Siku Anak
|

4 Tanda Tulang Siku Anak Terkehel Yang Ibu Ayah Tak Perasan, Dr Kongsi Tips!

Hati-hati bila menarik tangan anak ketika bermain, bergurau dan berjalan dengannya. Dalam kita tak sedar siku anak boleh terkehel!

Pernahkah anda melihat ibu atau ayah menghayun anaknya dengan memegang kedua-dua belah tangan anaknya, seolah-olah kipas helikopter yang sedang berputar?

Mereka mungkin berniat menggembirakan anak beliau dan anak itu mungkin berteriak keseronokan. Namun, apa yang anda tidak tahu, ia boleh menyebabkan tulang pada sendi siku anak anda teralih dan terkeluar daripada soket sikunya.

Ikuti perkongsian menarik dari Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan bahaya menarik tangan anak.

“Doktor! Tadi saya tengah pimpin anak saya, tiba-tiba dia tersandung, jadi saya tarik tangan dia supaya tak terjatuh. Lepas daripada tu, anak tak nak pimpin tangan. Dia nangis. Tunjuk siku dia sakit.”

OK, kes macam ni kerap terjadi. Kecederaan lazim pada kanak-kanak yang berumur 1-2 tahun. Selalunya sebab ibubapa yang tarik tangan, dan tak sengaja tercederakan mereka.

Ia berlaku apabila tangan ditarik ke dengan kuat atau mengejut, lalu menyebabkan tulang radius di siku terkehel(lari) dari sendinya. Kadangkala, boleh berlaku kepatahan tulang.

Foto kredit: aboutkidshealth.ca

Tanda-tanda tulang siku anak telah terkehel (Nursemaid’s elbow) adalah:

  1. Semasa anda tarik tangannya, terdengar/rasa seperti ada benda tercabut.
  2. Selepas itu, anak menangis, mengadu atau memberi isyarat bahawa sikunya sakit.
  3. Anak enggan dipimpin pada tangan yang terjejas, dan enggan menggunakannya.
  4. Anak cenderung meletakkan tangannya itu melekap ke dada, dan siku dilipat.

Jika ada tanda-tanda ini, apa yang ibubapa perlu lakukan?

Bawa ke klinik. Doktor akan periksa, dan jika doktor rasa tiada kepatahan tulang, maka doktor akan melakukan close reduction, iaitu masukkan balik tulang yang terkehel tadi.

Prosedur ini ringkas dan tidak memerlukan sebarang bius atau peralatan khas. Hanya perlu menggerakkan sendi siku pada posisi tertentu. Ia memerlukan 2-3 minit sahaja jika anak beri kerjasama.

Setelah rawatan dilakukan, anak akan kembali gunakan tangannya selepas 5 minit. Jika selepas rawatan, masih sakit dan enggan gunakan tangan, maka perlu rujukan ke hospital.

Ada kalanya perlu open reduction, iaitu pembedahan untuk perbetul semula tulang yang terkehel. Mungkin juga ada berlaku kepatahan tulang, dan perlukan rawatan untuk itu.

Ibubapa disarankan agar anak dibawah umur 5 tahun tidak menarik atau menyentap tangan anak dengan kuat. Elakkan juga menghayun anak dengan memegang tangannya.

Berdasarkan pengalaman, ia juga berlaku apabila anak meragam, berguling di lantai atau tak mahu balik, maka ibubapa tarik tangan anak. Anak tarik tangannya semula, lalu siku terkehel. Hati-hati!

Semoga bermanfaat!

Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

Kesihatan dan Perubatan

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *