Puting Payudara Sakit

puting payudara sakit & pedih ketika menyusukan anak, ini 4 tanda jangkitan kulat candida.

Rasa nak menangis menyusukan anak bila puting payudara sakit! berdenyut-denyut pedih dia. Semakin kuat anak menyedut, rasa panas macam nak terbakar! azabnya..

Ibu-ibu yang menyusukan anak pastinya pernah merasa situasi ni kan? kita ingatkan ini perkara biasa yang dialami semasa menyusukan anak, kita tak tahu rupanya kita mendapat jangkitan kulat candida.

Kredit Photo: insured.amedadirect.com

Apa Itu Kulat Candida?

Kulat candida adalah sejenis kulat yis yang hidup di sekitar kulit manusia dan kebiasaannya tidak menimbulkan masalah. Walaubagaimanapun, pertumbuhan kulat yang tidak terkawal atas sebab beberapa faktor boleh menyebabkan jangkitan kulat yang dipanggil ‘Candidiasis’.

Jangkitan kulat pada puting payudara sering terjadi kepada ibu-ibu yang menyusu. Sekiranya ibu mengalami jangkitan kulat ‘Candida’ pada puting payudara, kebiasaannya bayi mereka turut akan terkena jangkitan kulat tersebut pada lidah dan bahagian dalam mulut bayi, yang dikenali sebagai seriawan serta ruam lampin. Hal ini boleh menyebabkan si bayi kurang atau tidak mahu menyusu kerana rasa sakit dalam mulutnya.

Kredit Photo: ecolivingmama.com

Apakah faktor penyebab jangkitan kulat pada puting payudara?

  • Penggunaan ubat antibiotik dalam tempoh terdekat- Ini kerana antibiotik juga membunuh bakteria baik pada badan dan menyebabkan pertumbuhan kulat yang tidak terkawal secara tidak sengaja.
  • Luka pada kulit atau puting menyediakan medium yang lembab yang sesuai untuk pertumbuhan kulat.
  • Ibu yang mempunyai penyakit kencing manis yang tidak terkawal.
  • Jangkitan daripada bayi yang mempunyai jangkitan kulat akibat daripada pengunaan botol atau puting botol susu yang tidak bersih.
Kredit Photo: happyfamilyorganics.com

Puting Payudara Sakit Ketika Menyusukan Anak, Buat Ibu Serik. Ini Tanda-Tanda Jangkitan kulat 

  • Kesakitan yang amat sangat pada puting ketika dan selepas penyusuan, sampaikan ada ibu menangis kerana tidak dapat menahan sakit.
  • Kesakitannya rasa berdenyut-denyut, pedih dan rasa macam melecur serta terbakar pada payudara.
  • Puting dan kawasan areola menjadi luka, berkeruping dan kemerah-merahan.
  • Terdapat tompok-tompok putih pada mulut bayi yang menunjukkan si bayi mungkin terkena jangkitan.

Kredit Photo: parenting.orami.co.id

Cara Membersihkan Mulut Bayi Dengan Betul

  1. Sediakan tuala yang bersih dan rendamkan ke dalam air suam.
  2. Pangku bayi dengan posisi duduk yang selesa. Kemudian, celupkan jari yang dibalut tuala tadi dan masukkan ke dalam mulut bayi.. bersihkan di kawasan lidah dahulu.
  3. Bersihkan dengan pergerakan yang lembut dan perlahan..bersihkan dengan menarik lidah kea rah ke luar.Ulang step ini beberapa kali, bayi anda mungkin akan nampak kurang selesa, jadi jangan memaksa. Ingat, jangan masukan jari terlalu dalam, ia mungkin akan menyebabkan bayi termuntah.
  4. Kemudian bersihkan pula dikawasan lelangit dan gusi bayi. Gosokkan dengan lembut tapi jangan terlalu kuat. Jika terlalu kuat, mungkin akan mengakibatkan gusi bayi luka dan melecet.
  5. Ulang rutin ini setiap hari, ia tidak akan berkesan jika dilakukan sehari sahaja. Jika kulat di dalam mulut bayi anda makin tebal, ia akan menyukarkan lagi si manja mommy untuk minum susu.
Kerap Bersihkan Payudara Anda Untuk Menghindar Kulat.

Tips Untuk Mengelakkan Payudara Terkena Jangkitan Kulat

  • Memastikan pelekapan bayi semasa penyusuan adalah betul bagi mengelakkan kejadian puting luka.
  • Mengelakkan penggunaan puting kosong atau pengunaan botol susu-sekiranya terpaksa menggunakannya, hendaklah direbus setiap hari dan tukar kepada puting baru secara berkala.
  • Memastikan kebersihan tangan sebelum dan selepas penyusuan.
  • Memastikan kebersihan pad payudara dan coli penyusuan dengan membasuh setiap hari dan menjemur di bawah sinaran matahari bagi membunuh kulat.

Rawatan Bagi Jangkitan Kulat Candida

Jangkitan kulat pada puting payudara boleh dirawat dengan pemberian ubat antikulat seperti Nystatin atau miconazole. Secara kebiasaannya, ibu dan bayinya akan dirawat bagi memastikan jangkitan benar-benar diubati dan tidak berulang.

Bagaimana Dengan Susu Yang Diperah Semasa Jangkitan Kulat Ini Berlaku? Adakah Ianya Selamat?

Kajian telah menunjukkan bahawa susu ibu mengandungi pelbagai antibodi, anti-bakteria dan juga anti-kulat. Secara amnya, susu perahan ibu semasa dalam rawatan untuk jangkitan kulat ini adalah selamat untuk diberikan kepada bayi yang sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit.

Walaubagaimanapun, ada sesetengah pakar laktasi berpendapat bahawa susu perahan ibu yang sedang menerima rawatan untuk jangkitan kulat candida tidak harus dibekukan kerana khuatir akan memberi mudarat kepada bayi kerana proses pembekuan tidak dapat membunuh kulat yis tersebut dengan sempurna.

Oleh itu, sekiranya anda mengalami gejala-gejala seperti di atas, segeralah berjumpa dan berbincang dengan doktor anda. Jangkitan kulat candida pada puting payudara boleh dirawat dan penyusuan boleh diteruskan tanpa perlu berasa sakit.

Sumber: The Malaysian Medical Gazette.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *