Ibu Hamil
|

70 Kes Kematian Ibu Hamil Disebabkan Oleh komplikasi Jangkitan Covid-19 Direkodkan Sehingga Ogos Ini

Pengalaman membawa nyawa dalam kandungan adalah sesuatu yang indah namun dalam zaman pandemik ini mungkin keadaan sedikit berbeza kerana ibu hamil pasti bimbangkan risiko dijangkiti Covid-19.

Wanita hamil ternyata berdepan pelbagai risiko dengan yang paling popular adalah masalah diabetes dan darah tinggi namun, pada era pandemik ini, ibu hamil perlu bimbangkan satu lagi penyakit iaitu Covid-19.

Jika tanpa sebarang masalah kesihatan pun, ibu hamil boleh mengalami masalah pernafasan khususnya apabila memasuki trimester ketiga, apatah lagi sekiranya dijangkiti virus yang menyerang sistem pernafasan.

IBU HAMIL USAH RAGU-RAGU AMBIL VAKSIN, JAUHI CERITA KARUT

Dalam jurnal The Lancet Regional Health-Americas, penyelidik di University of California (UC) San Francisco mendapati bahawa risiko kelahiran pramatang yang berlaku pada usia kehamilan kurang daripada 32 minggu adalah 60 peratus lebih tinggi bagi orang yang dijangkiti Covid-19 ketika hamil.

Bagi mereka yang juga menghidap darah tinggi, diabetes, obesiti serta Covid-19, risiko kelahiran pramatang meningkat 160 peratus, menurut kajian itu.

Ketua kajian berkenaan Deborah Karasek, seorang penolong profesor di UC San Francisco berkata, hasil kajian menunjukkan pentingnya langkah pencegahan untuk mengurangkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan wanita hamil bagi mencegah kelahiran pramatang, termasuk vaksinasi.

Ini bermakna, ibu hamil tidak perlu ragu mendapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Berdasarkan laporan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) yang didedahkan baru-baru ini, wanita hamil perlu mendapatkan vaksin Covid-19, berdasarkan analisis baru yang mendapati tiada peningkatan risiko keguguran selepas pengambil vaksin berkenaan.

CDC berkata, kadar risiko keguguran adalah sama seperti kadar kelahiran sekiranya mengambil vaksin Covid-19 dan wanita hamil boleh mendapatkan vaksin keluaran Pfizer, Moderna atau Johnson & Johnson.

Ketika ini, CDC mendapati kadar pengambilan vaksin dalam kalangan wanita hamil adalah rendah dengan hanya 23 peratus wanita menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Di Kulon Progo, Jogjakarta, Indonesia, seramai 226 orang ibu mengandung disahkan positif Covid-19 di mana tiga daripada mereka meninggal dunia.

Jurucakap Unit Kawalan Covid-19 Kulon Progo, TH Baning Rahayujati berkata, sepanjang pandemik, 2,516 kehamilan direkodkan di Kulon Progo dan 1.3 peratus daripadanya dijangkiti Covid-19.

Kompas melaporkan pihak berkuasa daerah memberikan perhatian khusus mengenai perkara itu susulan peningkatan kes.

Berikutan itu, Jabatan Kesihatan Kulon Progo menambah pusat isolasi khusus untuk ibu mengandung dan bayi di hospital Covid-19.

Katanya, perhatian khusus diberikan kepada mereka kerana ibu mengandung dan bayi adalah golongan rentan yang mudah dijangkiti.

LIINDUNG DIRI & ANAK

Keadaan sama juga berlaku di Malaysia di mana sebanyak 3,396 kes Covid-19 yang dikesan sejak Mac 2020 hingga Jun lalu, membabitkan ibu hamil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes membabitkan golongan itu dikesan meningkat bermula Oktober tahun lalu dengan purata 200 kes jangkitan sebulan.

Katanya, dianggarkan satu peratus ibu hamil di Malaysia dijangkiti Covid-19.

Malah, sehingga 9 Ogos lalu, sebanyak 70 kes kematian ibu hamil disebabkan oleh komplikasi jangkitan Covid-19 dilaporkan berbanding tiada kes sepanjang tahun lalu.

Dr Noor Hisham berkata, berlaku peningkatan kes kematian mendadak dilaporkan sejak Jun lalu iaitu sebanyak 17 kes kematian dan data menunjukkan dua kes daripada jumlah itu sudah menerima dos pertama vaksin, manakala 15 kes lain tidak menerima vaksin Covid-19.

Data terbaharu daripada UK Obstetric Surveillance System (UKOSS) mendapati jumlah wanita hamil yang dirawat kerana jangkitan Covid-19 meningkat kerana varian Delta.

CNN melaporkan Dr Andrew Shenna berkata, varian Alpha dan Delta menyebabkan jangkitan lebih parah untuk wanita hamil.

Berdasarkan maklumat dari portal Covid-19 kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengambilan vaksin Covid-19 selamat ketika kandungan berusia antara 14 hingga 33 minggu malah, ia juga selamat untuk ibu yang menyusukan bayi.

Bagi usia kandungan melebihi 34 minggu, ibu hamil perlu mendapatkan konsultasi doktor.

Ini bermakna tidak ada alasan lagi ibu hamil untuk mengelak mendapatkan vaksin Covid-19. Tolong sayangi diri sendiri dan anak dalam kandungan kerana ia adalah harta tidak ternilai.

SUAMI BERI GALAKKAN KEPADA IBU HAMIL UNTUK AMBIL VAKSIN

Bagi kaum bapa, usahlah halang jika si ibu mahu mengambil vaksin ini. Jika mereka sakit, anak-anak paling teruk terkesan dan hilanglah seri rumah tangga.

Dengarlah nasihat mereka yang ahli dalam bidang perubatan dan usahlah dirujuk entah siapa-siapa di media sosial itu. Janganlah buang masa mendengar pelbagai perkara karut-marut yang dihantar berulang kali di WhatsApp menakutkan kita mengambil vaksin.

Memang benar vaksin bukan ‘ubat kebal’ tetapi sekurang- kurangnya vaksin adalah ikhtiar kita melindungi diri.

Berdasarkan dua ayat dalam al-Quran iaitu surau al-Anbiya ayat 7 dan surah al-Nahl ayat 43, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutus sebelum engkau (Muhammad), melainkan orang laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

Maka, bertanya dan rujuklah mereka yang ahli supaya semua ibu hamil dapat dilindungi.

Sumber: Hmetro

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *