Anak Lambat Bercakap? Ibu Ini Kongsi Tips Untuk Galakkan Anak 1-2 Tahun Cepat Bercakap
Macamana kau punya anak lambat bercakap ya Kiah? anak aku umur 2 tahun dah petah bercakap. Kau tak ajar ke? dah bawa jumpa pakar ke?
Ibu mana yang tak terasa hati bila anak mereka sering dibanding-bandingkan dengan orang lain. Macam-macam cara dah cuba, tapi anak masih tak nak bercakap. Lama-lama ibu ayah pun boleh jadi stres!
Jangan cepat putus asa dan mudah melatah. Ikuti perkongsian seorang ibu Nabilla Nasir bagaimana dia mengajar anaknya bercakap dan tahu makna disebalik perkataan yang disebut.
Harini saya nak share tips yang dikongsi pakar HTJ untuk galakkan anak 1-2 tahun bercakap perkataan yang bermakna seperti, makan, susu, mandi.
Ikut carta perkembangan, anak umur 1-2 tahun perlu cakap sekurang-kurangnya 10 perkataan bermakna. Kalau kurang dari 10, sudah dikira delay.
Kalau nak guna english pun boleh. Sebab ada perkataan lebih mudah disebut dalam english
Dan untuk anak 2-3 tahun dah boleh sambung 2 perkataan. Contoh, “nak makan”, “ibu lapar” Cukup kita monitor yang ini dulu.
Bila anak boleh berkomunikasi dengan baik, kita as parents taklah stress nak menjaga. Sebab kita tahu apa yang anak mahukan. Kurang tantrum.
Saya kongsi dalam bahasa pasarlah ye. Bagi semua senang faham.
Kot ada yang nak share tips lain dialukan sangat. Setakat 1 minggu ni saya pakai 5 cara kat bawah ni. Yang paling termampu saya nak buat.
7 TIPS GALAKKAN ANAK BERCAKAP DENGAN MUDAH
- Bila anak meminta sesuatu dengan menarik tangan kita, tanya kembali dia nak apa. Walaupun kita dah tahu apa yang dia mahu. Time ni sure anak akan merengek dan menangis. So parents kena sabar dan jangan give up. Fasa ni akan jadi sedikit memenatkan. Kita tanya sebab nak galakkan dia bercakap. Ada masa anak tak berapa nak respons. Takpe keep talking.
Contoh situasi:
Ibu sebut,
Kakak nak apa? Nak biskut ke? Ohhh ini biskut. BISSSSKUTT. BISSSSKUTT. Kakak makan biskut. Sedapnya biskut ni.
Sebut berulang-ulang. Kalau anak dapat tangkap perkataan yang kita sebut dan dia sebut semula pelat, takpe. Umur 1-3 tahun memang kanak-kanak bercakap pelat. Normal. Jangan risau. By right umur 4 tahun sebutan dia dah jelas.
Umur 1-2 tahun kita fokus dulu pada anak tahu cakap perkataan yang bermakna.
2. Galakkan anak untuk bermain dengan kanak-kanak lain. Walaupun kedengaran mereka bercakap bahasa alien yang kita tak faham. Itu petanda bagus. Sebab dia cuba nak berkomunikasi. Bahasa alien kanak-kanak ni kita panggil jargon. Permulaan kepada komunikasi anak-anak adalah bahasa alien inilah.
3. Cakap sedikit kuat dengan anak. Ibarat suara cikgu kat dalam kelas. Sebut perkataan jangan laju. Cakap pelan-pelan.
4. Teman anak ketika dia bermain. Waktu tu kita banyakkan bercakap dengan dia. Walaupun tiada respons teruskan bercakap.
5. Kurangkan gajet. Kalau dia tengok tv, kita join sekali menyanyi dan menari hora horey tuh. Tak bolehlah nak harap cikgu taska je berjoget untuk anak kita kan.
Hope saya dan husband konsisten buat 5 perkara ni. Husband pun saya minta untuk dia terlibat sama semaksimum yang boleh.
Yelah lelaki ni jarang banyak mulut. Yang selalu memotir kitalah ibu-ibu ghimau & mak bawang ni kan.
6. Galakkan anak untuk buat aktiviti meniup. Tiup belon, bubbles, wisel, lilin dan makanan. Tiuplah mana yang boleh ditiup. Ini untuk exercise mulut anak.
7. Buat beberapa aktiviti simple bersama anak. Nak anak mula bercakap kita perlu banyak buat aktiviti dan galakkan dia bermain.
KENALI TANDA-TANDA SPEECH DELAY @ LAMBAT BERCAKAP BERMULA USIA 12 BULAN
- Apabila sudah berusia 12 bulan, ia menjadi satu kerisauan jika anak anda masih belum boleh melakukan perkara seperti berikut:
- Melambai ‘bye-bye’ atau menggunakan jari telunjuk untuk menunjuk ke arah objek
- Menggunakan beberapa bunyi konsonan
- Menyuarakan keperluan mereka
2. Apabila mencapai usia 15 hingga 18 bulan, seorang kanak-kanak itu berisiko untuk menghidap kelewatan bercakap jika mereka belum boleh menunjukkan perkara-perkara seperti berikut:
- Tidak mengucapkan ‘mama’ dan ‘dada’
- Tidak membalas apabila diberitahu perkara seperti ‘Tidak’, ‘Jangan’, ‘Helo’ dan juga ‘Bye’
- Tidak mempunyai satu hingga tiga kosa kata (menjelang usia 12 bulan) dan 15 perkataan menjelang usia 18 bulan
- Tidak berupaya untuk mengenal pasti bahagian badan
- Menunjukkan kesukaran dalam meniru bunyi dan tindakan
3. Pada usia 2 hingga 4 tahun pula, berikut adalah tanda-tanda tambahan untuk speech delay yang perlu anda perhatikan:
- Gagal menghasilkan ayat secara spontan
- Tidak mampu untuk mengikut arahan mudah
- Tidak mampu untuk menyambungkan dua perkataan
- Kurang bunyi/penggunaan konsonan pada permulaan atau di penghujung perkataan
- Sukar untuk difahami oleh ahli keluarga terdekat sendiri
- Tidak mampu untuk membuat ayat mudah yang mengandungi dua hingga tiga patah perkataan.
APA YANG PERLU IBU BAPA LAKUKAN JIKA ANAK LAMBAT BERCAKAP?
Jangan dibiarkan anak lambat bercakap tanpa berusaha membantu mereka untuk bercakap dengan lebih baik. Jangan anggap ianya normal, rujuk pakar yang berkaitan.
Sangat penting untuk ibu bapa bawa si manja ke perhatian doktor bagi membuat saringan keupayaan mereka untuk bercakap.
Kajian juga menunjukkan kanak-kanak yang didiagnosis dengan masalah kelewatan bercakap cenderung untuk mengalami masalah tingkah laku dan emosi di masa hadapan.
Melalui ujian saringan dan pemeriksaan rapi, doktor dapat menentukan diagnosis dan mengetahui tahap keadaan anak anda.
Peranan ahli perubatan lain seperti ahli terapi pertuturan, ahli terapi pekerjaan dan juga pakar perkembangan kanak-kanak juga turut dimainkan bagi merawat kanak-kanak yang menghidap speech delay.
Sumber rujukan: Hellodoktor & Nabila Nasir.