6 Petua Orang Dulu Senang Bersalin! Patutlah Mak-Mak Kita Dulu Steady Je.
Mak dulu beranakkan kamu semua 6 beradik senang je. Luka pun cepat baik. Waktu berpantang memang mak jaga betul-betul. Itulah yang atuk nenek kamu turunkan pada mak, alhamdulillah dengan izin Allah senang mak beranak..
Kadang-kadang petua orang dulu-dulu ni kita nampak macam tak logik dan mengarut. Tapi jangan tak percaya masih ada yang masih amalkan sampai sekarang. Ramai ibu-ibu mengatakan lebih serasi berpantang secara tradisional dari moden.
Ada ibu-ibu yang masih amalkan bertungku, berurut, berpilis, mandi air akar kayu dan berpantang cara kampung. Itulah antara petua orang dulu senang bersalin dan lagi dan lagi.
Selagi ianya tidak bertentang dengan agama dan tidak memudaratkan ibu & bayi, tak salah pun kalau nak ikut. Terpulang kepada penerimaan ibu-ibu. Setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza-beza.
Sehebat mana pun teknologi hari ini, petua orang lama jangan kita pertikaikan. Mereka lebih makan garam dari kita. Dari segi pemakanan sampailah penjagaan badan memang orang-orang dulu cukup tegas bab ni. Sebab tu kita tengok mak-mak kita ‘steady’ lagi dan kuat bertenaga sampai sekarang. Apa yang mereka amalkan? jom semak apa petua yang mereka amalkan untuk memudahkan proses bersalin.
6 PETUA ORANG LAMA SENANG BERSALIN.
-
Minum Air Kelapa Pada Trimester Ketiga.
Amalkan minum air kelapa muda semasa kandungan memasuk 7 bulan ke atas, minum seminggu dua kali pun ok. Orang dulu minum minyak kelapa dara. Tok nenek kita buat sendiri tau minyak kelapa ni. Mereka akan minum dah hujung-hujung nak bersalin. Kalau rasa tak tertelan nak minum minyak kelapa dara, cukuplah sekadar minum air kelapa saja. Orang dulu percaya, bila minum air kelapa, kulit bayi yang dilahirkan bersih dan putih tanpa ada lendiran yang melekat pada bayi.
2. Kerap Makan Sayur Bendi.
Ini antara menu yang orang dulu amalkan makan waktu mengandung. Tak kiralah nak masak goreng ke, buat asam rebus ke, janji makan sayur bendi. Lendir yang ada pada bendi dipercayai boleh membantu ibu senang bersalin. Bukan tu saja, mereka juga percaya bendi dapat membantu ibu-ibu yang mengalami sembelit, buasir, diabetes atau bayi yang ada jaundice.
3. Telur Ayam Kampung!
Telur ayam kampung sinonim dengan sebagai makanan untuk menambah tenaga. Orang dulu percaya dengan makan telur ayam kampung bersama madu dapat memberikan mereka kekal bertenaga untuk bersalin nanti. Ada juga yang amalkan makan sebutir telur ayam kampung bersama milo panas, kacau rasa dan minum ketika dah ada tanda sakit nak bersalin. Kalau rasa tak mampu nak telan yang mentah, bolehlah rebus dan makan.
4. Pakai Seluar/ Kain Atas Perut.
Ini antara petua orang dulu senang bersalin. Bila perut membesar, pakai kain atau seluar atas perut. Orang dulu percaya, anak yang dikandung nanti akan turun ke bawah, maknanya lahir ikut pintu, dan bukan songsang. Hari-hari pujuk bayi dan bercakap baik-baik dengan anak untuk bantu kita senang bersalin normal. Inilah antara petua orang dulu senang bersalin!
5. Makan Kurma Dalam Jumlah Ganjil.
Kurma ini adalah snek yang paling sihat untuk ibu mengandung. Ianya bukan saja sedap dan berkhasiat, malah ia boleh membekalkan tenaga. Kurma juga dapat memudahkan proses bersalin dan mempercepatkan proses pengecutan rahim. Suami, sila pastikan stok kurma dalam rumah sentiasa ada ya. Bekalkan juga ketika isteri dah masuk hospital nanti.
6. Pokok Sanggul Fatimah.
CARA GUNA:
- Rendam semalaman atau 1-3 hari di dalam bekas berisi air biasa.Sanggul Fatimah ini akan mengembang.
- Air rendaman tu biar berlebihan tak apa, untuk diminum jangka masa yang panjang.
- Pantang larang sanggul Fatimah ni, jangan rebus atau rendam dengan air panas. Ia boleh mengecutkan rahim dan menutup laluan bersalin.
JADUAL MINUM AIR SANGGUL FATIMAH:
- Ketika kandungan berusia 38 minggu, minum segelas sehari dimulakan dengan bacaan Bismillah, doa makan dan selawat 3x.
- Ketika kandungan berusia 39 minggu ( 9 bulan ) minum 2x sehari. Dimulakan dengan bacaan Bismillah, doa makan dan selawat 3x.
- Seeloknya bacaan ini dibaca oleh suami sendiri. Berkat doa seorang suami yang mendoakan keselamatan buat isteri yang melahirkan anak.
- Selepas semua sudah selamat, jangan buang pokok sanggul fatimah ni, jemur dan keringkan. Kemudian simpan di dalam bekas yang bersih.