Bayi Kurang Gerak Dalam Kandungan Jangan Buat Tak Tahu, Ini Penjelasan Doktor.
Ehhh kenapa hari ini bayi kurang gerak? selalu aktif semacam je. Tak apalah tak ada apalah kot, mungkin bayi syok tidur dekat dalam..
Jangan amalkan sikap acuh tak acuh dalam penjagaan kandungan. Sila catatkan pergerakan bayi. Sila dapatkan rawatan jika bayi kurang gerak atau keluar tanda-tanda yang mencurigakan.
Ikuti perkongsian berguna dari Doktor Zubaidi Hj Ahmad ini.
Gerakan bayi dalam kandungan biasanya dapat dirasai sekitar minggu ke-18 kandungan. Ia bukan saja melahirkan rasa teruja bagi bakal ibu, tetapi ia juga adalah petanda penting terhadap kesihatan bayi.
Semakin bayi besar, pergerakan yang dilakukan apabila meregangkan kaki dan tangan akan semakin terasa. Seiring dengan itu, doktor atau jururawat juga akan meminta para ibu memantau pergerakan bayi setiap hari.
Apabila bayi dalam kandungan kurang gerak, ini adalah perkara yang perlu diambil perhatian. Antaranya ialah :
- BILA PERLU MULA KIRA GERAKAN BAYI
Jika anda menjalani rutin pemeriksaan di klinik kerajaan, jururawat akan memberi satu carta khas untuk anda menandakan pergerakan bayi setiap hari, bermula sekitar minggu ke-28 kehamilan. Pergerakan bayi yang baik memberikan isyarat kepada ibu bahawa bayi berada dalam keadaan yang baik dan memuaskan.
Maka sekiranya berlaku perubahan atau kurangnya pergerakan bayi berbanding normal, ianya mungkin tanda-tanda awal bayi anda tidak sihat. Hal ini adalah serius dan ia memerlukan pemeriksaan lanjut oleh doktor.
2. BERAPA KALI BAYI PERLU BERGERAK DALAM SEHARI?
Secara tepatnya, tak ada jumlah tendangan yang tetap dan perlu dirasa. Ini kerana, setiap bayi mempunyai corak tidur dan keaktifan yang berbeza. Namun, proses menandakan carta sedikit sebanyak dapat membantu ibu memahami corak pergerakan bayi setiap hari.
Pada awalnya mungkin anda teragak-agak dan berasa kekok untuk mengira gerakan bayi. Tapi apabila sudah biasa, anda akan dapat mengagak waktu serta corak pergerakan bayi yang aktif.
3. CARA MENGIRA GERAKAN BAYI
Merujuk kepada carta pergerakan bayi yang diberikan oleh Klinik Kesihatan, mereka mencadangkan agar kiraan sehingga 10 kali pergerakan perlu dicatatkan setiap hari bermula jam 9 pagi. Gerakan ini tidak kiralah sama ada tendangan, gulungan, tumbukan atau pergerakan lain dalam tempoh 12 jam.
Semua pergerakan bayi akan dikira sebagai satu gerakan apabila bayi bergerak dalam jangka masa yang agak lama atau terhenti-henti. Maksudnya, jika bayi mula bergerak, kemudian berhenti selama beberapa saat dan bergerak kembali, itu masih dikira satu pergerakan. Pergerakan seterusnya hanya akan dikira jika ia berlaku selepas 30 minit berikutnya.
4. APA PERLU BUAT KALAU TERLUPA KIRA GERAKAN BAYI?
Memang mudah untuk kita terlupa mencatat pergerakan bayi, lebih-lebih lagi apabila kita sibuk melakukan kerja-kerja harian atau tengah travel dari satu tempat ke tempat lain.
Tapi apabila sudah teringat, bolehlah membuat beberapa rangsangan untuk merasakan pergerakan bayi. Berikut adalah antara perkara yang boleh dilakukan:
- Angkat kaki ke atas dan relaks. Bayi lebih mudah terjaga apabila anda duduk diam kerana semasa anda sibuk bergerak bayi mungkin tertidur kerana terasa seperti dibuai.
- Berbaring mengiring.
- Minum air / air yang sangat sejuk. Bayi anda mungkin dapat merasakan perubahan suhu dalam badan anda dan cuba untuk mengelak daripadanya.
- Buat bunyi bising, mainkan muzik, zikir, dan sebagainya. Cuba lihat tindak balas daripadanya.
- Jika bayi anda mula bergerak selepas anda melakukan rangsangan ini, kemungkinan besar bayi anda tak apa-apa. Namun, pastikan anda terus memantau pergerakannya pada jam-jam berikutnya.
5. RISIKO BAYI KURANG GERAK
Selepas tempoh 28 minggu, pergerakan bayi yang kurang aktif boleh menjadi sesuatu yang serius. Ia mungkin petanda bagi beberapa masalah seperti:
- Kebocoran air ketuban
- Bayi berhenti membesar
- Bayi mengalami hipoksia (tali plasenta tidak dapat mengalirkan darah yang penuh oksigen dan nutrien kepada bayi)
- Kematian bayi dalam kandungan. Oleh sebab itu, ibu-ibu dinasihatkan agar tidak culas memantau pergerakan bayi setiap hari. Kalau rasa tak sedap hati, jangan teragak-agak dan terus ke klinik atau hospital yang berdekatan.
6. APA YANG DOKTOR AKAN BUAT BILA BAYI KURANG GERAK?
Untuk memeriksa kesihatan kandungan, pihak hospital akan memantau kadar degupan jantungnya terlebih dahulu. Jika ia kurang memuaskan, doktor akan melakukan imbasan (scan) untuk melihat jumlah air ketuban serta kadar tumbesaran bayi.
Sekiranya terdapat masalah serius pada perkembangan bayi, ibu mungkin akan ditahan wad dan dicadangkan untuk melahirkan bayi secepat mungkin.
Jangan membuat andaian dan mendengar nasihat yang salah. Kebanyakan ibu di luar sana yang terlambat menyelamatkan anak yang dikandung kerana mendengar nasihat dan sangkaan yang salah. Antaranya:
- Pergerakan janin memang akan berkurangan bila semakin matang. Ini adalah nasihat yang salah.
- Pergerakan janin akan berkurang apabila ibu berpuasa. Ini juga nasihat yang salah.
Jadi, ibu-ibu perlu lebih peka dan sentiasa memantau kecergasan pergerakan bayi dalam kandungan. Jangan sambil lewa dan ambil mudah. Kalau lambat dikesan, nyawa bayi mungkin berada dalam bahaya.