Beri Bayi Makan
|

Cara Yang Betul Beri Bayi Makan Pada Usia 6 Bulan! Elak Risiko Anak Tercekik.

Setiap ibu pastinya rasa teruja dan tak sabar untuk beri bayi makan kan? banyak faktor dan aspek keselamatan yang anda perlu tahu dan lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan yang sesuai untuk si manja.

Apabila bayi sudah mencapai usia enam bulan, bermula fasa peralihan untuk si kecil menikmati makanan. Bagi yang baru kali pertama bergelar ibu sudah pasti tiada pengalaman menyediakan makanan buat si comel. Ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian agar makanan si kecil sihat dan berkhasiat.

Untuk makanan pertama bayi sebaik-baiknya dimasak sendiri menggunakan bahan segar menerusi cara pengolahan selamat. Sayur dan buah-buahan organik adalah pilihan terbaik kerana terhindar daripada risiko pencemaran.

Biar anak merasai rasa secara semulajadi tanpa sebarang bahan penambah rasa. Ini bagi mengelakkan anak jadi ‘pickey eater’.

Foto Kredit: webmd.com

APA YANG PERLU BAYI MAKAN PADA USIA 6 BULAN?

Pada usia enam bulan bayi hanya boleh mengambil puri atau bubur. Untuk puri, buah-buahan perlu dikukus atau direbus terlebih dulu. Elakkan merebus terlalu lama kerana ia akan menghilangkan nutrisi makanan.

Jika anda merebus sayuran seperti kentang, brokoli dan lobak merah, sebaik-baiknya gunakan air rebusannya untuk mengisar makanan kerana ia mengandung nutrisi (vitamin dan mineral) yang tinggi.

Buah-buahan seharusnya dikupas kerana dikhuatiri mengganggu pencernaan bayi sebelum dia boleh mencerna dengan baik. Cuci terlebih dulu sebelum buah dikupas atau dipotong. Antara buah yang selamat adalah betik, pisang, epal dan avokado.

Foto Kredit: creativelifestar.com

Selepas dikisar pastikan makanan tidak terlalu pekat, sebaik-baiknya buat agak cair kerana si kecil selama ini minum susu ibu sahaja. Lama-kelamaan anda boleh menghidangkan dalam keadaan sedikit pekat secara berperingkat.

Bagi memberikan rasa yang enak, anda boleh memasukkan bawang besar atau putih, jintan secara bertahap. Anda juga boleh memperkenalkan minyak zaitun dalam jumlah yang sedikit.

Satu perkara yang perlu diberi perhatian setiap kali anda memperkenalkan makanan baru kepada bayi ialah memberinya selama tiga hari, untuk melihat kemungkinan terdapat alahan atau tidak. Jika ya, dengan mudah anda boleh mengetahui bahan penyebabnya dan mengelakkannya.

JANGAN RISAU JIKA BAYI MENOLAK MAKANAN

Menjadi kebiasaan apabila bayi anda menolak makanan ketika kali pertama diberikan. Jika ini berlaku jangan berputus asa kerana ia fenomena biasa bagi si kecil.

Sebaiknya anda perlu mencuba memperkenalkan resipi bubur kepada bayi sehingga 10 kali, sebelum memutuskan bayi anda tidak menyukainya. Jika bayi tetap menolak, anda boleh menambahkan bahan makanan yang ‘akrab’ di lidahnya, seperti susu ibu.

Secara bertahap, anda boleh memperkenalkan pelbagai sayuran seperti kentang, lobak merah atau labu ketika membuat makanan si kecil. Daging ayam yang dicincang boleh dimasukkan juga.

Foto Kredit: happyfamilyorganics.com

CARA YANG BETUL MENYIMPAN MAKANAN BAYI

  • Bagi ibu berkerjaya yang sibuk untuk menyediakan makanan setiap hari anda boleh memasak dalam jumlah yang banyak. Kemudian simpan di dalam bahagian sejuk beku. Masukkan di dalam bekas kecil atau plastik penyimpanan makanan.
  • Berikan label tarikh dan masa untuk setiap makanan yang dibekukan. Pembekuan makanan tidak akan mengurangkan atau menghilangkan nutrisi malah hidangan lebih selamat daripada pencemaran.
  • Untuk makluman, bubur sayuran dan puri buah yang dibekukan boleh bertahan selama enam hingga lapan bulan. Sementara bahan berprotein seperti ayam, daging dan ikan tahan satu hingga dua bulan sahaja.
  • Ketika ingin menyajikannya, makanan beku tidak perlu dipanaskan lagi. Anda boleh memindahkannya ke bahagian bawah peti sejuk selama sehari sebelum menghidangkannya atau sekadar merendamnya di dalam air suam untuk mencairkan kembali dan dimakan pada suhu normal.

NUTRISI YANG DIPERLUKAN BAYI PADA USIA ENAM BULAN

  1. Protein

Protein membantu dalam memelihara dan memperbaiki jaringan tubuh pada bayi sehingga mengawal fungsi tubuh oleh enzim. Protein diperoleh dari ikan laut seperti ikan salmon, ayam dan daging.

2. Lemak

Lemak berfungsi sebagai sumber tenaga untuk bayi. Lemak yang diperoleh daripada ikan sangat baik untuk perkembangan bayi pada usia enam bulan.

3. Karbohidrat

Karbohidrat adalah sumber tenaga pertama yang diperlukan bagi bayi yang diperoleh daripada susu ibu. Bagi bayi enam bulan, jumlah karbohidrat yang diperlukan adalah 68.8 gram sehingga 89.4 gram. Karbohidrat boleh didapati daripada beras putih atau merah.

4. Vitamin & Mineral

Hampir semua vitamin diperlukan untuk tumbesaran bayi terutama pada usia enam bulan. Vitamin A, B, K, E, D dan vitamin C diperoleh daripada beberapa sayuran seperti bayam, labu, brokoli dan tomato. Sumber buah-buahan yang disarankan adalah mangga, pisang, oren, betik, avokado, pir dan epal.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Harian Metro

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *