Gigi Susu
|

Kerosakan Gigi Susu Boleh Mengganggu Perkembangan Anak. Dr Kongsi Tips!

Tahukah anda, walaupun gigi susu hanya berfungsi beberapa tahun sahaja di dalam mulut kanak-kanak, namun ianya tetap penting dan perlu dijaga dengan baik. Ikuti perkongsian Dr Mohd Khairul Izwan.

Sebagai ibu bapa, anda perlu membantu anak-anak menjaga gigi susu mereka sejak mereka masih bayi lagi.

Ini penting bagi mendidik anak-anak tentang kepentingan menjaga kesihatan gigi mereka sehingga mereka dewasa kelak.

Tapi, kenapa perlu jaga gigi susu? Kan nanti gigi tersebut akan digantikan juga oleh gigi kekal?

TAHAP KEROSAKAN GIGI SUSU

4 FAKTA PENTING PENJAGAAN GIGI SUSU ANAK

Berikut adalah beberapa fakta berkaitan gigi susu yang mungkin boleh membantu anda untuk lebih cakna tentang kepentingan mengenainya selepas ini:

  1. Kerosakan gigi susu boleh mengganggu proses pertuturan.

Proses perkembangan anak kecil melibatkan fasa berjalan, berlari, bercakap dan kemahiran yang lain. Salah satu kemahiran penting yang mula berkembang ketika anak-anak masih kecil adalah menguasai proses pertuturan. Jika gigi susu anak rosak lebih awal, ia sedikit sebanyak boleh mengganggu dan mempengaruhi proses pertuturan anak-anak. Bagi mengelak situasi itu berlaku, peka dan prihatinlah dengan kesihatan gigi susu anak anda.

2. Kerosakan gigi susu boleh menggangu proses pertumbuhan gigi kekal.

Gigi susu berfungsi sebagai panduan untuk gigi kekal tumbuh apabila waktunya tiba. Kerosakan dan kehilangan gigi susu sebelum waktu yang sepatutnya boleh membuatkan gigi kekal tumbuh secara tidak teratur.

3. Gigi susu membantu membentuk wajah yang normal.

Foto kredit: adelbergpediatricdental.com

Walaupun gigi susu tidak bersifat kekal, penjagaan awal gigi mempengaruhi kepada perkembangan bentuk wajah yang normal. Kerosakan gigi yang berlaku boleh mengganggu proses pengunyahan anak-anak, membuatkan stimulasi untuk perkembangan tulang rahang tidak mencapai tahap yang optimum. Kesannya, perkembangan tulang rahang boleh menjadi terganggu dan mempengaruhi bentuk wajah serta susunan gigi kekal anak di kemudian hari.

4. Gigi susu membantu anak-anak mendapat nutrisi yang sihat.

Apabila anak mula makan makanan seawal usia enam bulan, fungsi rahangnya akan mula dirangsang. Seiring dengan pertambahan usia dan pertumbuhan gigi susu, gigi yang tidak dijaga dengan baik cenderung untuk mengalami kerosakan dengan cepat. Kesannya, anak tidak dapat mengunyah makanan dengan betul dan mengganggu proses penghadamannya. Keadaan ini boleh menyebabkan badan anak tidak mampu untuk menyerap khasiat dan nutrisi daripada makanan yang dimakan secara optimum, seterusnya boleh mempengaruhi tumbesaran serta pertumbuhan mereka.

Didik dan bantulah anak anda mengenai kepentingan menjaga kesihatan gigi mereka sejak kecil. Tahap kesihatan gigi susu sedikit sebanyak akan menentukan tahap kesihatan gigi kekal anak-anak anda di kemudian hari.

Semoga bermanfaat!

“Anda jaga gigi, anda tidak rugi”.

Ibu bapa memainkan Peranan utama. Bukan doktor gigi

  • Tiada botol susu dalam mulut semasa tidur.
  • Elakkan memberi makanan manis dan ‘junk food’ kepada anak.
  • Elakkan memberi biskut manis, coklat, lolipop dan gula-gula.
  • Sentiasa berus gigi anak anda ( anak kecil tidak akan boleh membersihkan satu mulut, selalu akan berus gigi depan sahaja).
  • Boleh gunakan ubat gigi berfluorida dlm jumlah yang sedikit (setelah anak anda pandai untuk meludah).
  • Bawa anak anda berjumpa Doktor gigi seawal 6 bulan pertama kelahiran.

Kesihatan mulut anak anda bermula dari anda.Jaga gigi susu anak anda sehingga tempoh untuk digantikan dengan gigi kekal.

Ingat! KARIES GIGI BOLEH DICEGAH.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *