Anak 2 Tahun
|

Tak Tahu Duduk Diam, Sibuk Semacam! Kenapa Anak 2 Tahun Banyak Akal? Ini Sebabnya!

Berlari ke sana ke sini.. tak tahu diam melainkan tidur. Ada je benda yang nak dibuatnya. Sel-sel otak anak sedang berhubung dengan pesat pada usia anak 2 tahun!

Dari kaca mata seorang anak kecil, dunia ini berada di luar kawalan dan capaian mereka. Mereka tidak berpeluang untuk membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan, apa yang boleh dimakan, dengan siapa mereka boleh berkawan dan ke mana mereka boleh berkeliaran.

Semua keputusan ini dibuat oleh orang dewasa dan semestinya perlu dibuat oleh orang dewasa kerana anak-anak ini belum berpengalaman dan belum boleh menilai baik dan buruk.

Walau bagaimanapun, pada masa yang sama anak-anak yang berusia di antara 1-3 tahun sedang mengalami pembesaran dan perkembangan yang sangat pesat dalam semua aspek.Perkembangan mereka perlukan sokongan daripada orang dewasa.

ANAK 2 TAHUN SUKA KE SANA KE SINI

Kanak-kanak usia ini sedang meneroka pelbagai cara untuk bergerak dari setempat ke setempat – berguling, merangkak, menyusur, berjalan, berlari, melompat dan memanjat.Ini normal.

Mereka juga berupaya untuk memusing atau menarik tombol pintu dan membuka tudung balang atau botol.Ini juga normal.

Sediakan ruang dan pelbagaikan aktiviti yang dapat membantu perkembangan fizikal ini. Lapangkan rumah agar mereka boleh bernafas dan bergerak dengan bebas dan selamat.

Kurangkan atau tangguhkan dari membeli perabut dan perhiasan rumah di Shopee atau Lazada.

SAINTIS CILIK

Pada fasa ini juga mereka aktif menggunakan sensori untuk meneroka dunia sekeliling mereka. Mereka akan cuba untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi ketika penerokaan dengan kaedah mudah ‘trial and error’. Mereka tidak suka di’suap’ dengan solusi kerana mereka mahu mencuba sendiri. Mereka akan melakukan sesuatu aktiviti yang menarik bagi mereka berulang-ulang kali sehingga mencapai tahap masteri.

Ini juga normal.

Selagi aktiviti itu bermanfaat untuk perkembangan mereka, usah dihalang.

Biarkan mereka meneroka dan mencuba pelbagai aktiviti yang memberi stimulasi kepada sensori mereka. Walau bagaimanapun tetapkan batasan agar keselamatan mereka terpelihara.

Foto Kredit: babycentre.co.uk

SEUMPAMA BURUNG KAKAK TUA

Mereka juga sedang melalui fasa ‘language explosion’. Dengan pantas mereka menangkap apa yang didengari dari orang sekeliling dan juga dari media. Mereka akan menyebut semula seakan ‘latihan praktikal’ subjek bahasa dan komunikasi.

Ini juga normal.

Banyakkan bercakap DENGAN anak – bukan bercakap KEPADA anak sahaja dan pantau juga apa yang disebut dan didengari oleh anak.

Anak-anak 1-3 tahun banyak akal kerana mereka sedang berkembang dan membesar dengan sangat pesat. TANTRUM juga kerap berlaku pada fasa ini apabila mereka kecewa kerana ingin mencuba, inginkan kawalan dan inginkan autonomi.

Foto Kredit: parenting.firstcry.com

Ini adalah sesuatu yang normal.

Apa yang tidak normal ialah ibubapa yang mengharapkan agar anak-anak usia ini berupaya untuk diam, patuh dan langsung tiada ‘protes’.

Tetapkan jangkaan yang realistik.Fahami perkembangan, pembawaan dan keperluan anak. Pelajari cara untuk menguruskan kerenahnya.

Sumber: Noor Afidah Abu Bakar,

Parent Connect Consultancy

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *