Lain Orang Lain Pembawakannya, Suami WAJIB Tahu 5 Kesakitan Mengandung Yang dialami Isteri
Setiap wanita akan melalui proses kehamilan yang berbeza. Beruntung jika ada ibu yang tidak mengalami sebarang alahan. Ada juga wanita yang melalui kesakitan mengandung dari alahan teruk pada trimester pertama saja dan tidak kurang juga yang menderita alahan sepanjang sembilan bulan mengandung.
Bagi yang melalui alahan seperti muntah sepanjang kehamilan, ianya pasti mengganggu emosi dan fizikal. Malah, wanita yang menghadapi mabuk hamil secara berterusan sering merasakan tiada siapa yang benar-benar memahami apa yang mereka dilalui.
Apabila kandungan semakin membesar, lain pula dugaannya. Dari kepala sampai hujung kaki rasa tak sakit dan tak selesa. Bertabahlah ibu-ibu, sikit je hari lagi anak kesayangan nak keluar dah.
Para suami WAJIB kena tahu perkara ini.
5 KESAKITAN MENGANDUNG YANG SUAMI PERLU TAHU
1. Kesakitan pada bahagian bawah perut (Round ligament pain)
Dalam pelvis anda, terdapat ligamen yang berfungsi untuk ‘memegang’ rahim supaya ia berada dalam keadaan yang stabil.
Apabila berat kandungan semakin bertambah, berat yang perlu ditanggung oleh ligamen ini akan menyebabkan ia menjadi tebal dan tegang.
Ini boleh menyebabkan ibu hamil rasa tidak selesa atau rasa sakit seperti ditikam di kedua-dua bahagian abdomen bawah. Kesakitan ini di panggil round ligament pain dan ia boleh dirasakan ketika mommy bangun dari duduk atau mencangkung.
Buat kerja berat-berat pun akan cepat terasa dekat bahagian tu. Dan kalau bersin atau batuk dgn kuat menekan-nekan rasa sakit tu.
Kesakitan mengandung ini bukan dibuat-buat. Inilah realiti sebenar.
2. Kesakitan pada bahu & leher
Ini berlaku disebabkan hormon progesteron. Apabila ligamen di bahu dan leher menjadi longgar, digabungkan dengan berat perut yang semakin bertambah, anda mungkin juga akan merasai kesakitan pada leher dan bahu tadi.
Bahagian leher, bahu dan tulang belakang saling berkait dan anda mungkin akan rasa sakit secara keseluruhan. Hanya sedikit perubahan dalam postur badan sudah boleh menyebabkan sakit bahu dan leher semasa kehamilan.
Part ni suami kena alert, selalulah urut bahu ibu, agar dia merasa selesa walaupun sekejap.
3. Payudara rasa sakit dan sengal
Bila mengandung, payudara anda akan membesar, dan ia akan jadi semakin menegang, sensitif dan sakit apabila disentuh.
Penghasilan susu mula terbentuk. Kesakitan ini adalah rasa sakit ketika mengandung yang biasa, bermula sekitar minggu 4 hingga minggu 7 dan semasa trimester pertama.
Sesetengah wanita akan mengadu rasa sakit dan mengelak dari dipeluk semasa fasa ini.
4. Rasa sakit yang mencucuk-cucuk pada bahagian pelvis
Kesakitan ini berlaku apabila kedudukan bayi bertukar ketika mereka menurun ke salur kelahiran. Mommy mungkin akan merasakan tekanan dari kepala bayi pada serviks, atau pada hujung saraf di sekitar pelvis anda.
Rasa sakit yang mencucuk-cucuk di bahagian pelvis ini mungkin petanda anda semakin dekat dengan hari untuk bersalin.
5. Sakit punggung!
Sakit punggung adalah sakit yang paling biasa terjadi di kalangan wanita hamil.
Ini disebabkan oleh otot-otot pada bahagian belakang yang tidak cukup kuat untuk menampung berat seorang bayi.
Apabila wanita hamil terpaksa memikul berat janin yang semakin besar, ini akan menyebabkan tekanan dan kesakitan pada tulang belakang dan bahagian punggung. inilah kesakitan mengandung yang isteri alami selama 9bulan10hari. Bantu mereka sebaiknya ya.
CARA UNTUK MELEGAKAN KESAKITAN PINGGANG DAN KEKEJANGAN KETIKA HAMIL
- Berehat adalah langkah terbaik apabila anda sedang mengalami kesakitan. Berehat itu dengan cara cuba duduk dan bertenang dalam satu tempoh atau baring mengiring ke bahagian bertentangan dengan kesakitan berlaku serta tinggikan kaki anda. Jika kesakitan berlaku pada sebelah kanan, baringlah mengiring di sebelah kiri dan sebaliknya.
- Mandi dengan air suam atau tuam pada bahagian yang sakit menggunakan botol air suam. Paling penting anda perlu bertenang menghadapi keadaan ini. Rasa cemas hanya menyebabkan keresahan anda berpanjangan.
- Senaman: Lakukan beberapa senaman regangan untuk bahagian belakang, pinggang dan pinggul bagi mengurangkan tekanan pada otot dan tulang belakang sekaligus membantu dalam memberikan kelegaan bagi masalah yang dialami.
- Urutan: Ambil masa untuk berehat dan urut pada bahagian yang sakit dan tidak selesa secara lembut dan perlahan-perlahan. Ini dapat membantu meningkatkan peredaran darah pada bahagian yang sakit dan mengurangkan tegang pada bahagian otot.
- Posisi tidur yang betul: Jika tidur dalam keadaan mengiring, letakkan bantal lembut pada kaki dan di sisi bawah perut. Ia berfungsi untuk menyokong tubuh dan memberi keselesaan.
- Tuam: Gunakan ‘hot pack’ dan tuam pada bahagian yang tidak selesa seperti belakang, piggang atau pinggul selama 15 minit. Ia membantu memberikan kelegaan dan meningkatkan peredaran darah.
- Menggunakan ‘maternity belt’: ‘Maternity belt’ membantu dalam menyokong tulang belakang dan memberikan postur tubuh yang lebih baik. Sekaligus mengurangkan rasa sakit pada belakang dan juga pinggul.
- Pemakaian kasut yang sesuai: Elakkan daripada memakai kasut yang bertumit tinggi dan tidak selesa kerana ia akan mengurangkan sokongan terhadap pusat graviti dan mengganggu postur tubuh.
- Rehat yang cukup: Dapatkan rehat yang cukup dan elakkan daripada stres yang melampau. Amalkan gaya hidup yang sihat dan pemakanan yang seimbang.
Sumber rujukan: Harian Metro & IFIX Physiotherapy