melatih bayi
|

Tempoh Terbaik Melatih Bayi Memahami Arahan & Belajar Berdikari

ARGHH penatnya mahu mengemas, habis semua makanan berterabur! Eh, jangan ambil baju dulu, biar ibu pakaikan! Nanti habis semua baju dalam almari bersepah.. asyik sepahkan mainan je, penatlah ibu kena kutip mainan dia. ada cara untuk melatih bayi dengar arahan kita tak?

Itu antara rungutan biasa hampir semua ibu bapa apabila si kecil mula mahu berdikari.

Sudah menjadi lumrah bayi yang berusia sembilan bulan dan ke atas mula mempunyai kemahuan menyuap makanan sendiri atau menghulurkan tangan dan kaki untuk memakai baju. Dalam fasa ini ibu bapa sepatutnya memberi rangsangan dan bantuan kepada si kecil supaya dia meneruskan usahanya.

Walaupun majoriti ibu bapa memilih untuk tidak membenarkan si kecil melakukan perkara itu, percayalah banyak manfaat yang bakal diperoleh apabila mereka mula melakukannya atas usaha sendiri.

Berkongsi mengenai situasi ini, juruterapi bayi dan kanak-kanak, Nurliyana Raya berkata, hakikatnya ia adalah proses awal seorang kanak-kanak berdikari.

Foto Kredit: mummycooks.com

“Seawal usia sembilan bulan, kebanyakan anak kecil sudah boleh duduk sendiri dan ia adalah tempoh terbaik untuk mengajar anak menyuap makanan sendiri.

“Pada permulaannya memang agak susah, namun ajar secara perlahan-lahan. Ajar anak untuk mengutip makanan satu persatu dan masukkan ke dalam mulut sebelum kunyah. Ingat si ibu atau bapa perlu menunjukkan contoh berulang kali kepada anak,” katanya.

Menurutnya, letak makanan itu di dalam pinggan atau mangkuk bukan kaca dan bawa anak ke meja makan.

“Biarkan mereka mengawal tangan sendiri, tidak kiralah berapa banyak makanan yang terjatuh ke lantai. Ibu bapa atau penjaga hanya perlu memantau pergerakan anak-anak dan bukanlah memarahi anak kecil sekiranya menyebabkan keadaan bersepah.

“Langkah terbaik adalah anda boleh mengatakan ‘alamak bersepah, sambil buat mimik muka terkejut dan ia secara tidak langsung akan mengajar si kecil anda belajar perkataan ‘bersepah’,” ujarnya.

Menurut Nurliyana, soal mengemas itu adalah aspek kedua dan sekiranya ibu atau bapa mahu mengajar anak mengemas, ia bukanlah dengan membersihkan meja makan tetapi mengajar mengutip alat permainan yang bersepah untuk dimasukkan ke dalam bakul khas.

Foto Kredit: raisingchildren.net.au

“Ramai ibu yang merungut berasa penat untuk mengemas alat mainan yang bersepah. Jawapan saya mudah, perkara ini tidaklah perlu dilakukan setiap masa tetapi lakukanlah ketika kita mempunyai masa.

“Namun berdasarkan pemerhatian saya, ramai ibu bapa merungut tidak mempunyai masa yang cukup tetapi hakikatnya masa terluang itu banyak dihabiskan dengan menghadap telefon bimbit,” katanya.

Tambahnya, setiap ibu bapa perlu ingat anak bukanlah mesin yang sudah diprogramkan dan mereka perlu diajar untuk berdikari.

“Selain boleh belajar menyuap makanan sendiri, apabila sudah memasuki usia sembilan bulan, si anak boleh diajar untuk memakai baju dan seluar.

“Mereka sudah boleh menghulur tangan dan kaki tanpa bantuan, terangkan apa itu baju dan seluar. Walaupun anak anda masih tidak boleh bercakap namun penting untuk memberi kefahaman kepada si kecil sebelum mereka mula bercakap,” ujarnya.

Menurutnya, anak yang berdikari dilihat lebih mempunyai keyakinan diri dalam menggunakan anggota badan sendiri.

Foto Kredit: parenting.firstcry.com

“Semua tugas ini perlu dilakukan ibu bapa sebelum anak memasuki alam persekolahan iaitu seawal usia sembilan bulan. Sangat sedih apabila ramai yang menyerahkan tanggungjawab ini sepenuhnya kepada guru apabila si anak memasuki tadika.

“Hakikatnya, semua itu boleh mula diajar apabila si anak sudah boleh duduk sendiri dan berdiri kemudian berjalan. Ini semua adalah perkembangan anak-anak dalam membesar iaitu dalam konteks berdikari,” katanya.

Nurliyana berkata, malangnya, apa yang menyedihkan, kebanyakan anak-anak generasi kini terlalu bergantung kepada gajet semata-mata.

“Sebaiknya, jangan letakkan anak-anak di depan televisyen ketika makan. Lebih jauh lebih baik dan tetapkan peraturan makan perlu duduk di atas kerusi. Jika saiz ruang kecil, padamkan televisyen ketika makan. Ibu bapa juga perlu ketepikan gajet supaya ia tidak mengganggu waktu makan anda.

“Ini yang dinamakan dalam proses membentuk keperibadian anak. Berdikari maksudnya tidak bergantung kepada banyak sudut termasuk ibu bapa. Jika tidak, sampai bila perlu makan bersuap dan memberikan gajet kepada anak pada waktu makan hanya untuk mahu anak duduk setempat. Anak kecil perlu keupayaan untuk berdikari kerana ia banyak membantu dalam soal keperibadian anak-anak,” katanya.

5 SEBAB KENAPA KITA PERLU MELATIH BAYI BERDIKARI DARI AWAL

Foto Kredit: www.mother.ly
  1. Meningkatkan kemahiran menggunakan deria

Waktu makan adalah antara waktu yang paling banyak memberi pendedahan kepada anak kecil dengan deria baru seperti rasa, bau dan tekstur. Membiarkan anak memegang makanannya sendiri adalah cara yang baik untuk mengembangkan kemahiran menggunakan deria si kecil.

2. Meningkatkan kemahiran koordinasi

Pergerakan menceduk, menyuap dan mengangkat tangan kaki memberikan peluang yang baik bagi anak-anak anda meningkatkan kemahiran koordinasi anggota badan terutama tangan tetapi mungkin ia akan mengambil sedikit masa sebelum mereka berupaya untuk tidak menumpahkan makanan. Bersabarlah!

3. Memupuk nilai berdikari

Membiarkan anak anda menyuap makanan dan memakai baju sendiri dapat memupuk nilai berdikari pada diri si kecil tetapi pastikan juga anda mengawasinya supaya tidak terlalu gelojoh atau berlaku sebarang perkara tidak diingini.

4. Penggunaan dan kesedaran anggota badan yang lebih baik

Ketika anak anda melatih diri untuk menyuapkan makanan, mereka akan mempelajari di mana letaknya mulut, berapa banyak daya yang diperlukan untuk menggerakkan tangan, cara memegang cawan dan lain-lain anggota badan yang digerakkan.

5. Pembangunan saraf motor

Anak anda berupaya meningkatkan kemahiran menggunakan saraf motor. Mereka akan belajar sendiri cara membuka mulut, cara mengambil makanan daripada sudu atau bagaimana untuk mengambil makanan yang tertinggal di bibir serta mengangkat tangan dan kaki ketika dipakaikan pakaian. Semua ini akan meningkatkan kemahiran penggunaan saraf motor anak anda.

IBU BAPA PERLU LUANGKAN MASA UNTUK MELATIH BAYI BELAJAR BERDIKARI

Sesibuk macamana pun kita, jangan lupa untuk beri tumpuan kepada anak. Jangan terlalu mengawal atau marah setiap kali anak cuba buat sesuatu sendiri. Biarkan mereka belajar berdikari.

Doktor Redza Zainol juga berkongsi bagaimana kita nak tahu yang kita tergolong dalam kategori Mak Ayah Lawnmower?

TANDA-TANDA MAK AYAH LAWNMOWER

  • Tak benarkan anak menangani konflik. “Kakak nanti main dengan kawan yang sama je ya.”
  • Buat apa saja supaya anak tak didenda atau ditegur di sekolah.“Tak apa abang terlupa. Mak hantarkan botol air dan buku yang tertinggal tu ke sekolah sekarang.”
  • Anda ambil alih untuk selesaikan tugasan sekolah anak. “Apa-apa kerja sekolah, biar ayah yang buatkan.”
  • Anda masih menguruskan bilik anak yang lebih tua.“Cepat pergi sekolah, biar ibu kemas bilik kakak.”
  • Anda tak benarkan anak tunggang basikal kerana bimbang cedera.”Jangan main, pegang tangan ayah”
  • Anda sanggup berjumpa guru untuk tentukan jadual kelas anak atau bertengkar dengan guru sebab markah peperiksaan anak.
  • Sanggup belikan apa saja untuk anak supaya anak tak rasa ketinggalan.

Kesannya, anak tak ada kemahiran mengurus dan menyelesaikan masalah hidup.

Kajian dari University of Minnesota Institute of Child Development menunjukkan, bayi 2 tahun yang ibunya terlalu mengawal ketika bermain, tak dapat kawal emosi dengan baik ketika usia 5 tahun.

Anak tak tahu cara nak urus beban emosi seperti stress, gelisah, dan sentiasa takut gagal.

Ada masanya, kita beri ruang pada anak untuk belajar atasi konflik. Ada masanya, kita biar anak buat silap. Itu peluang untuk mereka jadi lebih kuat sebelum pergi ke alam pekerjaan.

Sumber: HarianMetro & Redza Zainol

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *