Suami Buat “Bodoh” Antara Punca Isteri Meroyan Ketika Berpantang, Bahaya Jika Tak Dirawat.
Wanita yang mengalami kemurungan biasanya akan mendiamkan diri, lebih banyak termenung, mudah menangis hingga kadangkala bercakap seorang diri. Inilah yang dikatakan isteri meroyan!
Ibu selepas bersalin berisiko tinggi mengalami kemurungan teruk dalam tempoh berpantang dan ia berlaku disebabkan perubahan hormon, masalah psikologi selepas bersalin dan pasangan tidak beri kerjasama.
Selepas bersalin, ibu kehilangan banyak tenaga, berada pada keadaan mental dan fizikal yang lemah serta boleh dikatakan sebagai ‘kurang waras’ terutama pada minggu pertama dan kedua menerima cahaya mata.
Dalam situasi ini, peranan suami sangat penting bagi memastikan si isteri terhindar daripada risiko mengalami masalah kemurungan yang akhirnya mereka akan bertindak di luar kawalan.
KETAHUI PUNCA-PUNCA ISTERI MEROYAN
1- PASANGAN TIDAK AMBIL PEDULI
Ibu berpantang memerlukan masa yang lama untuk memulihkan semangat mereka. Tolong jangan beri tekanan dari segi mental dan fizikal padanya. Suami perlu beri kerjasama yang baik dan selalulah memudahkan segala urusan isteri.
2- TIDAK CUKUP REHAT/TIDUR
Dari mengandung, melahirkan dan berpantang adalah proses yang meletihkan. Isteri boleh meroyan jika dirinya terlalu penat. Dalam tak sedar dia boleh mencederakan anak dan diri sendiri.
3- BERPANTANG SENDIRI (TIADA PEMBANTU)
Suami perlu bantu isteri jika dia berpantang sendiri. Manakan nak jaga luka bersalin lagi, anak merengek lagi, ditambah bengkak susu lagi. Ibu akan rasa cepat marah, panas baran dan terlalu beremosi.
4- ANAK JAUNDICE (KUNING)
Ibu perlu ulang alik ke klinik untuk memantau bacaan kuning anak. Luka bersalin masih sakit lagi, dah perlu gerak berhari-hari sehingga kuning anak turun. Ditambah pula suami kerja, isteri terpaksa bawa anak sendiri.
5- KRITIKAN ORANG SEKELILING
Ini salah satu faktor ibu berpantang boleh ‘depress’ . Ada 2 kategori orang yang datang melawat. Satu yang memang suka mencari salah dan kelemahan. Yang satu lagi beri nasihat tapi caranya macam memaksa. Berilah moral support dan kata-kata positif kepada ibu berpantang.
6- SUMBER KEWANGAN
Ada wanita yang walaupun berkahwin tapi menanggung perbelanjaan hidupnya dengan duit sendiri. Tengah berpantang pun boleh fikir nak kerja untuk tampung kos sara hidup. Tengah sakit-sakit masih lagi fikir macamana nak cari duit. Suami, tolong bantu isteri anda.
7- MEMPUNYAI MASALAH EMOSI
Ada wanita yang suka sangat fikir negatif sampai berhalusinasi sendiri. Mempunyai masalah tidak percaya diri sendiri, bersangka buruk pada suami atau hidupnya terasa kosong. Jangan biarkan gejala ini menguasai anda.
KETAHUI JENIS-JENIS MEROYAN
Menurut perubatan tradisional, meroyan boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu:
• Meroyan api – Penghidapnya bersikap lebih garang, mudah marah dan berasakan segalanya tidak terkawal.
• Meroyan kentung – Ia menjadikan penghidapnya murung, hiba dan mudah berasa sedih.
• Meroyan tinggal – Kebiasaannya penghidap meroyan jenis ini bercakap seorang diri.
• Meroyan urat – Penghidapnya berasa ketegangan urat saraf dan mudah kejang selain seluruh badan berasa sakit.
• Meroyan lendir – Wanita yang menghidapnya kelihatan pucat, lesu, berasa penat, badan semakin susut atau keguguran rambut.
• Meroyan bulu – Sering berasa seram sejuk atau terkena kancing gigi.
• Meroyan kulit – Badan berasa gatal walaupun selepas mandi atau sudah bersih.
RAWATAN UNTUK MEROYAN ATAU KEMURUNGAN
Antara rawatan yang dapat diberikan kepada ibu yang baru melahirkan bayi ini termasuk sokongan moral, emosi dan fizikal.
Ibu juga perlulah sentiasa berdamping dengan Allah melalui zikir, doa serta menambah ilmu agama pada saat diri tidak boleh menunaikan solat. Paling tidak, pasanglah rakaman bacaan al-Quran supaya anda dan anak berasa tenang.
Jangan berkawan dengan orang-orang negatif. Wujudkan banyak perkara positif dalam diri. Jangan biarkan emosi menguasai diri anda. Jangan pendam dan luahkan jika stres.