkan sepenuhnya kerana bergerak terlalu pantas melalui sistem pencernaan bayi.

Ia akan terjadi jika si comel anda sangat menyukai makanannya sehingga mereka tidak langsung mengunyah lantas menelan makanan tersebut secara terus. Ini merupakan punca kepada pencernaan yang tidak sempurna lalu menyebabkan kepada masalah najis bayi yang berwarna-warni.

9. Najis Berwarna Coklat Gelap

Ini mungkin merupakan tahap atau peringkat warna najis bayi yang paling normal. Jika bayi anda sudah mula membuang najis berwarna gelap, mereka sudah berjaya membesar menjadi seorang kanak-kanak yang berjaya.

Anda akan mendapati terdapat perubahan pada warna najis bayi yang berubah menjadi coklat gelap apabila mereka mula mengambil makanan pejal dan sudah mula beransur-ansur ke arah bercerai susu.

AMBIL TAHU PERKEMBANGAN ANAK, WALAUPUN IANYA HANYA WARNA NAJIS BAYI

Jangan ingat perkara ini tidak penting. Setiap warna najis bayi membawa maksud yang berbeza.

Ibu bapa perlu cuba untuk mengawal sistem pencernaan yang melibatkan usus dalam perut bayi untuk memberi kesan terhadap seluruh kesihatannya.

Warna najis bayi adalah petunjuk kepada tahap sistem pencernaan bayi anda. Sama ada ia hitam, hijau, kuning, coklat, berwarna-warni, berbuih atau berair, anda tidak perlu terlalu risau akannya kerana ia adalah bergantung kepada pemakanan mereka sendiri.

Yang perlu anda risau adalah sekiranya bayi membuang najis yang berwarna putih atau merah kerana ia mungkin menunjukkan si manja anda sebenarnya mempunyai sesuatu kondisi kesihatan yang agak membimbangkan.

Semoga bermanfaat!

Sumber rujukan: Hellodoktor

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *