Siang Tidur, Malam Berjaga! Ini Cara Menetapkan Rutin Tidur Bayi 3-6 Bulan

Tidur Bayi

Tempoh berpantang adalah proses memulihkan diri dan emosi serta menyesuaikan diri antara ibu dan bayi. Tak dinafikan ada bayi yang kerap berjaga malam selepas dilahirkan. Situasi ini terjadi apabila kita belum pandai mengatur rutin tidur bayi yang betul.

Waktu tidur bayi adalah sebahagian dari perkembangan anak.

Pada peringkat ini, harap-harap anda tidak perlu lagi bangun setiap dua atau tiga jam pada waktu malam. Pada usia tiga atau empat bulan, kebanyakan bayi akan tidur selama 15 jam sehari, iaitu kira-kira 10 jam pada waktu malam. Selebihnya dibahagikan di antara tiga kali tidur siang, yang akan turun kepada dua kali sehari apabila bayi anda berusia kira-kira enam bulan.

Anda mungkin masih bangun sekali atau dua kali untuk menyusukan pada waktu malam pada usia tiga bulan ini, tetapi apabila bayi anda berusia enam bulan, dia mungkin sudah boleh tidur sepanjang malam (pakar BabyCenter, Jennifer Hor mendefinisikannya sebagai 11 malam hingga subuh).

Sama ada dia benar-benar dapat berbuat begitu bergantung kepada sama ada dia sudah mula memperolehi tabiat tidur yang baik dan pola tidur yang konsisten.

CARA MENETAPKAN POLA TIDUR BAYI

Foto kredit: parenting.firstcry.com
  1. Adakan waktu tidur malam dan tidur siang yang tetap dan pastikan ianya menjadi rutin

Jika bayi anda merupakan bayi baru lahir, adalah senang menidurkannya pada waktu malam sebab anda boleh perhatikan tanda-tanda dia mengantuk (menggosok mata, menarik telinga dan lain-lain).

Sekarang, sebab dia sudah lebih besar, anda perlu mengadakan waktu tidur malam yang tetap dan juga waktu tidur siang yang konsisten untuk melaraskan pola tidurnya.

Waktu tidur yang baik untuk bayi selalunya di antara pukul 7 dan 8.30 malam; jika lewat daripada ini, dia akan menjadi terlalu letih dan sukar untuk tidur. Bayi anda mungkin tidak kelihatan letih pada waktu tengah malam – sebaliknya, dia akan kelihatan sangat bertenaga dan bergerak aktif. Sebenarnya, ini adalah tanda bahawa ia telah melepasi waktu tidurnya.

Anda juga boleh menetapkan waktu tidur siang dengan cara yang sama seperti tidur malam – tetapkan waktu yang spesifik setiap hari – atau anda boleh mengikut gerak hati sahaja tanpa mempunyai masa tidur dengan meletakkannya di katil apabila anda tahu dia sudah letih dan perlu berehat. Selagi dia mendapat tidur secukupnya, mana-mana pendekatan pun sesuai.

2. Adakan rutin yang mengingatkan bayi tentang tidur.

Foto kredit: theguardian.com

Jika anda belum mula, sekarang ialah masa yang baik untuk memulakan rutin hendak tidur. Rutin anda boleh terdiri dari mana-mana (atau semua) perkara berikut:

  • memandikan si manja,
  • bermain dengannya,
  • membuat persediaan tidur tertentu,
  • membaca buku cerita sebelum tidur,
  • mendodoikan anak,
  • membaca doa tidur atau berselawat
  • urutan lembut
  • menciumnya selamat malam.

Apa-apa rutin yang berkesan bagi keluarga anda boleh digunakan, selagi anda melakukannya dalam urutan yang sama pada waktu yang sama setiap malam. Pada mulanya akan kekok sedikit, tapi lama kelamaan akan menjadi rutin biasa.

3. Bangunkan anak anda di pagi hari untuk melaraskan semula waktu hariannya

Foto kredit: babylist.com

Jika bayi anda cenderung tidur lebih daripada 10 jam pada waktu malam, anda boleh mengejutkannya pada waktu pagi untuk melaraskan semula waktu hariannya. Walaupun tidur 10 jam pada waktu malam seakan-akan tidak menimbulkan masalah, bayi anda perlu mematuhi pola tidur / berjaga yang tetap dan mendapat rehat yang cukup semasa tidur siang. Mengejutkan bayi anda pada masa yang sama setiap pagi akan membantu dia mematuhi jadual tidurnya.

MASALAH YANG SELALU TIMBUL UNTUK MEWUJUDKAN RUTIN TIDUR BAYI

Masalah tidur pada usia ini boleh jadi termasuk peralihan ke katil bayi, dan belajar tidur sepanjang malam. Jika bayi anda tidak mahu tidur apabila masuk waktu tidur, atau menangis pada waktu malam, jangan bimbang. Ada strategi-strategi yang anda boleh gunakan untuk membantunya tidur.

Apabila bayi anda tidak sihat, adalah biasa jika pola tidurnya terganggu. Dia mungkin mahu tidur siang pada waktu yang berbeza, dan ini mungkin membuatkannya tidur malam lebih lewat. Dia malah mungkin tidak mahu tidur pada waktu malam atau mula terjaga pada waktu malam sedangkan sebelum ini dia sudah boleh tidur sepanjang malam.

Jika inilah yang berlaku, jangan bimbang mengenai masa tidurnya. Tetapi cuba kekalkan rutin tidur yang sama. Sebaik sahaja dia sudah sihat, anda boleh beransur-ansur mengubah waktu tidur siang dan tidur malamnya kembali kepada asal.

Ingatlah bahawa sesetengah bayi mengambil masa beberapa minggu untuk selesa dengan pola tidur baru manakala sesetengahnya hanya mengambil masa beberapa hari sahaja.

Sumber rujukan: Babycenter

Kongsikan Artikel Ini

Share on facebook
Share on whatsapp
Share on twitter
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Dapatkan Ebook 9Bulan10Hari

Untuk lebih banyak tips menarik tentang kehamilan, kelahiran, berpantang, penyusuan, rumah tangga dan nasihat dari 12 pakar hebat!

Tinggalkan Komen Anda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *