Ambil Vaksin
|

Ibu Hamil Tak Perlu Takut Ambil Vaksin, Ini 5 Perkara Penting Dari Media KKM

Ibu hamil tak perlu gusar untuk ambil vaksin. Pemberian vaksin Covid-19 terbukti selamat digunakan kepada ibu hamil, malah berupaya melindungi keselamatan dan kesihatan bayi dalam kandungan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru semua ibu hamil untuk berdaftar dalam MySejahtera dan mengambil vaksin COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengambilan vaksin adalah satu kaedah yang terbukti berkesan dan selamat untuk mencegah ibu hamil dari mendapat jangkitan yang teruk.

LIMA PERKARA PENTING KENYATAAN MEDIA DR NOOR HISHAM:

1. Sebanyak 20,780 kes jangkitan baharu COVID-19 direkodkan hari ini berbanding 19,991 semalam.

2. Selangor masih kekal penularan kes harian tertinggi dengan sebanyak 6,921 kes diikuti Kuala Lumpur (2,065 kes) dan Johor (1,693 kes).

3. Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah sebanyak 233,358 kes.

4. Kes kematian baharu adalah sebanyak 211 kes dengan angka kumulatifnya kini 11,373 kes.

5. Sebanyak 1,053 kes sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 546 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Foto kredit: mstar.com.my

Hal ini juga ditekankan oleh Pakar Perunding Perubatan Reproduktif, Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Dr Murizah Mohd Zain berkata, data perubatan terkini berkaitan isu tersebut adalah sangat memberangsangkan.

Menurutnya, kesan sampingan yang dialami oleh ibu yang hamil juga adalah sama seperti mereka yang tidak mengandung.

“Sesetengah ibu yang hamil takut keselamatan diri dan bayi mereka jika ambil vaksin, tetapi data-data menunjukkan keberkesanan dan keselamatan vaksin buat ibu yang hamil sangat meyakinkan.

“Ia bukan sahaja selamat untuk digunakan, malah terbukti mampu melindungi ibu yang hamil daripada kesan teruk jangkitan Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu, Pakar Perunding Mikrobiologi Klinikal, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Zamberi Sekawi berkata, bukti daripada ujian klinikal yang dijalankan menunjukkan keselamatan dan kesihatan bayi daripada ibu yang mengambil vaksin adalah normal.

“Sewaktu ujian klinikal dijalankan, ia memang tidak diuji untuk ibu yang mengandung, tetapi ada peserta yang terlibat telah mengandung hanya beberapa bulan selepas vaksin diberikan.

“Pemantauan yang dilakukan kepada kumpulan ini mendapati bayi yang dilahirkan oleh mereka adalah normal.

“Kerisauan sama ada vaksin yang digunakan untuk ibu hamil ini akan pergi kepada sel-sel bayi juga memang tidak berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, terdapat bukti perubatan menunjukkan bahawa wanita mengandung yang mendapatkan suntikan vaksin ketika trimester ketiga kehamilan iaitu antara minggu 28 ke 40 turut memberikan perlindungan kepada bayi daripada jangkitan Covid-19.

“Jadi itu salah satu kelebihan, bukan sahaja ibu terlindung malah anak dilindungi (daripada jangkitan Covid-19),” jelasnya.

Sumber: Astro awani & Sinar harian





Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *