Cirit-birit
|

Bayi Cirit-Birit, Muntah-Muntah & Demam, Hati-Hati Dengan Virus ‘Rotavirus’

Najis bayi yang kadang-kala cair adalah normal. Tetapi bayi anda mungkin mengalami cirit-birit jika dia kerap membuang air besar yang cair dan tiada ketulan. Perhatikan gejala-gejala lain cirit-birit. Termasuklah muntah-muntah, demam dan kadang-kadang keluar darah atau lendir dalam najis bayi.

CIRI-CIRI NAJIS BAYI YANG BIASA

  • Najis bayi menyusu badan yang baru lahir adalah kekuningan, dan agak lembik atau cair dan boleh berlaku sekerap lima kali sehari.
  • Kadang-kala, bayi yang menyusu badan akan membuang air besar semasa atau sebaik selesai menghisap susu ibu. Ini berlaku kerana apabila perutnya diisi penuh, susu itu boleh merangsang keseluruhan saluran usus bayi, menyebabkan pembuangan najis.

Ibu ayah tak perlu risau jika bayi anda menyusu badan tidak membuang hari-hari. Dalam masa sebulan, kebanyakan bayi yang menyusu badan akan membuang air besar satu atau dua kali sehari sahaja.

Pembuangan najis bagi bayi yang mengambil susu formula ialah sekali sehari. Najisnya biasanya agak kental, pekat dan berbau busuk.

Foto Kredit: aboutkidshealth.ca

APA YANG MENYEBABKAN BAYI CIRIT-BIRIT?

Punca utama cirit-birit ialah virus yang bergelar rotavirus. Rotavirus menyebabkan gastroenteritis, satu infeksi usus. Infeksi ini menjejaskan lapisan dalaman usus.

Lapisan yang terjejas itu menyebabkan kebocoran cecair dan membiarkan makanan lalu tanpa menyerap sebarang nutrien. Dalam sesetengah kes, rotavirus boleh membawa infeksi usus yang serius dan ternyahhidrat.

Vaksin anti rotavirus boleh didapati di klinik dan hospital bukan kerajaan. Anda perlu membayarnya sendiri.

Cirit-birit juga boleh disebabkan oleh:

  • alergi terhadap susu dan makanan
  • botol susu tidak dicuci dengan bersih
  • penggunaan air yang tidak dimasak ketika penyediaan susu
  • selsema
  • antibiotik
  • keracunan makanan
Foto Kredit: verywellfamily.com

CARA MERAWAT CIRIT-BIRIT BAYI

Pastikan bayi anda minum banyak cecair untuk melegakan simptom-simptomnya dan mengelakkan daripada ternyahhidrat.

Jika bayi anda mengambil susu badan atau formulanya dengan sempurna, teruskan amalan itu. Anda boleh cuba memberinya beberapa hirup air garam rehidrasi (oral rehydration salt solution atau ORS) beberapa kali dalam sejam.

ORS membantu mengembalikan cecair dan garam yang hilang daripada badan akibat cirit-birit. Teruskan memberinya air dan susu badan atau susu formula seperti biasa. Jangan berikan dia jus buah, air glukos atau minuman berkarbonat. Gula yang tidak terserap akan menarik air ke dalam usus kecil dan menyebabkan cirit-birit semakin teruk.

Jangan berikan ubat anti-cirit-birit kepada bayi anda. Ia boleh mendatangkan kesan sampingan yang serius jika diberi kepada kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Untuk mengelakkan bayi anda berjangkit cirit-birit dengan kanak-kanak lain, jangan bawa dia ke pusat jagaan atau taman permainan sekurang-kurangnya 48 jam selepas episod cirit-biritnya yang terakhir. Dan jangan bawa dia berenang untuk dua minggu seterusnya.

BAYI BERUSIA 6 BULAN KE ATAS, JANGAN HENTIKAN MAKANAN PEJAL, TERUSKAN BERI MAKAN AGAR ANAK ADA TENAGA

Anda boleh memberi bayi anda makanan seperti pisang, nasi, puri epal dan roti bakar kering jika dia sudah mula makan makanan pejal. Untuk bayi lebih tua atau bayi bertatih anda boleh mencuba sedikit daging ayam dan makanan berkanji seperti kentang lecek dan pasta.

Tapi, jangan bimbang jika dia tak mahu makan. Adalah lebih penting bagi dia minum untuk mengelakkan tubuh anak kurang air (dehidrasi).

JIKA CIRIT-BIRIT BERLARUTAN LEBIH 2 HARI, RUJUK DOKTOR JIKA BAYI MENUNJUKKAN TANDA-TANDA INI:

  • kulit atau bibir kering
  • lemah lesu
  • menangis tanpa air mata
  • ubun-ubun yang berlekuk
  • tangan dan kaki pucat
  • air kencing kuning pekat
  • kurang kencing berbanding biasa

TIPS UNTUK MENGELAKKAN BAYI DARI TERKENA CIRIT BIRIT

  • Ibu yang menyusukan anak, makanlah makanan yang kurang pedas, kurang masam dan tidak berempah.
  • Jagalah kebersihan. Amalan kebersihan yang baik dapat mengurangkan kemungkinan berlakunya cirit-birit kerana bakteria penyebab cirit-birit mudah dipindahkan daripada tangan ke mulut.
  • Cucilah tangan anda bersih-bersih dengan sabun selepas menggunakan tandas atau selepas menukar lampin bayi.
  • Jangan suap anak makan makanan yang segera dan yang dikuatiri kandungannya.
  • Elakkan makanan yang diproses, seeloknya masakan anak dari bahan-bahan semulajadi yang segar.

BILA BAYI MERAGAM AKIBAT CIRIT-BIRIT, BERSABARLAH DAN BERTENANG. MEREKA TAK MENGERTI APA-APA.

Peluklah dia dan tenangkan hatinya seberapa boleh, dan pastikan punggungnya kering. Prihatin dan berlembutlah apabila menukar lampin kerana mudah untuk punggung bayi menjadi pedih akibat cirit-birit.

Gunakan krim penghalang untuk mencegah ketidakselesaan jika cirit-birit berlarutan lebih dari sehari. Berdoalah agar bayi anda akan sembuh seperti sediakala.

Sumber rujukan: Babycenter

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *