6 Cara mencegah Bayi Kuning Selepas Lahir, Ketika Mengandung Kena Amalkan
Dah seminggu Maya lahir, tapi kuning dia masih tak turun-turun. Lemahnya nak ulang alik klinik, dengan luka bersalin sakit lagi. Ada tips tak untuk cegah bayi kuning?
Seringkali kita mendengar bayi yang baru lahir menghidap jaundice atau demam kuning.
Memang kasihan melihat bayi yang baru lahir terpaksa berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Ditambah pula dengan keadaan ibu yang masih belum sihat sepenuhnya.
Lebih teruk apabila ibu dan bayi terpaksa di tahan di hospital kerana harus menjalani rawatan fototerapi. Jaundis terjadi pada bayi yang sihat apabila darahnya mengandungi bilirubin yang berlebihan.
Apa Yang Menyebabkan Bayi Kuning?
Bilirubin ialah satu bahan kimia yang dihasilkan semasa penguraian normal sel darah merah.
Bayi yang baru lahir cenderung mempunyai tahap bilirubin yang lebih tinggi kerana mereka mempunyai sel darah merah tambahan yang mengangkut oksigen dan didapati kadangkala ginjal mereka yang masih baru tidak boleh memetabolismekan bilirubin yang berlebihan itu.
Jaundice tidak merbahaya kepada bayi tetapi akan menjadi bahaya jika tidak dirawat dan dikawal lebih awal. Mungkin petua dan amalan yang akan kami kongsikan ini dapat membantu para ibu untuk mengelak dan mengubati jaundice.
Pasti ramai pernah mendengar pelbagai petua tradisional untuk mengurangkan masalah kuning pada bayi baru lahir.
Antara yang menjadi ikutan termasuk pemberian susu kambing kepada bayi selain menjemur bayi di sudut rumah yang dimasuki sedikit cahaya matahari serta menyapu atau memandikan bayi dengan herba.
6 AMALAN IBU MENGANDUNG MENCEGAH BAYI KUNING
- Ibu boleh amalkan makan 3 sudu madu tanpa air atau meminum air madu 5 sudu setiap hari. Boleh ambil setiap pagi dan malam.
- Mengamalkan minum susu kambing 2 cawan sehari. Seelok-eloknya semasa sarapan dan sebelum tidur. Bukan saja berkhasiat kepada bayi malah turut memberi kebaikan kepada ibu juga!
- Mengamalkan minum pati delima paling kurang 50ml sehari. Seeloknya makan buah delima 1 biji.
- Jadikan kurma sebagai snek sihat. Makanlah kurma setiap hari.
- Amalkan minum air kelapa muda setiap hari ketika hampir bersalin. Di samping baik untuk bayi, air kelapa juga dapat mengelakkan jaundice.
- Suami digalakkan mengusap perut isteri sambil berselawat sebanyak mungkin. Doa banyak-banyak untuk anak isteri kita, semoga mereka dilindungi dari penyakit.
TIPS BUAT IBU YANG MENYUSUKAN ANAK UNTUK TURUNKAN KUNING BAYI DENGAN CEPAT
Lebih 80 peratus bayi mengalami jaundis fisiologikal dan ia tidak melebihi 15 atau 16 miligram per dilileter.
Teknik penyusuan yang tidak betul akan menyebabkan bayi kurang mendapat susu. Maka dia menerima kurang lemak dan tenaga yang akan menyebabkan jaundis fisiologikal ini bertambah teruk.
Kajian mendapati ibu yang tidak menyusukan bayi dengan teknik yang betul menyebabkan berat badan bayi tidak bertambah selepas dilahirkan.
Ini kerana, apabila bayi kurang menyusu maka kurang lemak yang masuk dalam badannya. Akhirnya bilirubin tidak dapat dibuang melalui najis dan menyebabkan jaundis bertambah teruk.
Ada beberapa jenis jaundis yang boleh berlaku kepada bayi antaranya jaundis penyusuan. Apabila bayi tidak menyusu dengan teknik yang betul, ia akan menyebabkan bayi kurang mendapat susu begitu juga lemak sebagai tenaga.
Tanda bayi kekurangan susu adalah kencingnya kurang daripada enam kali sehari dan kehilangan berat 10 peratus berbanding berat lahir.
Jaundis patologikal pula ialah keadaan kuning yang berlaku kurang 24 jam selepas bayi dilahirkan, atau melebihi 14 hari (bayi matang) atau 21 hari (bayi pramatang).
Meskipun jaundis agak normal berlaku pada bayi, tanda serius yang perlu diambil perhatian ialah apabila najis berwarna pucat atau bilirubin bertambah dengan cepat.
Tanda Bahaya Jaundis
- Kulit bayi kelihatan kuning terutama di kawasan paha atau kaki.
- Bayi tidak aktif, kurang menyusu atau kurang kencing (kurang enam kali sehari)
- Bayi asyik merengek, menangis dengan suara nyaring
- Najis bayi kelihatan kelabu pucat (najis bayi biasanya berwarna kuning)
- Bayi yang mendapat jaundis berterusan melebihi dua minggu perlu mendapat pemeriksaan segera kerana bayi mungkin mempunyai masalah berkaitan hati, kekurangan hormon tiroid (boleh menyebabkan kecacatan otak jika lewat dirawat) atau jangkitan kuman.
Antara Mitos Yang Tidak Boleh Dipercayai Bagi Merawat Jaundis Bayi Antaranya:
- Memberi bayi susu kambing
- Memberi air kepada bayi
- Memberi bayi jus anggur, sengkuang cina atau madu asli
- Pendedahan kepada cahaya matahari
- Menyapu herba tertentu pada kulit bayi
- Mengelakkan herba, halia dan kunyit yang terkandung dalam makanan ibu
- Berhenti menyusu badan sehari ke dua hari untuk mengurangkan jaundis penyusuan
Sumber rujukan: Harian Metro & Siraplimau